Insan & Komuniti 07 May, 2020

'Mr Banana' terkedu! Ladang pisang penuh belukar masa PKP!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

“SAYA akur kepada arahan kerajaan yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menyekat penularan Covid-19 bermula 18 Mac 2020 dan terpaksa melupakan kebun pisang di Banting, Selangor. Tapi selepas 40 hari lebih PKP berkenaan dilaksanakan, tiga hari lalu kelonggaran  yang diberikan dalam Fasa 4, saya hampir menitis air mata apabila melihat kebun yang ditinggalkan itu dipenuhi belukar,” kata Mr Banana ketika dihubungi. : KitaReporters

Kebun pisang Mr Banana dipenuhi belukar selepas terbiar berikutan PKP dilaksanakan.



Mr Banana, yang bersara dua tahun lalu selepas berkhidmat selama 33 tahun dengan agensi kerajaan dan swasta khusus berkaitan bidang pertanian, memulakan projek menanam 180 pokok pisang berangan di atas tanah seluas 0.1 hektar di Kampung Kelanang, Banting di Selangor.

Selepas setahun memulakan projek itu, beliau berjaya menuai hasilnya apabila pisang berangan berkenaan dapat dipasarkan ke pasar borong, gerai buah-buahan, kedai runcit, di samping disedekahkan kepada surau dan pusat tahfiz.

Sebelum PKP Mr Banana sempat memasarkan pisang berangan dan sedikit pisang tanduk dari kebunnya ke pasar borong dan gerai buah-buahan.


Mr Banana atau nama sebenarnya Mohd Yazid Jenin menetap di Cheras, Selangor terkedu hati apabila melihat kebun pisangnya dipenuhi belukar dan tumbuhan liar serta tidak terurus seperti sebelum itu.

Beliau berkata, selepas mendapat surat kebenaran dari Pejabat Pertanian Daerah Kuala Langat, dia segera ke Banting untuk melihat kebun pisang itu dan hampir tersesat kerana tidak mengenali kebunnya yang bertukar menjadi kawasan belukar.

Mr Banana hampir tidak mengenali kebun pisangnya yang ditutupi dengan belukar dan tumbuhan liar.


Katanya, sebelum PKP dilaksanakan, kebunnya bersih tanpa semak samun, sejuk mata memandang apabila banyak pisang dapat ditebang untuk dipasarkan selain ada pembeli yang datang ke kebun untuk mendapatkannya.

Sebelum PKP kebun pisang Mr Banana bersih kerana selalu dibersihkan setiap minggu.


“Kebun pisang inilah tempat saya mehilangkan rasa bosan selepas bersara dan juga membantu mencergaskan kesihatan diri selain menjadi sumber pendapatan sampingan. 

“Saya reda sepanjang PKP  jika ada pisang yang dikebas orang kerana berpendapat mereka itu mungkin ketiadaan sumber makanan atau menjualnya bagi mendapatkan sedikit wang bagi membeli makanan untuk keluarga,” katanya.

Setandang pisang yang terbiar dan rosak ketika PKP tidak dapat ditebang sebaik sahaja matang.


Mohd Yazid berkata, dengan adanya surat kebenaran itu, dia akan lebih kerap ke kebun seperti sebelumnya terutama untuk melakukan kerja pembersihan dan menebang pisang yang masak untuk dipasarkan.

Katanya, ikut perancangan dia akan ke kebun untuk menebang pisang yang matang hujung Mac 2020 berikutan permintaan daripada pengusaha kerepek yang banyak mendapat tempahan untuk sambutan Aidilfitri.

“Bagaimanapun rancangan itu terbantut apabila PKP dilaksanakan dan banyak pisang yang sudah matang tidak dapat ditebang serta terbiar begitu sahaja di atas pokok. 

Pisang berangan daripada kebun Mr Banana sentiasa menjadi pilihan pengusaha kerepek pisang.


"Saya reda jika pisang itu dikebas orang yang kesempitan hidup, mungkin itu rezeki mereka.

“Selain itu, saya berasa seronok dan gembira dapat membantu usahawan di kampung meneruskan perusahaan kerepek mereka yang juga turut terjejas sepanjang PKP.

 “Atas nasihat dan semangat yang diberikan oleh rakan-rakan saya bertekad untuk memulihkan semula kebun pisang ini di samping berhasrat meluaskan tanaman membabitkan kawasan dua hektar lagi,” kata Mohd Yazid. - KitaReporters

30
6
3
0
4
You will be interested