SETIAP kejadian ditakdirkan Allah ada hikmahnya, walaupun banjir. Banjir yang melanda kawasan Bagan Datuk, Perak, pada hujung November 2025 lalu bakal memberi rahmat kepada penduduk setempat.
Kerajaan akan melaksanakan projek tebatan banjir bernilai RM87.6 juta sebagai usaha mengelakkan ia berulang.

Mohammad Nizar Jamaluddin.
Memetik Pengerusi Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, melalui peruntukan tersebut, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak akan melaksanakan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Daerah Bagan Datuk.
Projek dijangka diiklankan pada April 2026. Warga Bagan Datuk tentu lega.
Untuk rekod, Bagan Datuk antara daerah paling teruk dilanda banjir di Perak khasnya dan Malaysia amnya.
Fenomena ini akibat hujan lebat berterusan untuk beberapa hari pada hujung November 2025 lalu. Ramai penduduk dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Banjir termenung di Kampung Sungai Batang, Bagan Datuk, Perak, antara kampung yang teruk dilanda banjir pada hujung November 2025.
Hujan lebat berterusan bukan sahaja menyebabkan kawasan kediaman ditenggelami air tetapi mewujudkan fenomena ‘banjir termenung’, atau air bergenang.
Banjir bertahan untuk waktu lama lantaran sistem saliran, termasuk pam air, yang tidak mampu mengalirkan air pada kapasiti tinggi.
Kerana itu air yang bertahan terus bergenang termasuk di dalam rumah. ‘Air termenung’ juga meninggakan kesan bau yang tidak enak selain merosakkan tanaman.

Antara rumah yang dilanda banjir dan air bergenang di Teluk Penikam, Bagan Datuk, pada hujung November 2025.
Bagan Datuk terdedah kepada banjir kerana tofografinya yang rendah. Pihak JPS sebelum ini pernah mengeluarkan tender RTB Bagan Datuk pada Julai 2025, tetapi terpaksa direka bentuk semula kerana terdapat penduduk yang tidak setuju tanah diambil bagi pelaksanaan projek.
Sehubungan
itu, JPS telah menyiapkan reka bentuk semula RTB tersebut berdasarkan reka
bantuk jajaran baharu dengan anggaran kos RM87.6 juta.
Termasuk dalam
RTB ialah menaik taraf Sungai Balai dan Parit 8 Barat sepanjang 2.3 kilometer,
pembinaan Kolam Takungan Sungai Balai seluas 17 hektar serta pembersihan dan pendalaman
Sungai Balai.
Untuk itu,
JPS Perak akan memohon tambahan projek RTB Bagan Datuk Fasa 2, melalui ‘Rolling
Plan’ ke-2, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) sebagai usaha penyelesaian
masalah banjir yang lebih menyeluruh.
Selain hujan, turut menyumbang kepada masalah banjir dan ‘banjir termenung’ ialah sistem saliran dalaman berada di bawah kapasiti reka bentuk hujan semasa.
Juga kedudukan penempatan di kawasan rendah, pembetung sedia ada yang kecil, halangan aliran air serta fenomena air pasang besar.

Pam kecemasan mudah alih yang dipasang di Bagan Datuk dalam usaha mengatasi banjir dan banjir termenung yang melanda daerah tersebut.
Pihak JPS juga sebelum ini telah memasang 12 unit pam air kecemasan mudah alih di daerah Bagan Datuk dalam mengatasi ‘banjir termenung’.
Ini adalah sebagai tambahan kepada tiga pam kekal berkapasiti 50 cubic/sec atau m³/s (mengalirkan 50 kaki padu air dalam sesaat) di Rumah Pam Rungkup.
Pam air kecemasan mudah alih berkenaan akan diletakkan di beberapa kawasan strategik seperti Rumah Pam Rungkup, Tebuk Semani, Sungai Balai dan Sungai Nipah. Selain itu, turut dilaksanakan ialah mengorek pulih saliran di Tebuk Semani.
Pam mudah alih dan mengorek pulih diharapkan akan membantu mengurangkan ‘banjir termenung’.
Tidak kurang penting ialah kerjasama semua pihak. Orang ramai misalnya, perlu sentiasa menjaga kebersihan saliran bagi mengelakkan masalah aliran air tersumbat yang boleh menyebabkan banjir. Jangan membuang sampah sarap sesuka hati sehingga menyekat kelancaran aliran air.

Ahli Jawatankuasa Masjid Ahmadiah, Sungai Batang (kiri) memberi sumbangan kepada salah seorang mangsa banjir yang melanda kampung tersebut hujung November 2025.
Agensi berkaitan seperti Pejabat Daerah serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu memantau agar keperluan ini dipatuhi. Juga mengawasi piawaian pembinaan dalam parit.
Kelancaran saliran membantu mengelakkan saliran tersumbat yang memburukkan lagi keadaan banjir.
Bagi warga
Bagan Datuk, projek RTB adalah ibarat cahaya di hujung terowong yang memberi
sinar harapan agar mereka tidak lagi terperangkap dalam masalah banjir dan ‘banjir
termenung’ pada masa akan datang. - KitaReporters