Insan & Komuniti 25 May, 2025

Syabas! Persatuan Bekas Kakitangan KTM buka pusat jagaan warga emas! Bela nasib ahli dan orang awam!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Kerja pembersihan halaman rumah yang diwakafkan itu sudah dimulakan sejak April 2025.


Kewujudan satu-satu persatuan tidak bermakna jika gagal untuk membantu ahli khususnya bagi menjaga kebajikan untuk meneruskan kehidupan termasuklah selepas bersara seperti daripada perkhidmatan awam, badan berkanun atau swasta.

Bersara pada usia 60 tahun umpamanya dengan jumlah pencen diterima setiap bulan tidak seberapa atau wang tabungan semakin berkurangan kerana terpaksa menanggung kos hidup ia akan menjadi bebanan terutama apabila ditimpa pula musibah kesihatan serta masalah keluarga.

Selepas membuat penelitian serta kajian terperinci Persatuan Bekas Kakitangan Keretapi Tanah Melayu (PBKKTM) mengambil inisiatif untuk membuka Pusat Jagaan Warga Emas PBKKTM yang akan berfungsi untuk menempatkan ahli yang ditimpa masalah.

Pusat jagaan berkenaan akan dibuka di sebuah rumah setingkat mengandungi enam bilik di atas sebidang tanah seluas 0.25 ekar yang diwakafkan oleh waris Allahyarharmah Cikgu Aishah kepada Ahli Jawatankuasa Penaja PBKKTM dengan kerjasama Mudir Pondok Al-Karim, Sungai Siput (U), Perak.


Kerja membersih dalam rumah itu turut dilakukan secara bergotong-royong ahli PBKKTM dengan pelajar Pondok Al-Karim.


Setiausahanya, Abdul Rahim Othman, berkata objektif pembukaan pusat itu bertujuan untuk membantu golongan warga emas dalam kalangan ahli persatuan di samping orang awam yang ingin mendapat penjagaan fizikal serta mental yang komprehensif, kos berpatutan dan berkualiti.

Menurutnya, langkah itu akan membantu keluarga terutama kurang berkemampuan supaya ibu bapa mereka dikategori warga emas dijaga secara sepenuh masa dalam suasana selesa dan harmoni untuk meningkatkan kualiti hidup mereka. 

Tambahnya, apabila ditempatkan di pusat berkenaan warga emas terbabit akan diberikan bimbingan serta motivasi melalui aktiviti bersosial, senaman, spiritual dan kerohanian supaya mereka berasa seronok yang penting akan membantu mengurangkan tekanan perasaan atau emosi.

Jelasnya, pusat berkenaan juga akan menyediakan platform untuk warga emas mendalami pengajian agama seperti mengikuti kelas fardu ain, mengaji dan sebagainya apabila kolaboratif diwujudkan dengan Pondok Al-Karim supaya dapat memperbaiki hubungan dengan Allah.


Rumah yang diwakafkan akan dibangunkan sebagai Pusat Jagaan Warga Emas oleh PBKKTM di Perlop 2, Lasah, Sungai Siput (U), Perak. 


“Sehubungan itu, persatuan akan memastikan usaha pembukaan pusat berkenaan berjalan lancar termasuklah membuat permohonan dengan pihak berkaitan sebagaimana yang disyaratkan bagi mengelak timbul pelbagai masalah kemudian hari.  

“Rumah yang diwakaf ini, persatuan mendapati ia masih kukuh binaannya, berada dalam keadaan baik turut menyuntik semangat ahli jawatankuasa untuk merealisasikan hasrat berkenaan walaupun terpaksa melakukan kerja pembaikan kecil termasuk pengubahsuaian jubin lantai, siling, pintu bilik, pendawaian elektrik, perpaipan dan kemasan dalaman,” ujarnya.

Abdul Rahim berkata, aktiviti pembersihan rumah berkenaan sudah dilakukan sejak April 2025 secara separuh masa dan bergotong-royong dengan pembersihan luaran mencapai 70 peratus siap bagaimanapun kerja kemasan dalaman masih dibuat dengan rapi sebelum permohonan dikemukakan kepada pihak terbabit.

Tambahnya, rumah yang terletak di No 58, Perlop 2, Lasah, Sungai Siput (U) itu amat bersesuaian bagi menempatkan warga emas kerana mempunyai akses jalan raya dan kemudahan komunikasi awam seperti Internet dan media sosial selain pewakaf tidak mengenakan sebarang syarat atau bayaran selagi premis berkenaan digunakan untuk tujuan kebajikan dan kebaikan umat.


Ruang utama rumah yang diwakafkan itu berada dalam keadaan baik.


Jelasnya, lokasi rumah itu berada di luar bandar tetapi berdekatan dengan pusat kesihatan, balai polis dan masjid, namun aspek keselamatan premis perlu diberi perhatian termasuklah keselamatan bangunan, pendawaian elektrik, pagar keselamatan, pintu dilengkapi jeriji, pemasangan kamera litar tertutup dan sebagainya yang akan dirujuk kepada pihak berkuasa terbabit.

Menurutnya, untuk permulaan, apabila beroperasi pusat jagaan itu akan menguruskan warga emas bagi dua kategori sahaja iaitu penjagaan biasa dan penjagaan sederhana yang memerlukan bantuan menjalankan aktiviti harian, manakala bagi kategori penjagaan khas seperti tidak mampu bergerak serta menguruskan diri akan dipertimbangkan pada masa depan.

“Sehubungan itu, persatuan kini memerlukan infak dana daripada pelbagai pihak termasuk orang ramai untuk membantu menampung kos membaik pulih kemasan dalaman sebanyak RM4,800, perpaipan (RM1,700), kerja pembersihan luar dan dalam (RM1,300) di samping mengalu-alukan sumbangan perabut seperti almari, sofa, kerusi serta meja makan, dapur gas, katil, tilam, bantal dan sebagainya,” ujarnya.

Kepada mereka yang berhajat untuk memberi sumbangan wang tunai boleh memasukkan terus ke akaun Maybank bernombor 5641-0000-8027 atas nama Persatuan Bekas Kakitangan KTM dan lampirkan slip untuk rujukan.

Maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan boleh menghubungi Yang Dipertua PBKKTM, Lt Kol (B), Dato' Sarbini Tijan menerusi nombor telefon 019-2256854, Penasihat dan Yang Dipertua PBKKTM, Dato' Dr Sukarno Wagiman (019-2428600) dan Abdul Rahim (019-2256803), serta bendahari, Mat Isa Jamaluddin (019-3304569). - KitaReporters


Antara ruang yang akan dijadikan bilik untuk menempatkan warga emas.

17
16
0
11
0
You will be interested