
Karakter harimau yang jelas begitu menarik menghiasi motosikal Jaguh milik Pak Din.
Kerana minat siapa sahaja sanggup menghabiskan apa sahaja demi merealisasikan impian yang dicitakan. Begitu juga dengan Kamarudin Salleh, 77 tahun, dari Kampung Paya, Kepala Batas, Pulau Pinang.
Beliau yang lebih popular dengan panggilan Pak Din telah membelanjakan lebih RM15,000 bagi menghiasi tiga buah skuter dan motosikalnya dengan pelbagai corak dan bentuk haiwan.
Menurut Pak Din, beliau menjadikan haiwan sebagai karakter bagi setiap motosikalnya kerana ia berkait rapat dengan bidalan, perumpamaan dan peribahasa Melayu yang telah sekian lama dilupakan.
"Pada peringkat awal memanglah ada pelbagai dakwaan. Habiskan wanglah, masa dan bermacam-macam lagi dakwaan.Tapi ia tidak melemahkan semangat saya yang sememangnya berminat serta ingin mengisi masa lapang selepas bersara dari Penang Port.
"Berkat kesabaran yang ada, saya mulai mendapatkan bahan-bahan hiasan dari pelbagai ceruk dan kawasan termasuk luar Pulau Pinang.
"Setiap badan motosikal pula sengaja dihias dengan bentuk dan karakter pelbagai jenis haiwan supaya ia dapat dijadikan peringatan khususnya bagi generasi muda tatkala ini.


Skuter Pak Din yang penuh dihias dengan karakter haiwan kelihatan menarik dengan pelbagai jenis haiwan.
"Harimau, katak, lembu, gajah, kerbau, burung, ular, kupu-kupu, tikus, tupai, kala jengking, lipas dan kura-kura adalah antara haiwan yang berkait rapat dengan bidalan dan peribahasa Melayu serta saya jadikan hiasan pada setiap motosikal dan skuter tersebut.
"Harimau mati meninggalkan belang, katak di bawah tempurung, tikus membaiki labu dan macam-macam lagi bidalan serta perumpamaan dijadikan hiasan.
"Ia bukan saja setakat hiasan tapi mempunyai makna yang tersirat bagi siapa sahaja yang terpandang perumpamaan yang terpampang pada setiap motosikal, " ujar Pak Din ketika ditemui di kediaman beliau.
Minat ini juga tambah Pak Din telah berjaya membawa beliau untuk menjelajah pelbagai negeri dan kawasan terutama dalam majlis keramaian seperti perasmian, perkahwinan, pameran motosikal antik dan seumpamanya.
Apa yang lebih menarik katanya, setiap kali berada di jalan raya, motosikalnya sudah pasti mendapat perhatian setiap golongan masyarakat.
"Maklumlah boleh dikatakan motosikal ini lain daripada yang lain, Warna yang terpampang pada motosikal dan skuter semuanya terang-benderang. Penuh dengan bentuk haiwan yang boleh dilihat dengan jelas dari jauh.

Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh antara bidalan yang terpampang pada motosikal Pak Din dengan terang dan jelas.

Antara topi keledar pelbagai jenis yang disediakan di kamar khas milik Pak Din.
"Selain sepelosok negara, motosikal ini juga telah berjaya menjelajah ke negara jiran Thailand dalam pameran motosikal antik dan unik beberapa tahun yang lalu (2024).
"Yang pasti aktiviti santai ini memberi kepuasan bagi memenuhi masa lapang dan manfaat kepada pelbagai golongan masyarakat," tambah Pak Din.
Di samping itu, Pak Din tidak lokek untuk berkongsi ilmu dan pengalaman beliau dalam aktiviti hiasan karakter haiwan, malah beliau turut menyediakan kamar khas bagi peralatan motosikal haiwannnya termasuklah pelbagai topi keledar yang berhiaskan karakter haiwan. - KItaReporters

Skuter yang turut dihias menarik dengan pelbagai karakter haiwan.