Insan & Komuniti 06 Nov, 2020

Bank Makanan N23! Ayuh sumbang kepada penduduk Hulu Langat!

@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.

Share this
ORANG ramai diminta menghulurkan sumbangan bagi membantu penduduk di beberapa tempat di Daerah Hulu Langat, Selangor yang terjejas akibat banjir berikutan lempahan air Sungai Langat berpunca hujan lebat berterusan selama hampir lima jam pada Rabu 4 November 2020. : KitaReporters


Sebahagian barangan keperluan asas yang disumbangkan kepada bank makanan N23 untuk diagihkan kepada penduduk memerlukan seperti bencana banjir yang berlaku di Hulu langat, Selangor. - Kredit Foto: Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Dusun Tua, Info Penduduk Hulu Langat, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam.


Lagi cerita-cerita berkaitan banjir:

https://kitareporters.com/search?search=banjir


Untuk itu, bantuan boleh disalurkan kepada bank makanan (food bank) yang dilancarkan oleh Pejabat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua yang dikenali sebagai Food Bank N23 terletak di Medan Selera, Taman Pinggiran Delima, Hulu Langat beroperasi antara jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari dari Isnin hingga Jumaat.

Bank makanan ini yang bertujuan untuk membantu penduduk di sekitar Hulu Langat terutama dalam kawasan DUN Dusun Tua benar-benar terdesak hingga tidak mempunyai barangan asas bagi keperluan makanan beroperasi sepenuhnya bermula Khamis 5 November 2020.


Amiruddin Shari menyantuni dan bertanyakan sesuatu kepada salah seorang mangsa banjir di Daerah Hulu Langat semasa melawat ke Pusat Pemindahan Semantara di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof, melalui starus terbaharu dalam laman sosialnya, berharap dengan adanya bank makanan tersebut sedikit sebanyak dapat membantu mereka sangat memerlukan melalui konsep rezeki yang ada kita kongsi bersama.
Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai dapat membantu menyumbang ke bank makanan berkenaan bagi membolehkan mereka terlibat seperti yang terjejas akibat banjir dapat dibantu sekadar termampu.

Dalam usaha membantu menyeleras dan memantau aktiviti pemindahan penduduk yang terjejas akibat banjir pada Rabu, 4 November 2020 itu beliau terpaksa lewat menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN) di Shah Alam.

Bagaimanapun hasil kerjasama pihak-pihak yang terlibat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Hulu Langat, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Parit dan Saliran (JPS), Jabatan Pertahanan Awam (JPA), Majlis Permuafakatan Kumuniti Kampung (MPKK) dan beberapa agensi lainnya usaha penempatan bagi penduduk terjejas banjir dapat disegerakan.

Selain itu, Menteri Besar, Datuk Seri Amiruddin Shari yang membuat lawatan mengejut ke Hulu Langat selepas selesai Sidang DUN Selangor mengarahkan Unit Pengurusan Bencana Daerah Hulu Langat membantu keluarga yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi mengurangkan kesengsaraan dihadapi sehingga keadaan kembali pulih sepenuhnya.
Pada kunjungan ke PPS di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai, beliau bertemu sebahagian penduduk yang terjejas akibat banjir sambil menyantuni mereka dan bertanyakan khabar. Juga menasihatkan supaya bersabar dengan ujian terpaksa dilalui dengan tabah.

Salah seorang penduduk yang terjejas banjir dan ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai menerima bantuan barangan keperluan disampaikan oleh Amiruddin sewaktu beliau mengadakan lawatan mengejut meninjau mangsa banjir di Daerah Hulu langat.

Pada lawatan tersebut Menteri Besar menyampaikan sumbangan bantuan kepada 64 keluarga yang terkesan dengan kejadian tidak diduga itu di PPS berkenaan.
Banjir kilat yang berlaku di Daerah Hulu Langat melibatkan kira-kira 400 keluarga dari 10 buah kampung di Mukim Hulu Langat iaitu Kampung Batu 16 Dusun Tua, Batu 20 Sungai Lui, Sungai Serai, Dusun Nanding, Lubuk Kelubi, Kuala Perdik, Batu 14 Sungai Gahal,Batu 13, Batu 17 dan Kampung Padang.

Menurut laporan Jabatan Kerja Raya Daerah Hulu Langat, kejadian banjir berpunca daripada limpahan air Sungai Langat disebabkan hujan lebat berterusan sejam jam 4.00 pagi dengan ketinggian mencecah 0.45 meter.

Berikut keadaan itu, semua laluan di Jalan Industri Hulu Langat yang merupakan satu-satunya jalan utama ditutup kepada semua kenderaan dan orang ramai diarah menggunakan laluan Hulu Langat-Ampang dan laluan ke Sungai Tekali.
Dua PPS dibuka untuk penempatan penduduk yang terjejas akibat banjir yang dianggap sebagai terburuk sejak 2012 iaitu di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai dan Kompleks Penghulu di Batu 10.

Edry Faizal Eddy Yusof menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada salah satu keluarga di Kampung Sungai Serai yang terjejas akibat banjir.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor (JBPS) menghantar 99 anggota dan pegawai termasuk dari Balai Bomba Kajang, Ampang, Serdang dan Bandar Tun Hussien Onn ke lokasi bagi menjalankan kerja-kerja pemantauan, penyelamat dan pemindahan penduduk terjejas ke PPS.
Manakala Angkatan Pertahanan Awam (APA) dengan 86 orang anggota serta pegawai ditugaskan di sekitar kawasan Hulu Langat bagi membuat pemantauan dan membantu urusan pemindahan.
Sekalipun banjir kilat yang berlaku sudah pun surut, namun penduduk yang terjejas menghadapi masalah selain banyak barangan keperluan rosak juga terpaksa membersihkan bahagian dalam rumah dan sekitaran yang dipenuhi lumpur.
Nasib yang menimpa penduduk terjejas banjir kali ini lebih perit kerana dalam masa sama masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi sekitar Lembah Klang termasuk Hulu Langat sejak 14 Oktober 2020 dan dilanjutkan hingga Isnin 9 November ini.
Apa pun keadaan yang boleh kita bantu dan sumbangkan untuk mereka hulurkanlah sekadar terdaya. Penuhkan bank makanan yang diwujudkan bagi meringankan beban kesusahan dipikul dengan apa juga barangan keperluan asas sebagai khidmat bakti kita demi kelangsungan hidup dalam keadaan serba kekurangan sekarang. - KitaReporters

Jalan Industri merupakan laluan utama di Daerah Hulu Langat terpaksa ditutup kepada semua lalu lintas berikutan banjir yang berpunca dari limpahan air Sungai Langat setelah hujan berterusan kira-kira lima jam.
______________________________________________________________________________________

Beginilah keadaan banjir yang melanda beberapa buah kampung disekitar Daerah Hulu Langat,Selangor berpunca dari hujan lebat berterusan hampir lima jam.

___________________________________________________________________________________

Beginilah keadaan aliran air deras yang dirakam dari hadapan Institut Kemahiran Belia Negara, Dusun Tua.

________________________________________________________________________________________________

Jalan raya utama di Daerah Hulu Langat seolah-olah seperti aliran sungai berikutan banjir berpunca dari hujan lebat berterusan hampir lima jam.

0
0
0
0
0
You will be interested