KERANA harta, keluarga atau saudara mara boleh bermusuhan, adik beradik putus hubungan. Malah ada anak yang sanggup mengemukakan saman terhadap ibu bapa sendiri demi harta sedangkan ibu bapa yang membela mereka sejak tapak kaki sebesar dua ibu jari.
Inilah yang berlaku ke atas seorang bapa, Koswara, 85, dari Kacamatan Cinambo, Bandung, Indonesia, yang disaman oleh anak-anaknya sebanyak tiga (3) bilion rupiah (RM864,000) bagi menuntut hak berhubung tanah pusaka.
Namun takdir Allah menentukan, anak tersebut yang dikenali sebagai Masitoh, meninggal dunia sehari sebelum perbicaraan tersebut bermula di sebuah mahkamah di Bandung.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan ibu bapa:
https://kitareporters.com/search?search=ibu+bapa
MASITOH Koswara meninggal pada 18 Januari 2021, sehari sebelum bicara saman terhadap bapanya, Koswara, bermula di sebuah mahkamah di Bandung, Indonesia. - Kredit foto: Bawang Rangers.
Difahamkan, Masitoh merupakan peguam mewakili abangnya, Deden, dalam perbicaaan itu dan dia juga mengemukakan tuntutan bersama.
Memetik laporan Kompas.com, perbicaraan kes tersebut sepatutnya bermula pada 19 Januari 2021 tetapi Masitoh meninggal sehari sebelumnya pada 18 Januari.
Bapanya, yang dipapah oleh dua orang anak yang lain, Imas dan Hamidah ke mahkamah kerana uzur, tidak tahu Masitoh sudah meninggal dunia sehinggalah dimaklumkan pada hari perbicaraan.
Ini menampakkan betapa terputusnya hubungan dua beranak itu sehingga kematiannya tidak dimaklumkan kepada bapanya.
Namun kasih sayang seorang ayah tidak bertepi. Sekalipun anaknya sampai hati menyaman dirinya yang sudah tua, Koswara tetap mengunjungi pusara anaknya dan mendoakan yang terbaik untuk arwah.
Masitoh dilaporkan meninggal kerana sakit jantung dan dikebumikan pada hari perbicaraan 19 Januari 2021.
Koswara sangat sedih dengan perbuatan anaknya mengemukakan saman di mahkamah berhubung tanah miliknya. -Kredit Kompas.com
Koswara mempunyai enam orang anak, yang sulung bernama Imas, diikuti Deden, Masitoh, Ajid, Hamidah dan Muchtar menurut urutan.
Hamidah memberitahu, mereka mendapat tahu Masitoh meninggal selepas
sebutan kes bermula di mahkamah.
Mereka kemudian pergi ke kubur Masitoh. Menurut Hamidah, di hadapan pusara Masitoh, bapanya kelihatan berdoa untuk arwah
anaknya.
Hamidah memberitahu, dia tidak tahu apa yang
diucapkan oleh Koswara. Dia juga tidak tahu sama ada bapanya
sudah memaafkan kakaknya kerana bapanya tidak bercerita kepadanya.
Namun beberapa pihak, termasuk kawan-kawan
Koswara, meminta dia memaafkan arwah anaknya dan reda dengan apa yang berlaku.
Menurut Hamidah, bapanya pernah membuat
kenyataan bertulis melahirkan kekecewaan kepada anak-anak yang mengemukakan
saman ke atasnya.
Dalam kenyataan tersebut yang bertarikh 11
Disember 2020, Koswara menyatakan dia tidak lagi mengaku Masitoh, Deden, Ajid dan
Muchtar sebagai anaknya. Hamidah dan Imas dianggap setia kepadanya.
Hamidah memberitahu, bapanya membuat kenyataan tersebut yang ditandatangani di hadapan peguam serta tujuh orang saksi.
Menurutnya, bapanya berbuat demikian kerana sangat kecewa dengan perbuatan anaknya mengemukakan saman sedangkan mereka adalah anak seibu sebapa.
Koswara dipapah oleh anaknya Imas (kiri) dan Hamidah (baju merah terlindung) ketika hadir di mahkamah di Bandung untuk bicara saman anaknya ke atas beliau.-Kompas.com
Koswara sendiri mengakui dia sangat kecewa
dengan sikap anaknya, terutama Masitoh, yang bertindak sebagai peguam kepada
Deden dan sama-sama mengemukakan saman terhadap bapanya.
Menurut Koswara, dia tidak mampu membayar wang
tuntutan sekiranya kalah dalam perbicaraan. Selama ini belanja menyekolahkan
anak-anak pun sudah melebihi tiga bilion Rupiah.
Dia sangat kecewa dan sedih kerana telah bekerja tanpa mengira hujan dan panas demi mencari wang menyara pelajaran anak-anak.
Tetapi akhirnya begitu pula balasan anak-anak terhadapnya.
Berikutan kematian Masitoh, tugas sebagai
peguam kepada abangnya Deden diambil alih oleh Komar Sarbini. Dia memberitahu,
Koswaar dan Hamidah disaman kerana didakwa melanggar perjanjian kontrak.
Saman tersebut berkisar kepada tanah seluas
3,000 meter persegi di Jalan Nasution, Bandung, milik orang tua Koswara. Sebahagian daripada tanah itu disewa oleh Deden untuk didirikan kedai
perniagaan.
Namun tanah itu kemudian tidak lagi disewakan
kepada Deden kerana Koswara mahu menjualnya dan hasil jualan akan
diagih-agihkan kepada adik beradiknya (Koswara) selain anak-anaknya sendiri. Namun
Deden yang tidak berpuas hati mengemukakan saman dan Masitoh menjadi peguamnya.
Dalam tuntutannya, Deden meminta bapa dan adiknya (Hamidah) membayar tiga bilion rupiah jika Deden terpaksa pindah dari kedai yang dibangunkan di atas tanah tersebut. Deden juga menuntut ganti rugi keseluruhan berjumlah 220 juta Rupiah (RM63,440). - KitaReporters