Kemudahan mesin penapis air awam yang disediakan
oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz (Padang Polo)
bertujuan memudahkan pengunjung mendapatkan air minuman bersih secara percuma,
khususnya kepada mereka yang beriadah, berbasikal atau berjoging di kawasan
tersebut.
Mesin berkenaan dilengkapi sistem penapisan moden dan direka untuk mengisi air terus ke dalam botol atau bekas minuman, bukan untuk tujuan mencuci tangan atau muka.
Langkah ini sejajar dengan usaha MBI menjadikan taman-taman utama di bandar raya itu lebih mesra pengguna, bersih dan kondusif untuk aktiviti riadah keluarga.
Namun, niat baik tersebut tercalar apabila tular sebuah rakaman video dalam TikTok memaparkan seorang individu menggunakan mesin penapis air itu bagi mencuci tangan, seolah-olah tidak mengetahui fungsi sebenar kemudahan berkenaan.

Rakaman yang dimuat naik oleh pengguna akaun ANS @ayunanilina itu menimbulkan kemarahan ramai.
Dalam kapsyennya, ANS meluahkan rasa kecewa dengan tindakan individu berkenaan.
“Memanusiakan manusia yang sikap buruk minda kelas
ke-3 ni susah ya. Ewww. Kawasan rekreasi dah lengkap kemudahan dah, ermmm,”
tulisnya kecewa.
Klip video berdurasi 15 saat itu mendapat perhatian luas dengan ribuan tontonan dan komen daripada netizen yang rata-ratanya mengecam sikap tidak bertanggungjawab tersebut.

Antara komen yang menarik perhatian datang daripada pengguna TikTok yang menulis, “Tu untuk minum, bukan untuk cuci tangan.”
Manakala netizen lain mengingatkan bahawa kemudahan
awam perlu digunakan dengan adab dan tanggungjawab.
“Tak salah nak ambil air, tapi dah situ memang orang selalu isi untuk minum. Bukan isu warna kulit, tapi common sense dan adab,” tegasnya.

Namun, tidak semua netizen menyedari kesalahan tersebut. Seorang netizen mempertikaikan perkara itu dengan menulis,
“Cuci tangan sebelum minum air salah ke?”
Komen itu mengundang reaksi daripada pengguna lain
yang menjelaskan bahawa tindakan berkenaan boleh menyebabkan pencemaran air dan
menjejaskan kebersihan kemudahan awam.

Pemilik akaun asal, ANS, yang turut berada di lokasi
kejadian menjelaskan bahawa mesin tersebut masih baharu dan kini dipasang di
beberapa laluan utama taman.
“Ya, baru lagi tu. Kalau perasan di setiap laluan
ada CCTV. Malam-malam pun ramai main electric scooter,” jelasnya.
Dia turut menasihatkan agar pengunjung tidak mengisi semula air dari mesin yang mungkin telah dicemari bahan luar, memandangkan sistemnya direka untuk menapis air paip, bukan air yang sudah digunakan.
“Serius jangan sis. Mesin tu kita tak tahu dia tapis jenis semula atau buang terus,” katanya.

Kebanyakan pengguna TikTok lain turut menyuarakan kebimbangan tentang tahap kebersihan air selepas tercemar. Malah ada yang mencadangkan supaya papan tanda khas diletakkan untuk mengelakkan salah faham.
Kemudahan mesin penapis air awam ini merupakan sebahagian daripada inisiatif hijau MBI dalam meningkatkan keselesaan dan kemudahan kepada orang ramai di taman-taman utama sekitar bandar.
Ia juga bertujuan menggalakkan penggunaan semula botol air serta mengurangkan pembaziran plastik.

Bagaimanapun, insiden seperti ini mencerminkan bahawa kemajuan infrastruktur sahaja tidak mencukupi tanpa kemajuan dalam sikap dan kesedaran sivik masyarakat.
Sikap tidak bertanggungjawab walaupun kecil boleh memberi kesan besar kepada kebersihan dan keselamatan awam.
Orang ramai dinasihatkan supaya menghargai kemudahan awam dengan menggunakan setiap fasiliti mengikut tujuan asalnya.
Kemudahan seperti mesin penapis air bukan sekadar tanda kemajuan bandar, tetapi juga lambang keprihatinan pihak berkuasa terhadap kesejahteraan masyarakat.
Tanpa kesedaran dan adab yang betul, segala usaha untuk memanusiakan ruang awam yang moden dan selesa hanya akan menjadi sia-sia. - KitaReporters
