Insan & Komuniti 17 Jun, 2021

'Buat bodoh-bodoh' ada kebenarannya! Bagi lengkapkan sifat antara pasangan! Jamin keharmonian

@sarfarizmal saad
Penulis merupakan pemimpin pelajar IPTA suatu ketika dulu. Pernah bertugas di 4 kementerian dan beberapa pasukan komunikasi strategik. Mula menulis di akhbar sejak 2009. Bekas Ahli Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan dan bekas Pegawai Khas YBM.

Share this


Baru-baru ini negara kita digemparkan dengan sebuah tip untuk mencari jodoh dan mengekalkan kebahagiaan rumah tangga daripada pakar motivasi, Prof. Datuk Dr. Muhaya Mohamad.

Namun tip motivasi yang diberikan oleh Prof. Muhaya kali ini tidak seperti kebiasaan, kerana ia mengundang kecaman netizen dalam warganet ekoran daripada perkataan ‘buat bodoh-bodoh’ yang digunakan.

Kenyataan tersebut telah tular melalui sebuah keratan video berdurasi 56 saat yang menyentuh berkaitan wanita yang lambat mendapat jodoh dan tidak berkahwin sehingga trending dalam beberapa media sosial.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Dr Muhaya Mohamad


Walaupun majoriti cerita tersebut tular dalam bentuk negatif dan provokatif, namun isu tersebut juga mengundang pelbagai pakar untuk tampil memberi penjelasan berdasarkan konsep ilmu.

Menurut Pensyarah Kanan Fiqh Fatwa, Pusat Kajian Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, pasangan suami isteri fungsinya saling melengkapi dalam konteks agama Islam.

Justeru, pendekatan buat-buat 'tidak pandai' seperti yang disebutkan oleh Prof. Muhaya itu adalah suatu kelaziman dan merupakan salah satu cara untuk membentuk sifat saling melengkapi sesama suami isteri.



“Bukan wanita itu tak pandai, tapi sebenarnya mereka pandai ambil hati pasangan.

“Daripada buat-buat tak pandai inilah suami rasa dirinya dihargai, dihormati dan disayangi oleh isteri,” ujarnya dalam satu kenyataan di laman Facebook pada 11 Jun 2021.

Beliau turut menyenaraikan beberapa situasi isteri yang mengambarkan maksud "buat-buat tak pandai" antaranya:

1. Dia pandai pandu kereta, pergi balik kerja boleh pandu sendiri, tetapi apabila hendak isi minyak, terus jadi tak pandai. Kita juga yang jadi tukang isi minyak.

2. Dia boleh memasak, basuh pingan dan sapu rumah, tetapi nak buang sampah, “abang sampah dah penuh!” Setakat tu je dia pandai.

3. Dia boleh jaga anak sendirian. Mandi, makan, cebuk anak tiada masalah, tetapi apabila anak bergaduh atau mengamuk “abang tolong tegur sikit budak-budak ni.”

4. Dia boleh terima kalau kita kurang layan dia, jarang gurau-senda, tetapi apabila anak-anak tak buat begitu dia cepat sentap. “Oh tang makan tidur semua cari mama, tang nak bermain cari papa!”

5. Dia pandai merancang. “Ok sayang plan nak tanam bunga, deko rumah, buat langsir baharu dan macam-macam lagila.” Tapi tang bayar dia buat-buat tak pandai.

6. Apabila anak-anak meragam, cepat je tahu apa faktor jadi begitu. Ni mesti tak cukup tidur, dah bosan sangat, main di luar. Tapi apabila sampai diri sendiri, “entah la, tak tahu kenapa sayang rasa lemau je hari ini.”

7. Apabila sediakan makanan dia jaguh. Rania suka makan ini, Aisy suka makan ini, abang suka makan ini semua disediakan. Tapi untuk diri sendiri, “abang tolong carikan …sayang teringinla nak makan.”



Beliau turut berpesan apabila setiap pasangan melihat kelebihan dan kekurangan masing-masing barulah harmoni rumah tangga kerana suami isteri saling melengkapi antara satu sama lain.

Rentetan daripada isu tersebut, Prof Muhaya yang merupakan seorang pakar bidang oftalmologi itu bagaimanapun tampil membuat permohonan maaf berkenaan isu tersebut yang telah menimbulkan rasa salah faham dan kurang senang dalam kalangan masyarakat.

“Bonda mengambil tanggungjawab untuk memohon maaf atas salah faham yang timbul dan ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua yang ambil berat termasuk pihak media, rakan-rakan dan keluarga yang mengambil inisiatif tabayyun, atau bertanya akan perkara sebenarnya kepada Bonda mahupun team Bonda.

“Kepada pihak media juga, sangat baik budi akhlaknya sehingga kini menanti statement Bonda, maka Bonda tampil membuat penjelasan ini. Terima kasih kerana sabar ya,” katanya dalam satu kenyataan kepada pihak media. - KitaReporters


1
0
0
0
0
You will be interested