MALANG tidak berbau. Ada-ada sahaja kejadian yang tidak diingini berlaku pada musim banjir. Inilah saat sengsara yang ditempuhi seorang ibu tunggal, Noridahayati Yusof, 51, berdepan 'malang bertimpa' buat kali kedua apabila kediamannya dihempap pokok. : KitaReporters
Rumah PPRT Noridahayati Yusof dihempap sebatang pokok tumbang berdekatan Sungai Lipis di Kampung Tanjung Lipis, Lipis pada 10 Januari 2021. - Kredit foto: FB AmirMarwanCch
Lagi kisah-kisah malang berkaitan pokok tumbang:
https://kitareporters.com/search?search=pokok+tumbang
Kejadian pokok tumbang itu berlaku di Kampung Tanjung Lipis, Lipis pada pukul 11 malam, pada 10 Januari 2021.
Pada sebelah siang sebelum kejadian, dia baharu sahaja membersihkan rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang didudukinya sejak 10 tahun lalu daripada kekotoran dan lumpur akibat banjir minggu lalu.
Abdul Rahman Mohamad dan penduduk melihat batang pokok tumbang di tebing Sungai Lipis yang menghempap kediaman PPRT Noridahayati Yusof di Kampung Tanjung Lipis, Lipis. - Kredit foto: FB AmirMarwan Cch
Noridahayati berkata, dia dan empat orang anaknya baharu sahaja pulang dari Pusat Penempatan Sementara (PPS) setelah air Sungai Lipis surut dan banjir pulih lalu membersihkan kediaman itu.
Katanya, setelah selesai membersihkan kediaman itu sehingga menjelang malam baharulah dia dapat merebahkan badan untuk melepaskan lelah dengan melelapkan mata, tiba-tiba kediaman itu 'digegar' sekali lagi apabila sebatang pokok berdekatan tebing Sungai Lipis menghempap bumbung rumah.
"Tanpa ribut, tiba-tiba pokok berdekatan sungai tumbang menghempap rumah saya. Mujurlah batang pokok ini tidak menghempap ruang tempat tidur saya. Saya amat bersyukur cuma mengalami kecederaan ringan pada kepala.
Noridahayati Yusof cuma cedera ringan pada bahagian kepala dalam kejadian rumahnya dihempap oleh pokok tumbang di Tanjung Lipis, Lipis ada 10 Januari 2021. - Kredit foto: FB AmirMarwanCch
"Ketika kejadian ini, anak saya yang kebetulan masih berurusan di PPS berdekatan Tanjung Lipis bergegas kembali ke rumah untuk menyelamatkan saya apabila diberitahu oleh orang ramai," katanya di balai raya Kampung Tanjung Lipis, Lipis pada 12 Januari 2021.
Menurut Noridahayati, dia menempuh nasib malang kali kedua berbanding mangsa banjir lain dan menjadi buntu apabila memikirkan di mana tempat yang dapat berteduh daripada hujan dan panas selepas kejadian itu.
"Hendak membina rumah baharu saya tidak berkemampuan wang ringgit cuma memperoleh pendapatan hasil kerja kampung sedangkan sebelum ini saya tinggal di rumah PPRT juga hasil bantuan kerajaan," katanya.
Abdul Rahman Mohamad (kiri) bersama Amil Mohamad melihat kerja pembersihan kediaman Noridahayati Yusof dengan bantuan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) di Tanjung Lipis, Lipis. - Kredit foto: FB AmirMarwanCch
Permasalahan kediaman Noridahayati terjawab apabila Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar 1 merangkap Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berziarah ibu tunggal itu dan melihat kerosakan kediaman berkenaan pada 12 Januari 2021.
Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Lipis memberikan jaminan untuk menggantikan kediaman baharu juga di bawah PPRT kementerian tersebut.
"Buat sementara waktu, mangsa ini akan tinggal di balai raya kampung ini. Kita akan mencari tapak baharu di Tanjung Lipis untuk membina rumah PPRT untuk keluarga ini.
"Projek rumah PPRT akan disegerakan supaya Noridahayati dan anaknya dapat memulakan kehidupan baharu dengan selesa," katanya yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung (JKKK) Tanjung Lipis, Amil Mohamad.
Abdul Rahman Mohamad (kiri) disaksikan oleh Amil Mohamad (kanan) menyampaikan bantuan barang keperluan dapur dan wang tunai kepada ibu tunggal, Noridahayati Yusof di balai raya Kampung Tanjung Lipis, Lipis pada 12 Januari 2021.
Abdul Rahman yang berziarah di situ bersama sukarelawan UMNO turut menyumbangkan barang keperluan dapur dan wang tunai untuk perbelanjaan kepada ibu tunggal itu.
Dalam pada itu, Noridahayati cukup terharu dan bersyukur apabila diberi jaminan oleh Abdul Rahman untuk membina kediaman PPRT yang baharu.
"Saya sangat berterima kasih dengan sikap endah dan prihatin beliau (Abdul Rahman) serta kemurahan hati terhadap kesusahan kami dan mangsa banjir di Lipis," katanya yang menetap buat sementara di balai raya Tanjung Lipis. - KitaReporters