Insan & Komuniti 24 Dec, 2025

Video| Akak kurier beri amaran! Jangan terima COD misteri! Taktik scammer! Tak order jangan bayar!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this

Taktik penipuan melalui pembelian secara Cash On Delivery (COD) kini dilihat semakin licik dan membimbangkan apabila scammer mengambil kesempatan terhadap sikap pengguna yang gemar membuat pembelian dalam talian serta kebiasaan menerima bungkusan tanpa banyak soal.



Modus operandi mereka hampir sama, mangsa akan menerima parcel COD walaupun tidak pernah membuat sebarang pesanan. 

Waybill (bil penghantaran) kelihatan ‘meyakinkan’, alamat pula hampir tepat, manakala harga yang dikenakan biasanya rendah atau hampir sama dengan harga barangan yang sering dibeli mangsa sebelum ini. 

Dalam keadaan tergesa-gesa, panik atau sekadar mahu selesaikan urusan, mangsa akhirnya membayar tanpa menyedari mereka telah diperdaya.

Perkara ini didedahkan secara terbuka oleh seorang kurier yang memuat naik video peringatan di TikTok menerusi akaun @sitisitu364, yang tular dan meraih 1.2 juta tontonan.



“Hari ni kita ada berita penting. Okey, mengenai parcel. Parcel yang macam ni adalah parcel daripada scammers

"Jadi, minta tolong kepada kaki-kaki COD. Kalau tak ada order barang, lepas tu dia punya waybill macam ini. Tolong jangan bayar, itu sahaja,” katanya dalam video.

Ringkas, namun cukup jelas. Itulah mesej utama yang cuba disampaikan oleh kurier berkenaan, satu amaran terus daripada barisan hadapan industri penghantaran.



Menurut kurier itu, antara tanda paling ketara parcel scam ialah waybill yang kelihatan pelik, kabur atau tidak lengkap. 

Ada yang hanya memaparkan nama penerima tanpa butiran penuh, alamat terlalu ringkas, malah ada juga yang langsung tidak menyatakan nama penghantar.

Perkara ini turut disahkan oleh ramai netizen yang tampil berkongsi pengalaman masing-masing dalam ruangan komen.



“Saya punya macam ni. Tiba-tiba sampai dua parcel nombor tracking sama. Parcel putih tu je yang saya order. Satu lagi tu saya tak order

"Dengan alamat ringkasnya, poskod, daerah dan negeri pun tak tulis. Nama pengirim pun tiada tulis. Harga dia buat lebih kurang sama dengan parcel yang saya beli. 

"Lepas bayar saya baru perasan belakang pelekat tu ada detail lain (pembeli asal parcel),” cerita salah seorang netizen yang pernah terkena.

Pengalaman ini menunjukkan betapa telitinya scammer merancang, menampal waybill baharu untuk mengelirukan mangsa, sedangkan maklumat asal tersembunyi di bahagian bawah pelekat.



Apa yang lebih merisaukan, mangsa penipuan ini bukan sahaja golongan muda, malah warga emas dan ahli keluarga yang lain turut terjebak. 

“Mak saya kena dah kelmarin. Dia ingat barang dia yakin bayar RM89, buka-buka baju Melayu saiz XL, entah siapa punya,” kongsi netizen tersebut.

Dalam keadaan separuh sedar, ditambah pula dengan kebiasaan menerima bungkusan sebelum ini, mangsa tidak menyangka mereka sedang diperdaya.



Antara alasan mangsa tidak berfikir panjang ialah harga yang dikenakan kelihatan ‘masuk akal’. 

Ada yang RM15, RM33, RM50, jumlah yang dirasakan tidak terlalu besar, namun cukup menguntungkan jika dilakukan secara berulang kepada ramai mangsa.

Barang yang diterima selalunya tidak sepadan langsung dengan nilai dibayar seperti kain buruk, barang murah atau barangan tidak berguna.



Selain waybillscammer juga memanfaatkan maklumat peribadi yang bocor, termasuk nama penuh penerima. 

Hal ini menyebabkan pihak lain, termasuk jiran atau rakan, terpedaya dan sanggup membayar bagi pihak mangsa. 

“Suami yang kena tapi kawan dia bayarkan. Nombor telefon kat parcel tu nombor lama, memang dah lama tak pakai. Yang kawan pun nampak nama suami dia baik hati bayarkan. Sudahlah RM15! Beg sebegini je RM15,” luah mangsa geram.



Perkongsian oleh kakak kurier ini mendapat pujian daripada netizen. Rata-ratanya mengucapkan terima kasih atas kesungguhan kurier tersebut yang peka dan sanggup memberi amaran awal kepada pelanggan. 

“Saya dah kena banyak kali parcel scammer ni. Tapi alhamdulillah adik JNT yang selalu hantar barang saya dah mesej awal-awal beritahu ada parcel scammer. Sila periksa betul-betul parcel sebelum bayar dekat adik kurier,” tulis netizen.

Perkara ini selari dengan mesej kakak kurier dalam video tersebut di mana pengguna disaran tidak teragak-agak bertanya, menyemak dan membatalkan jika ragu-ragu.

Dia juga menegaskan bahawa pelanggan berhak menolak sebarang parcel yang tidak dipesan, walaupun ia sudah sampai ke pintu rumah. 

Jika tiada rekod pesanan, waybill meragukan atau maklumat tidak lengkap, jangan bayar! - KitaReporters



14
19
0
14
0
You will be interested