Insan & Komuniti 30 Aug, 2020

Gol sulung Luqman di Kortrijk! Kena guna teropong Do Re Mi!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

TIDAK sampai pun sebulan merantau, Luqman Hakim Shamsudin sudah menjaringkan gol dalam penampilan sulungnya dengan skuad Bawah 21 Tahun kelab Belgium, KV Kortrijk pada 27 Ogos 2020 lalu! Tahniah Luqman Hakim... Gol pertama untuk lebih banyak gol lagi!! : KitaReporters

LUQMAN Hakim Shamsudin menyarung jersi KV Kortrijk bernombor 9 setibanya di Belgium, dua minggu lalu. - Kredit foto FB Kortrijk.  


Lagi cerita-cerita berkaitan bola sepak:

https://kitareporters.com/search?search=bola+sepak


Sayangnya, timbul rasa agak terkilan ialah betapa sukarnya para warganet yang kebanyakannya peminat rakyat Malaysia untuk melihat bagaimana jaringan tersebut dilakukan dalam perlawanan menentang KRC Gent itu. 

Rata-rata mereka masih mengucapkan tahniah kerana langkah kanan bintang muda berbakat besar bola sepak Malaysia ini namun turut kebingungan dengan rakaman video golnya yang diambil dari sudut yang terlalu jauh di venue perlawanannya

Gambar para pemainnya kelihatan terlalu kecil apatah lagi bola dan pergerakannya tidak dapat dikesan langsung dalam video pada laman sosial KV Kortrijk itu.

@KV Kortrijk : Hakim Luqman scored his first goal on European soil for our U21 in a 1-4 loss against KRC Gent. Congrats, Hakim!


Seorang warganet, Mohd. Syazwan Fairus yang secara berlawak dalam satu daripada 766 ulasan mengenai hantaran Facebook itu, menyelitkan gambar adegan filem Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, ‘Laxmana Do Re Mi’. 

Menonton video jaringan Luqman itu ibaratnya, perlu menggunakan teropong hikmat Re lakonan Allahyarham AR Tompel untuk melihat sesuatu objek idaman di tempat yang sangat jauh. “Nampaklah juga…,” katanya.

ADEGAN lucu 'Laxmana Do Re Mi' lakonan AR Tompel menggunakan teropong hikmat untuk melihat objek yang terlalu jauh tempatnya.


Mujurlah seorang warganet, Ludin KA yang prihatin untuk mengirim video gol Luqman itu yang diperbaharui teknik ‘slo-mo’ dan zoom (gerak perlahan dan sorot rapat) untuk membantu mereka melihatnya dengan sedikit lebih jelas daripada dalam laman sosial KV Kortrijk itu. 


Menerusi video laman YouTube selama 53 saat,  anak jati Kota Bharu, Kelantan berusia 18 tahun itu tampak merampas bola daripada pemain KRC Gent dalam petak penalti yang teragak-agak mengawal, lantas merembat kencang menewaskan penjaga gol

KV Kortrijk, kelab Liga Jupiler Belgium, walau bagaimanapun tewas 4-1 dalam aksi pertama Luqman ini selepas dia menjalani kuarantin 14 hari bagi mengesan gejala pandemik maut, Covid-19. 

“Luqman, jaringkan gol pertamanya di Eropah untuk B21 kita (@kvkjeugd) dalam kekalahan 4-1 menentang KRC Gent. Tahniah!,” lapor hantaran laman Facebook dan Twitter kelab milik saudagar Malaysia, Tan Sri Vincent Tan ini.

Penjaring terbanyak Kejohanan Bawah 16 Tahun AFC 2018 itu berlepas ke Belgium pada 14 Ogos 2020 lalu setelah menandatangani kontrak lima tahun dan diberikan jersi kelab bernombor 9, biarpun sebelum ini lebih menggemari nombor 10.

LUQMAN HAKIM, produk Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari di Gambang, Pahang. - Kredit foto FAM


Sementara itu, Luqman masih menjadi pendahulu pengundian umum secara dalam talian Anugerah Budak Emas Tuttosport 2020 apabila mengumpul 21 peratus undi setakat pusingan ketiga, bulan Ogos 2020.

Peratusan itu bersamaan 3,173 daripada jumlah keseluruhan 15,283 undi yang terkumpul buat 60 pemain bawah 21 tahun berpangkalan di Eropah yang disaring sejak pusingan ketiga pengundian dibuka 14 Ogos 2020 lalu.

Dia kini mengatasi tiga pencabar terdekat pengundian anjuran Tuttosport, sebuah akhbar sukan Itali bagi anugerah edisi ke-18 itu antaranya Eduardo Coimbra Quaresma dari Sporting Lisbon, Portugal, 14 peratus atau 2,109 undi.

Di anak tangga ketiga ialah Heorhiy Tsitaishvili, penyerang kelab Ukraine, Dynamo Kiev berusia 20 tahun yang memungut 1,203 undi atau lapan peratus sambil diekori Dominik Szoboszlai (Red Bull Salzburg) dengan tujuh peratus atau 1,136 undi.

LUQMAN (kanan) mencipta kejutan kerana mendahului kedudukan pengundian dalam talian Anugerah Budak Emas Tuttosport 2020 anjuran akhbar Itali. - Kredit foto FAM.


Anugerah Budak Emas Tuttosport membuka pengundian umum secara dalam talian mulai 15 Jun 2020 lalu melibatkan 100 pemain pada pautan berikut: https://m.tuttosport.com/sondaggi/calcio/golden-boy/2020/08/13-72769390/vota_il_golden_boy_2020_le_60_nomination/.

Pada setiap bulan berikutnya, sebanyak 20 nama yang memungut undi terendah dalam senarai itu akan disingkirkan sehingga hanya tinggal 20 finalis pada 15 Oktober 2020 ini.

Pemenang anugerah ini akan menerimanya pada satu majlis musim luruh ini menerusi pengundian 40 wartawan akhbar Itali di samping Perancis, Sepanyol, Jerman, England, Portugal, Belanda, Rusia dan Turki. - KitaReporters 

LUQMAN turut dipertaruhkan dalam kesebelasan utama Bawah 23 tahun negara pada Sukan SEA Filipina 2019. - Kredit foto FA

4
0
0
0
0
You will be interested