
Zah Mohamad (tiga dari kiri) dan guru-guru SK Manir bersama-sama murid anak yatim dan fakir perempuan mendapat sumbangan baju raya baharu.
Seratus anak yatim dan fakir dari Kampung Manir, Terengganu menerima sumbangan menyambut Syawal 2025 anjuran Pertubuhan Projek Bantuan Ummah Terengganu (PPBUT) dan Kumpulan Penggerak Ibu bapa, Komuniti dan Swasta (KPIBKS) Kuala Terengganu, pada 25 Mac 2025.
Majlis yang berlangsung di gedung Jakel Terengganu itu mendapat kerjasama daripada Hayrat Relief Malaysia yang menyediakan dana bagi tujuan berkenaan untuk meringankan bebanan keluarga atau penjaga anak yatim dan fakir terbabit.
Timbalan Pengerusi KPIBKS Kuala Terengganu, Zah Mohamad, berkata Program Agihan dan Sumbangan Baju Raya 2025 itu adalah antara usaha kolaboratif terbaik antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan dan PPBUT membela nasib dalam kalangan anak yatim dan keluarga fakir.

Menurutnya, perkara itu diperincikan terlebih dahulu bagi
memastikan mereka benar-benar berhak mendapat bantuan berkenaan menerimanya
bagi mengelak timbul prasangka dan ia dilakukan tanpa kepentingan mana-mana
pihak.
Tambahnya, perkara itu menjadi mudah dan tepat apabila anak yatim serta fakir berkenaan adalah murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Manir, Terengganu iaitu sekolah terpilih oleh PPBUT untuk menerima agihan dan sumbangan baju raya.
“Apabila pemilihan dibuat pihak sekolah ini sudah mempunyai
rekod serta maklumat lengkap murid mereka dalam kalangan anak yatim dan fakir
yang amat memerlukan bantuan bagi menyambut Aidilfitri,” ujarnya.
Zah berkata, pada program berkenaan kegembiraan terpancar
pada wajah mereka itu apabila mendapat pakaian baharu dengan memilih sendiri disediakan
gedung Jakel yang memberi layanan penuh mesra kepada anak yatim serta fakir
sebagai tanda keprihatinan.
Jelasnya, majlis itu bertambah meriah dengan kehadiran Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Terengganu, Khairi Mohd Noor yang bersama-sama menyampaikan sumbangan kepada murid terbabit sambil bertanya khabar mengenai pelajaran mereka.

Anak yatim dan fakir memegang pakaian baharu hari raya merakamkan kenangan bersama-sama guru dan pengurusan PPBUT.
Menurutnya, ia juga secara tidak langsung menyatakan bahawa program seumpama itu memberikan sinar kegembiraan dan harapan kepada anak yatim dan fakir kerana juga berhak menikmati suasana penuh kegembiraan menyambut Aidilfitri seperti kanak-kanak lain.
“Pihak PPBUT sebagai penganjur dan KPIBKS sebuah NGO menzahirkan rasa
terharu dan jutaan terima kasih kepada Hayrat Relief Malaysia, sukarelawan dan
semua pihak yang terbabit dalam menjayakan program ini.
“KPIBKS akan berusaha program atau projek seperti ini dapat diteruskan pada tahun akan datang dengan mengadakan kolaboratif bersama pelbagai pihak lain supaya lebih ramai anak yatim dan fakir dapat dibantu bukan sahaja untuk menyambut Aidilfitri juga meneruskan kehidupan harian supaya pelajaran mereka tidak terjejas,” katanya. - KitaReporters