
Ahli JPKK berganding bahu bergotong-royong memasak bubur lambuk untuk diagihkan kepada penduduk Kampung Rinching Hulu dan golongan asnaf.
Sebanyak 300 bekas bubur lambuk disediakan bersempena "Program Literasi Hak Pengguna & Iftar Madani" anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Rinching Hulu, Masjid Kariah Kampung Rinching Hulu, Pertubuhan Salwa Selangor dan Bomba Komuniti Kampung Rinching Hulu pada 14 Mac 2025.
Penyediaan bubur lambuk itu juga adalah sebagai salah satu aktiviti gotong-royong Ramadan apabila ia bukan sahaja memperkukuh hubungan silaturahim dalam komuniti, tetapi juga sebagai tanda keprihatinan terhadap masyarakat sekitar, khususnya golongan yang memerlukan.

Samsuddin Zainal (tengah) menyampaikan barangan makanan keperluan asas harian kepada seorang penerima.
Ketua Kampung/Pengerusi JPKK Kampung Rinching Hulu, Samsuddin Zainal, berkata bubur yang dimasak pada program itu diagihkan kepada kariah masjid, penduduk kampung berkenaan dan kawasan sekitar sebagai sebahagian daripada usaha menyemai semangat kebersamaan dan perkongsian rezeki dalam Ramadan.
Menurutnya, menerusi program berkenaan yang dihadiri 150 penduduk kampung itu serta wakil pelbagai agensi dan organisasi terbabit berjaya mewujudkan jalinan hubungan muhibah dalam memahami tanggungjawab mereka terhadap masyarakat
“Keseluruhannya program ini bukan sahaja memperkukuh ikatan kejiranan tetapi juga membuktikan bahawa inisiatif bersama antara
kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan sektor swasta dapat memberi impak
positif kepada masyarakat.
“Di samping berjaya mencapai matlamatnya dengan sambutan menggalakkan daripada komuniti terutama menerusi bergotong-royong menyediakan bubur lambuk ia juga turut membawa kepada golongan asnaf apabila menerima bantuan Bakul Kasih Ramadan kepada 30 penerima yang memerlukan,” katanya.

Samsuddin (empat dari kiri) menyantuni tetamu pada "Program Literasi Hak Pengguna & Iftar Madani" anjuran KPDN.
Mengenai objektif program anjuran KPDN itu, Samsuddin berkata, ia dapat meningkatkan kesedaran hak pengguna, mendidik masyarakat mengenai kepentingan memahami hak dan tanggungjawab pengguna dalam kehidupan seharian.
Tambahnya, ia juga secara tidak langsung meningkatkan kesedaran keselamatan, mendedahkan pengetahuan kepada masyarakat mengenai langkah-langkah keselamatan dalam penggunaan gas memasak di rumah.
Jelasnya, dalam peningkatan kos sara hidup sekarang, program
itu memperkasakan amalan kesederhanaan dan mengelakkan pembaziran serta menggalakkan
masyarakat untuk lebih berhemah dalam perbelanjaan dan penggunaan sumber.
“Paling menjadi perhatian program ini turut memupuk semangat gotong-royong dan kebersamaan dengan menggalakkan pembabitan aktif komuniti dalam membantu sesama mereka untuk memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan pembelaan kerana kesempitan hidup,” ujarnya lagi. - KitaReporters

Samsuddin menyampaikan sumbangan kepada wakil keluarga dalam kalangan asnaf.