Md Yasin Embong memberi tumpuan kepada penerangan seorang warga emas yang menghadapi masalah kesihatan.
KE ARAH memikul tanggungjawab untuk meningkatkan semangat kejiranan dan perpaduan setempat Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Sekati, Manir, Kuala Terengganu tidak pernah jemu turun padang bagi menyantuni penduduk yang ditimpa musibah.
Terbaharu KRT itu, dalam program ziarahnya pada 10 Julai 2024, mengunjungi lima penduduk kampung yang ditimpa musibah menghidap penyakit kronik seperti sakit buah pinggang, strok, jangkitan kuman dalam paru-paru dan kencing manis.
Pengerusinya, Md Yasin Embong, berkata hasil maklumat yang disampaikan oleh ahli KRT dan penduduk, ahli jawatankuasa menyusun strategi bagi mencari dan mengumpul dana untuk mendapatkan keperluan yang diperlukan oleh mereka ditimpa musibah itu.
Menurutnya, KRT berasakan lima penduduk itu wajar dibantu
terutama bagi meringankan bebanan mereka yang terpaksa berulang alik ke
hospital atau pusat kesihatan untuk mendapatkan rawatan susulan bagi mengelak
penyakit bertambah teruk.
Tambahnya, ada antara penduduk yang menghidap penyakit
kronik itu pernah ditempatkan di wad hospital sebaik sahaja datang untuk
mendapatkan rawatan dan discaj beberapa minggu selepasnya apabila penyakit
semakin terkawal.
“Bagaimanapun mereka ini terpaksa terus mendapat rawatan susulan berjadual selain mendapatkan bekalan ubat supaya penyakit mereka itu tidak kembali bertambah buruk,” ujarnya.
Md Yasin (tengah) bersama-sama Ahli Jawatankuasa KRT Kampung Sekati, Manir, Kuala Terengganu menghulurkan sumbangan kepada seorang penduduk yang menghidap sakit kronik.
Md Yasin berkata, KRT amat prihatin dengan nasib yang menimpa
mereka itu apabila ada sesetengahnya tidak dapat kembali bekerja atau melakukan
kerja kampung seperti biasa berikutan bebanan penyakit yang ditanggung.
Jelasnya, KRT berasakan bertanggungjawab untuk membela
nasib mereka itu dengan mengumpulkan dana bagi disumbangkan, walaupun tidak
seberapa namun dapat menampung kos mendapatkan rawatan di hospital atau pusat kesihatan
berdekatan.
Tambahnya, KRT bersama ahli jawatankuasa dan biro berkenaan
yang ditubuhkan sentiasa bersedia setiap masa untuk menghulurkan sumbangan
barangan makanan keperluan asas yang diperlukan seperti beras, gula, tepung
gandum, susu dan sebagainya jika dimaklumkan.
Sehubungan itu juga menurutnya, KRT berkenaan turut
mengadakan gotong-royong semarak merdeka dengan memasak bubur lambuk dan asyura
di samping majlis bacaan Yasin yang disertai ramai penduduk dalam usaha memupuk
semangat kejiranan dan perpaduan.
“Bubur lambuk dan Asyura ini turut diagihkan kepada lima keluarga penduduk yang ditimpa musibah itu sebagai tanda simpati juga membukti ada pihak ambil peduli akan nasib mereka,” katanya. - KitaReporters
Seorang penduduk menghadapi masalah kesihatan terharu menerima sumbangan daripada Md Yasin.