
REZEKI tidak pernah salah alamat! Siapa sangka bermula dengan menanam pokok kelapa sebagai aktiviti riadah, seorang bekas guru besar kini bergelar pengeluar benih kelapa varieti Sungai Gulang-Gulang (SGG).
Marzuki Ibrahim, 63, daripada Kampung Landas, Ajil, Hulu Terengganu secara puratanya menjual antara 150 hingga 200 benih pokok kelapa SGG sebulan dengan harga RM20 sepokok kepada pelanggan yang datang dari pelbagai negeri.
Menurutnya, dia tidak pernah menyangka projek dijalankan di tanah kelompok Sungai Landas itu mendapat permintaan tinggi sehingga ke luar Terengganu selain turut menjadi rujukan pelbagai pihak serta individu.

"Segalanya bermula tujuh tahun lalu apabila saya mula merangka perancangan selepas bersara wajib pada Januari 2022. Saya berminat tanam kelapa bagi dijadikan aktiviti riadah selepas pencen.
"Setelah mendapatkan info-info berkaitan jenis kelapa serta mengkaji melalui pembacaan akhirnya saya pilih untuk tanam kelapa SGG kerana beberapa kelebihan seperti cepat besar, berbuah lebat serta banyak santan.
"Bermodalkan hampir RM20,000, saya usahakan projek atas keluasan tanah kira-kira 0.8 hektar dan membeli lebih kurang 220 benih pokok di Selangor untuk ditanam," katanya kepada KitaReporters.
Tambah Marzuki, beberapa bulan selepas itu dia dikunjungi pihak Jabatan Pertanian untuk khidmat nasihat selain turut mencadangkannya menghasilkan benih kelapa SGG yang begitu mendapat permintaan di pasaran.
Katanya lagi, bertitik- tolak daripada itulah dia kemudiannya fokus terhadap penghasilan benih kelapa SGG dan menumpukan sepenuh masa dalam bidang tersebut selepas menamatkan perkhidmatan sebagai penjawat awam.

Marzuki Ibrahim melihat benih pokok kelapa SGG diusahakannya yang sudah boleh dijual.
"Sekarang ini, keseluruhan pokok kelapa yang ada hampir 400 batang melibatkan keluasan tanah kira-kira 1.6 hektar. Namun tidak semua pokok keluarkan buah yang sesuai dijadikan benih.
"Saya uruskan seorang diri dan tidak punyai pekerja, setiap hari datang kebun lebih kurang pukul 8 pagi. Saya sekadar usaha setakat termampu sahaja walaupun permintaan diterima amat tinggi sehingga ada ketikanya melebihi penawaran.
"Saya tidak membuat penghantaran kepada pelanggan kerana segala urusan jual beli hanya di kebun sahaja. Selain pekebun, ada dalam kalangan pelanggan yang datang membeli benih kelapa varieti SGG merupakan pengusaha nurseri," ujarnya.

MARZUKI IBRAHIM (kiri) hanya menjalankan urusan jual beli di kawasan kebun sahaja. - Kredit foto: FB Marzuki Ibrahim
Marzuki berkata proses penghasilan benih kelapa SGG tidak begitu rumit tetapi tetap memerlukan skill serta ilmu berkaitan termasuklah serangan musuh tanaman terutama kumbang yang boleh menyebabkan pokok mati.
"Antara prosesnya ialah kita perlu kutip kelapa yang gugur dan pilih buah berkualiti sahaja. Kemudian, dicaras sebahagian kulitnya dipanggil 'muka' supaya air mudah masuk dan anak benih cepat tumbuh.
"Kelapa tersebut disusun untuk semaian dan dibiarkan sehinggalah bercambah. Biasanya mengambil masa lebih kurang tiga bulan, dalam tempoh ini juga cuma perlu siram air sahaja.
"Selepas tiga bulan atau bercambah, barulah kita gunakan baja serta racun serangga. Apabila anak benih sudah mencapai ketinggian antara 0.5 hingga 0.8 meter, ia sesuai dijual untuk ditanam biasanya ambil masa sekitar enam bulan," katanya.
Menyentuh mengenai cabaran, Marzuki berkata kehadiran musuh tanaman seperti kera, beruang, tikus dan kumbang sedikit-sebanyak mengganggu kelancaran perusahaan benih kelapa varieti SGG diusahakannya. - KitaReporters
