Ukiran arca Puteri Diana akhirnya dirasmikan pada 1 Julai 2021.
"And it seems to me you lived your life
Never fading with the sunset
When the rain set in
And your footsteps will always fall here
Along England's greenest hills
Your candle's burned out long before
Your legend ever will
These empty days without your smile
This torch we'll always carry
For our nation's golden child"
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Puteri Diana
"Ibu kami kekal di hati seluruh manusia." - Kredit gambar: Reuters
ENGLAND`S rose atau engkau bagaikan sekuntum Mawar England, yang dinyanyikan oleh Sir Elton John ketika mengiringi majlis persemadian bekas Puteri Wales, Lady Diana, kembali `muncul` berdiri teguh dalam bentuk seni ukiran arca yang dikelilingi oleh ribuan bunga-bunga segar mewangi pada Khamis, 1 Julai 2021.
Arca Puteri Diana yang juga dikenali sebagai "Puteri Rakyat" diperbuat daripada gangsa berwarna hijau itu diperlihatkan sedang melebarkan tangan, memegang dua kanak-kanak di sisinya, seorang lagi di belakangnya, simbolik kepada insan berjiwa kental, penuh cinta dan berkarisma yang kerja kebajikannya meninggalkan kesan yang mendalam dan disayangi seluruh penduduk dunia.
Pembukaan arca di Taman Sari Sunken (Sunken Garden), Istana Kensington itu dirasmikan oleh Putera William dan Putera Harry sempena meraikan hari jadi bonda mereka yang meninggal dunia secara mengejut dalam nahas ngeri di Paris pada 24 tahun lalu.
The New York Times melaporkan, di sebalik konflik yang meregangkan hubungan dua anaknya dan Diana sendiri turut melalui proses hidup penuh kepayahan sejak kecil dengan kes penceraian ibu bapa, perselisihan keluarga sehingga dia sendiri bercerai, tidak sesekalipun menjadi penghalang kepada dua beradik untuk bersatu tampil menghadiahkan arca buat ulang tahun ke-60 ibu mereka.
Pengukir terkemuka England Ian Rank Broadley yang turut mengukir wajah Ratu Elizabeth II dan dicetak pada syiling negara itu serta wajah Putera Philip untuk mata wang peringatan mengetuai jawatankuasa pembinaan arca tersebut.
Taman Sari Sunken di mana arca itu didirikan dihiasi lebih 4,000 pokok bunga termasuk 200 jenis mawar daripada lima variasi termasuk Ballerina dan Blush Noisette, 100 bunga `forget me not` (bunga biru lambang kesetiaan), 500 lavender, 100 dahlia, 50 bunga wangian sweetpea (Lathyrus Odoratus).
Dalam bahasa bunga, sweet pea bererti selamat tinggal, kedatangan, kepuasan, dan bermakna suatu ungkapan: ”terima kasih untuk saat-saat yang menyenangkan”.
Selain itu turut mengindahkan lagi suasana itu ialah 300 bunga tulip dari tiga jenis termasuk White Triumphator dan China Pink di samping 400 meter hamparan rumput yang menghijau seperti permaidani.
Bunga forget me not.
Sebelum itu, akhbar Telegraph melaporkan taman bunga dibina sejak 2019 oleh lima pekerja landskap istana diketuai Penolong Ketua Jabatan Taman dan Estet di Istana Sejarah Diraja, Graham Dillamore. Mereka menghabiskan 1,000 jam untuk menyusun, menanam serta memastikan penjagaannya sempurna menjelang pembukaan pada 1 Julai 2021 itu.
Sepatutnya taman itu dibuka pada tahun 2020 lalu. Akibat pandemic Covid-19 ia ditangguhkan sehingga 1 Julai 2021 ini.
Selain itu, buat pertama kali baju pengantin yang pernah dipakai oleh Puteri Diana ketika melangsungkan perkahwinanya dengan Putera Charles dan ditonton hampir 1 billion, turut dipamerkan sehingga 2022.
Pereka taman, Pip Morrison berkata, projek pembinaan taman itu sangat istimewa kerana Taman Sari Sunken adalah tempat kesukaan Diana yang banyak menghabiskan masa dengan dua puteranya.
Untuk itu, reka bentuk dan susun atur arca dan bunga-bunga perlu mewujudkan suasana tenang dan damai bagi melengkapi keindahan istana supaya pengunjung ke Istana Kensington dapat menikmati saujana bunga sambil mengingati Diana.
Sementara itu, Dillamore pula berkata, ”ketika menetap di istana ini, Diana suka memuji gubahan bunga dan pameran dan puteri akan singgah berbual dengan kami dan pekerja lain yang menjaga taman ini.”
Bunga sweetpea
Sementara itu akhbar Independent memetik ucapan bersama William dan Harry menyebut: "Setiap hari, kami berharap ibu masih berada di sisi dan arca ini akan menjadi simbol abadi tentang hidup dan legasinya.
"Terima kasih Ian Rank-Broadley, Pip Morrison dan kumpulan kerja yang menakjubkan dan semua penderma seluruh dunia yang membantu menjadikan memori ibu kami, kekal hidup."
Akhbar itu menyifatkan arca gangsa Diana bersama tiga kanak-kanak itu menggambarkan kerja yang dilakukannya memberi kesan mendalam yang merentasi generasi sejagat.
Orang ramai dijangka dapat melawat taman ini mulai 2 Julai 2021. - KitaReporters
Lokasi arca Diana ditempatkan. - Kredit foto: Evening Standard UK
Taman Sari Sunken. - Kredit foto: Istana Kensington