NASIB golongan asnaf di negara kita sentiasa diberi perhatian oleh pihak kerajaan melalui jabatan dan agensi tertentu dalam usaha untuk membolehkan mereka menjalani kehidupan harian seperti masyarakat yang lain. Antara agensi kerajaan yang turun membantu ialah majlis agama Islam negeri-negeri khususnya lembaga zakat serta baitulmal negeri. : KitaReporters
Syed Anwar Jamalullail memotong riben perasmian penyerahan rumah baharu bagi golongan asnaf di daerah Kuala Selangor yang berlangsung di Kampung Sungai Sireh, Tanjung Karang. Kiri sekali ialah Saipolyazam M. Yusof. - Kredit foto: Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Sehubungan itu, pelbagai bentuk program, bimbingan dan bantuan diberikan dari semasa ke semasa terhadap golongan tersebut sebagai langkah sokongan bagi memberi ruang kepada mereka berusaha memperbaiki serta meningkatkan taraf hidup ke satu peringkat yang lebih baik.
Malahan langkah diambil kerajaan dalam memberi bimbingan dan bantuan melalui skim-skim tertentu diwujudkan matlamatnya jelas bagi mengubah kehidupan harian golongan kurang bernasib baik ini keluar dari kepompong kemiskinan yang membelenggu selama ini.
Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebagai salah sebuah agensi di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) antara organisasi kerajaan yang memainkan peranan penting dalam membantu golongan asnaf memperbaiki tahap kehidupan mereka.
Pelbagai bentuk bantuan disediakan oleh LZS untuk disalurkan kepada golongan asnaf bagi tujuan itu termasuklah skim bantuan sara hidup, makanan, perubatan, prasarana tempat tinggal, pelajaran anak-anak, perniagaan dan sebagainya.
Usaha murni ini dilaksanakan bagi menjalankan amanah para pembayar zakat di Selangor yang sentiasa meningkat dari setahun ke setahun supaya antara kutipan zakat diperolehi disalurkan bagi tujuan kebajikan termasuk memperbaiki tahap hidup golongan asnaf yang dikategorikan sebagai fakir dan miskin.
Salah seorang penerima rumah baharu golongan asnaf Lembaga Zakat Selangor bagi daerah Kuala Selangor, Abdul Rahman Tamyis menyatakan sesuatu kepada Syed Anwar Jamalulail semasa menerima replika kunci sebagai simbolik penyerahan rumah baharu tersebut.
Dalam konteks ini, selain mewujudkan skim-skim bantuan tertentu, LZS juga dalam usaha memberi sokongan serta galakan ke arah memperbaiki kehidupan golongan asnaf telah mewujudkan skim bantuan pembinaan rumah baharu untuk individu fakir dan miskin yang benar-benar layak serta memerlukan.Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazam M. Yusof, bagi tempoh sepuluh tahun antara 2010 hingga 2020 sejumlah 2,281 buah rumah telah dibina melalui dana yang dibiayai lembaga zakat berkenaan di seluruh negeri.
Dana digunakan untuk tujuan memberi keselesaan kediaman kepada golongan terlibat termasuk mualaf keseluruhannya berjumlah RM99.8 juta. Nilai setiap sebuah rumah antara RM80,000 hingga RM93,000 dilengkapi dengan bekalan eletrik dan air.
Maklumat ini diberikan oleh beliau pada Majlis Penyerahan 10 buah rumah baharu kepada sepuluh orang penduduk asnaf yang terpilih di daerah Kuala Selangor pada Isnin 21 September 2020 lalu oleh Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail yang dipetik dari media sosial lembaga zakat berkenaan.
Majlis penyerahan berlangsung di salah sebuah rumah penerima bantuan berkenaan, Juliyah Mohd Ishak di Kampung Sungai Sireh, Tanjung Karang.
Para jemputan VIP bergambar kenangan bersama Syed Anwar Jamalullail (empat daripada kanan) dengan berlatarbelakangkan rumah baharu golongan asnaf LZS selepas majlis penyerahan replika kunci rumah berkenaan.
LZS juga, katanya telah menyalurkan dana RM54.266 juta bagi membaiki sejumlah 3,457 buah rumah melalui skim bantuan memperbaiki dan baik pulih rumah rosak dan uzur di seluruh Selangor bagi tempoh antara 2010 hingga 2020."Selain bantuan bina rumah baharu, baiki rumah rosak dan uzur serta bantuan lainnya, pihak lembaga zakat juga dalam konteks membantu golongan asnaf memperbaiki taraf hidup pada masa hadapan telah menyediakan bantuan pendidikan dan perniagaan," ujarnya.
Sejak 20 tahun lalu, LZS telah membantu anak-anak golongan asnaf melalui skim bantuan pendidikan untuk peringkat sekolah rendah, menengah dan pusat pengajian tinggi dalam dan luar negara bagi melanjutkan pelajaran masing-masing.
Katanya, sehingga ini, seramai 10,000 pelajar keluarga asnaf yang tinggal di Selangor sama ada pada peringkat sekolah atau pusat pengajian tinggi awam mahupun swasta mendapat bantuan dana LZS.
Syed Anwar Jamalullail (kiri) bertanyakan sesuatu kepada salah seorang penerima rumah baharu Lembaga Zakat Selangor bagi daerah Kuala Selangor, Juliyah Mohd Ishak selepas meninjau rumah berkenaan.
Daripada jumlah tersebut seramai 500 orang pelajar mengikuti pengajian tinggi di luar negara yang majoritinya menuntut di Mesir, Jordan dan Moroco sama ada mengikuti pengajian agama mahupun bidang profesional lainnya.Dengan adanya bantuan dana berkenaan, menurutnya, akan membolehkan anak-anak yang terlibat berjaya dalam bidang pelajaran menjadi ejen perubahan dalam membantu memperbaiki kehidupan keluarga pada masa hadapan.
Manakala dalam bidang ekonomi, Saipolyazam memberitahu, hasil bantuan dana LZS yang disalurkan kepada golongan asnaf menjalankan kegiatan perniagaan ramai antaranya yang berjaya dan ada dalam kalangan mereka juga mampu menjadi penyumbang kepada pihak lembaga sebagai pembayar zakat.
Malahan, katanya, sudah ramai daripada kalangan mereka yang mampu keluar daripada kepompong kemiskinan sebelum ini.
Katanya, lebih 50 peniaga daripada golongan asnaf yang dibantu kini dikawal selia pihak LZS supaya aktiviti perniagaan mereka terus meningkat dan maju.
Para penerima rumah baharu bagi golongan asnaf Lembaga Zakat Selangor bergambar bersama replika kunci rumah masing-masing dengan berlatarbelakangkan salah sebuah rumah baharu berkenaan.
Projek rumah baharu bagi golongan asnaf yang diserahkan oleh LZS kepada 10 penduduk terpilih di daerah Kuala Selangor bernilai antara RM86,000 hingga RM90,000 sebuah mengandungi tiga bilik dilengkapi kemudahan bekalan elektrik dan air.
Untuk projek pembinaan ini dibiayai sepenuhnya melalui dana LZS dari peringkat penyediaan asas tapak hingga rumah siap sepenuhnya. Reka bentuk rumah baharu di bawah projek ini berlainan daripada sebelumnya dan ia lebih menarik.
Keseluruhan dana bagi 10 buah rumah baharu golongan asnaf berkenaan berjumlah RM882,815.00.
Beliau mahukan para penerima yang terpilih dan menerima replika kunci sebagai tanda simbolik penyerahan rumah baharu berkenaan supaya menjaga serta memelihara kediaman indah dan menarik itu dengan baik sesuai dengan hasrat para pembayar zakat di LZS.
Katanya, jika kaedah ini dilaksanakan jangka hayat kediaman berkenaan lebih lama dan secara tidak langsung mendorong para pembayar zakat meningkatkan sumbangan mereka, di samping membolehkan pihak lembaga zakat menyalurkan bantuan kepada lebih ramai mereka yang memerlukan pada masa akan datang.
Pada majlis tersebut, Syed Anwar bersama Orang Besar Daerah Kuala Selangor, Dato' Muhamad Yaacob Dato' Ismail; Timbalan Pengerusi LZS, Dato' Dr Aizuddin Ahmad; dan Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Ahmad Shahir Makhtar meninjau bahagian dalam rumah salah seorang penerima berkenaan, Juliah Mohd Ishak selepas acara penyampaian replika kunci rumah dan memotong riben sebagai tanda penyerahan rumah baharu tersebut. - KitaReporters
Salah seorang penerima Rumah Baharu Golongan Asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang terpilih diberi semangat dan peransang oleh Syed Anwar Jamalullail semasa menyerahkan replika kunci rumah berkenaan di Sungai Sireh, Tanjung Karang.