Insan & Komuniti 24 Feb, 2022

Keluarga Malaysia: Briged Bakti Malaysia tampil bantu! Buku pembelajaran untuk anak-anak daurah!

@kartini mohd noor
Pernah berkhidmat sebagai 1. Stringer Berita Harian 2. Wartawan Berita Harian 3 . Penyunting Harian Metro 4. Grup Editor Majalah IBUBAPA

Share this


Anggota BBM Wilayah Persekutuan melawat anak-anak gadis tahfiz sambil menyumbangkan derma.


TERIMA kasih daun keladi untuk penginfaq dan penderma budiman. Beginilah sifat yang dicari-cari dalam membina sebuah Keluarga Malaysia.

Mungkin itu yang diluahkan oleh lebih 50 pelajar anak-anak gadis dari Daurah Tahfiz Baitul Jannah Bandar Country Homes di Rawang dan dua lagi pusat tahfiz Pertubuhan Kebajikan Ukwah Fillah (Pkuf) apabila menerima sumbangan buku asas latihan penulisan akademik yang memudahkan mereka belajar menulis dan membaca.

Beberapa badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil membantu Pkuf yang memohon mendapatkan sumbangan buku berkenaan membabitkan mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa English, Matematik dan Sains

Setiap mata pelajaran itu memerlukan buku dalam 30 naskah sebagai bahan pengajaran anak-anak tahfiz yang berumur 5 hingga 12 tahun.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan NGO PKUF


Antara yang turut menderma ialah Briged Bakti Malaysia (BBM) Wilayah Persekutuan yang diketuai oleh Pengerusinya, Abdul Menin Shakir Amran (gambar atas) yang kebetulan datang untuk menghantar bantuan keperluan harian terus membuat kutipan derma kilat bagi membiayai buku-buku berkenaan.

Ketika ditemui Abdul Menin, berkata pemberian sumbangan makanan dan bantuan kewangan bagi membeli buku-buku akademik itu diharap dapat memudahkan anak-anak gadis menimba ilmu akademik selain kelas wajib agama. 

Katanya anak-anak gadis itu sangat bertuah kerana berpeluang untuk menimba ilmu dalam keadaan kesukaran untuk memasuki sekolah kerajaan kerana dokumen mereka yang tidak lengkap.

"Semoga pemberian kecil ini akan menjadikan anak-anak ini sebagai generasi berilmu dan memberi jasa kepada masyarakat," katanya sambil menambah BBM Wilayah Persekutuan antara badan pertubuhan yang sebuah NGO yang ditubuhkan di bawah ROS dengan matlamat untuk mendidik masyarakat , mulai dari bangku sekolah supaya suka berbakti (al-birr), berasaskan ayat Al-Qur'an 2:177. 


Sumbangan yang banyak meringankan Pkuf


Abdul Menin yang ditemani Pengerusi Hal Ehwal Wanita, Rozana Abdul Rahman dan beberapa sukarelawannya, berkata sebelum itu mereka menghantar sumbangan makanan ke sebuah rumah amal di sekitar Rawang dan tahfiz berkenaan.

Apabila diberitahu anak-anak gadis berkenaan memerlukan buku latihan itu, terus ahli BBMWP mengutip sumbangan segera dan berharap pemberian berkenaan dapat meringankan beban Pkuf yang menguruskan tahfiz berkenaan menggunakan dana sumbangan orang ramai.

Setakat ini, BBWP mempunyai 500 ahli yang sebahagian besarnya adalah pekerja kerajaan, swasta, suri rumah dan belia yang menggangotai pertubuhan itu secara sukarela. 

Mereka melakukan pelbagai kerja kebajikan termasuk menghantar bantuan kepada mangsa banjir, asnaf dan rumah-rumah kebajikan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor dan di beberapa negeri berhampiran bandar raya.

Briged itu bermula di Kelantan pada tahun 1991 atas nama Briged Bakti Negeri Kelantan dan BBM mula berkembang ke seluruh negara dengan cawangan di setiap negeri. Kini BBM sedang dikembangkan ke peringkat daerah, kawasan dan institusi pengajian tinggi untuk dijadikan kumpulan pelapis.



Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Ukhwah Fillah (Pkuf), Murniati Usman turut berterima kasih kepada beberapa NGO kerana melawat ke tahfiz berkenaan termasuk pasukan bomba yang mendidik anak-anak mengenai program pasukan penyelamat berkenaan.

Katanya sejak mengendalikan tahfiz untuk anak-anak gadis, remaja lelaki dan anak-anak asnaf di bawah pokok pisang, Pkuf telah melalui banyak cabaran termasuk bekalan elektrik yang kena potong, tunggakan sewa rumah dan sebahagian besar anak-anak datang belajar ke situ kerana ada makanan disediakan. 

Ramai yang mengadu di rumah mereka kehabisan makanan.

"Sekarang Pkuf mempunyai lebih 60 pelajar sama ada dipilih untuk ke tahfiz atau belajar secara terbuka di bawah pokok pisang. Masalah utama kami ialah kekurangan dana untuk membeli makanan termasuklah makanan ringan seperti biskut, minuman dan peralatan belajar. 

"Pkuf sangat terhutang budi dengan ramai penginfaq yang datang menyumbangkan pelbagai barangan termasuk al-Quran yang diterima dari seluruh negara. Malah kami terharu ada ibu bapa di sini yang berkongsi duit untuk membeli kerusi dan meja untuk anak-anak mereka belajar," katanya.

Ibu bapa pelajar terbabit kebanyakannya bekerja di sektor pembinaan, tukang cuci, buruh kasar dan kilang kecil yang banyak di sekitar Rawang. - KitaReporters


Teruja anak-anak gadis daurah

9
12
0
13
0
You will be interested