Insan & Komuniti 18 Jan, 2026

Terbaik Komuniti KF8! Lakukan kebersihan pada bila-bila masa! Sudah jadi tanggungjawab kejiranan!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

"TANGGUNGJAWAB menjaga kebersihan kawasan perumahan tidak seharusnya menunggu penganjuran program gotong-royong semata-mata, sebaliknya boleh dilakukan pada bila-bila masa oleh setiap penduduk demi kesejahteraan bersama.


Warga taman bergambar kenangan dahulu sebelum memulakan kerja-kerja gotong royong.


"Jika menunggu persatuan anjurkan, dua tahun sekali la penduduk dapat melakukan gotong royong bersama. Jadi, lakukan secara berterusan kerana kebersihan adalah tanggungjawab bersama,” kata Pengerusi Persatuan Komuniti KF8, Bandar Baru Bangi, Ahmad Suhaimi Sulaiman.

Sempena Gotong Royong Komuniti KF8 pada 10 Januari 2026, persatuan memberi fokus kepada kerja mencantas pokok kecil, membersihkan longkang serta membuang sampah pukal menggunakan satu lori RORO (Roll-On Roll-Off) khas daripada tiga yang disewa.

Bagi penggunaan RORO untuk sampah pukal, persatuan mensyaratkan bahan  buangan seperti tilam perlu dipecahkan terlebih dahulu supaya ruang dalam RORO dapat dimaksimumkan.

"Alhamdulillah, saya berpuas hati dengan pembabitan penduduk, sebahagian besar turun padang dan meluangkan masa bersama komuniti.

“Jika sebelum ini hujung minggu dihabiskan bersama keluarga di rumah, kali ini penduduk menikmati sarapan dan bergotong-royong bersama,” katanya gembira.


Ahmad Suhaimi Sulaiman


Menurutnya, kebersihan bukan hanya perlu diberi perhatian di dalam rumah, malah membabitkan halaman kediaman dan kawasan awam sekitar taman perumahan.

"Antara langkah mudah yang boleh dilakukan penduduk ialah mencantas ranting atau dahan pokok yang berpotensi mengganggu kabel elektrik sekiranya dibiarkan terlalu tinggi dan tidak diselenggara.

"Antara tujuan utama program gotong-royong itu bukan sekadar membersihkan kawasan taman perumahan, sebaliknya menjadi platform untuk penduduk saling berkenal-kenalan dan mengeratkan hubungan silaturahim.

“Program ini sangat penting khususnya untuk penduduk baharu agar mereka dapat mengenali jiran tetangga dan mewujudkan suasana komuniti yang harmoni,” katanya.



Kerja-kerja membersihkan longkang penting bagi memastikan aliran air lancar dan tidak tersumbat.


Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada penduduk yang menyumbang RM20 setiap seorang bagi membolehkan persatuan menyewa lori RORO, menyediakan makanan dan minuman serta peralatan gotong-royong.

“Sumbangan ini amat bermakna kerana selain wang ringgit, penduduk juga meluangkan masa dan tenaga terutama pada hujung minggu demi menjayakan program ini,” katanya.

Beliau turut mengingatkan penduduk mengenai kepentingan menjaga kebersihan selaras dengan ajaran Islam yang menekankan bahawa kebersihan adalah sebahagian daripada iman.



Gotong royong jika dilakukan secara berpasukan, hasilnya lebih mudah dan cepat.


“Hakikatnya, kita sering alpa. Lihat sahaja keadaan di sesetengah kawasan taman dan tempat pembuangan sampah yang kotor serta tidak terurus.

"Jika mahu membuang sampah mudah sahaja, bungkus sampah dengan kemas sebelum dibuang ke kebuk sampah atau tong sampah bagi mengelakkan pencemaran dan bau busuk.

“Jika kebuk sampah kotor, basuhlah dan jangan biarkan ia terlalu berbau. Pastikan kebuk sampah sentiasa ditutup bagi mengelak air bertakung yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes,” katanya.

Beliau turut menggalakkan penduduk saling membantu dengan menutup kebuk sampah sekiranya mendapati jiran terlupa berbuat demikian.  

“Jika kita memudahkan urusan orang lain, Allah akan memudahkan urusan kita,” katanya. 



Penggunaan RORO memudahkan kerja-kerja gotong royong kerana boleh mengisi jumlah sisa buangan yang banyak.


Selain itu, Ahmad Suhaimi turut menyentuh mengenai penanaman pokok persendirian agar dilakukan secara berhemah dan diselenggara dengan baik supaya tidak menyusahkan jiran.

“Cantas ranting, bersihkan daun gugur dan jangan biarkan pokok terlalu besar hingga mengganggu kawasan sekeliling,” katanya.

Beliau juga mengingatkan penduduk mengenai etika tempat letak kenderaan supaya meletakkan kereta di kawasan ‘porch’ masing-masing dan tidak membolot kawasan awam. 

“Tiada istilah ‘cop parkir’ di luar rumah kerana itu adalah kawasan awam. Elakkan meletak kon atau membina struktur yang menghalang lalu lintas,” katanya.

"Kawasan awam sepatutnya boleh digunakan oleh semua dan bukan dianggap sebagai hak peribadi," katanya.


Aktiviti gotong royong merapatkan ukhuwah dalam kalangan warga taman dan saling kenal mengenal di antara satu lain.


Dalam perkembangan yang sama, beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang memandangkan kali terakhir gotong-royong diadakan ialah pada 2023 yang melibatkan kerja lebih ekstrem seperti pembuangan dahan besar.

"Secara keseluruhan, saya berpuas hati apabila melihat kehadiran penduduk yang memberangsangkan. Hari ini kita nampak penduduk berkumpul, bersarapan bersama dan bekerja sebagai satu komuniti.

“Insya-Allah, bila komuniti bersatu, taman perumahan kita bukan sahaja bersih, tetapi lebih selesa dan harmoni untuk didiami,” katanya.


Pemenang Blok Terbaik Pertandingan Kebersihan bergambar kenangan bersama Ahmad Suhaimi selepas menerima hadiah masing-masing.


Sementara itu, Blok 9 yang diketuai Dr Khairun Nasir memenangi Blok Terbaik Pertandingan Kebersihan sempena Gotong Royong Komuniti KF8, kedua (Blok 11) diketuai Aris Tayib dan Blok Tiga diketuai Musalkernain Md Zin di tempat ketiga.  

Blok 12 dan Blok 1 diketuai Zulkifli Abdul Wahab dan Zainy Ayub pula di tempat keempat dan kelima. - KitaReporters


11
11
0
13
0
You will be interested