Insan & Komuniti 20 Feb, 2021

Tolong kami! Bantu Islamic Relief Malaysia! Bantuan pek makanan untuk terjejas Covid-19, PKP

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this

Seorang ibu tunggal yang bekerja secara sambilan bagi menyara tiga orang anaknya sangat terharu kerana terpilih sebagai salah seorang penerima manfaat bantuan Covid-19 anjuran Islamic Relief Malaysia. - Kredit foto: IRM


SEJAK Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 mula dilaksanakan Mac 2020 lalu, Islamic Relief Malaysia (IRM) sentiasa berusaha sedaya upaya untuk meringankan beban golongan terjejas dengan edaran bantuan kepada lebih 7,000 penerima manfaat di seluruh Malaysia merangkumi pelbagai lapisan masyarakat termasuk hospital dan barisan hadapan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia, Zairulshahfuddin Zainal Abidin, dalam keghairahan dan semangat untuk menyalurkan bantuan, pihaknya sentiasa mengingatkan kakitangan Islamic Relief agar memastikan prosedur amalan standard (SOP) dijaga serta dipatuhi sepenuhnya.

Jelasnya lagi, hal ini sangat penting bagi mengelakkan insiden pihak yang membantu menjadi sebahagian pembawa wabak kepada yang dibantu memandangkan kita semua sedang berdepan bencana global yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Islamic Relief:

https://kitareporters.com/search?search=islamic+relief


Penerima manfaat bersama barangan bantuan yang diedarkan bagi setiap keluarga yang terpilih. - Kredit foto: IRM


Terbaharu, Islamic Relief Malaysia telah mengedarkan bantuan pek makanan, kit kebersihan dan lampin pakai buang untuk bayi kepada 170 keluarga Rohingya di Ampang, Selangor secara berperingkat-peringkat. 

Hanya wakil lima keluarga sahaja dibenarkan hadir ke kawasan agihan dalam satu-satu tempoh masa, manakala sewaktu sesi tersebut berlangsung, terdapat pihak Polis Diraja Malaysia memantau keadaan di sana.

Sumbangan ini diberikan kepada penerima manfaat yang hilang punca pendapatan ekoran dibuang kerja selain masalah penutupan operasi tempat kerja mereka.

Antara pihak lain yang membantu Islamic Relief Malaysia dalam sesi penilaian penerima manfaat yang layak adalah persatuan Rohingya Youth Forum Development.

“Sebelum ini saya bekerja mengambil upah mengecat rumah dan bangunan. Sekarang, saya tidak dapat bekerja lagi kerana keadaan pergerakan kita sangat terhad. 

"Terima kasih atas bantuan yang diberikan dan terima kasih kerana prihatin akan nasib kami golongan pelarian ini. Bantuan ini sangat besar maknanya kepada kami sekeluarga,” kata Mohd Miah.


Mohd Miah melahirkan rasa syukur tidak terhingga atas bantuan yang diberikan untuknya dan komuniti pelarian Rohingya. - Kredit foto: IRM 


“Meskipun terdapat sentimen dan persepsi negatif yang sering dilemparkan kepada komuniti Rohingya, namun kami di Islamic Relief Malaysia sentiasa berpegang kepada prinsip kami bahawa bantuan kemanusiaan tidak mengenal apa jua bentuk perbezaan mahupun sebarang diskriminasi.

“Rentetan itu, menjadi tanggungjawab kita semua untuk sama-sama membantu antara satu sama lain tanpa prejudis,” kata Muhammad Izzat Ruslan, Pegawai Kanan, Bahagian Program Islamic Relief Malaysia.

Menurut salah seorang ibu tunggal yang juga penerima manfaat bantuan Covid-19 daripada Islamic Relief Malaysia juga melahirkan rasa syukur atas bantuan yang diberikan serta berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sudi membantu mereka.

"Dahulu, saya ada dua orang anak yang membantu saya menampung perbelanjaan keluarga, tetapi sejak PKP dilaksanakan, anak saya yang kedua tidak dapat bekerja sepenuh masa kerana majikannya juga mengalami masalah kewangan. 

Sewa rumah juga kadangkala tertunggak. Sejak itu, kehidupan kami lima beranak semakin mencabar,” kata Laila Hussin Kabir.


Kakitangan Islamic Relief Malaysia bersama salah seorang penerima manfaat sewaktu sesi agihan dijalankan. - Kredit foto: IRM


Orang awam yang ingin menyalurkan bantuan menerusi tabung Rayuan Covid-19 anjuran Islamic Relief Malaysia boleh melayari laman sesawang https://islamic-relief.org.my atau hubungi ibu pejabat Islamic Relief Malaysia menerusi talian 03-8926 3434.

Semoga usaha berterusan yang dilaksanakan kita bersama ini dapat mengukir senyuman kepada mereka yang terkesan seterusnya menjadi jawapan kepada rintihan doa mereka dalam perjuangan meneruskan kelangsungan hidup. - KItaReporters

0
0
0
0
0
You will be interested