Insan & Komuniti 02 Oct, 2020

Tiada lagi Hassan, cucuk Hassan! Perginya Zulkarnain Hassan

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

“DAPAT kepada Hassan, masih lagi Hassan, cucuk Hassan! Kepada James, gooollll!” Apa maksud Allahyarham Zulkarnain Hassan dalam suara latarnya ketika mengulas perlawanan bola sepak bersejarah dalam sukan Malaysia tanggal 6 April 1980 itu? : KitaReporters

ZULKARNAIN Hassan (berkerusi roda) menerima Anugerah Khas MeleTop Astro 2016 yang disampaikan rakan seperjuangan dan tokoh seni lakon, Datuk Rahim Razali. 


Lagi cerita-cerita berkaitan Olimpik:

https://kitareporters.com/search?search=Olimpik


Kata protegenya, Sherkawi Jirim, “itu antara perkataan yang digemari Allahyarham walaupun orang mungkin menganggapnya pelik. Baginya itu hanyalah antara istilah dalam sukan bola sepak. 

"Cucuk itu maksudnya, penetrate to the box (menembusi kotak penalti),” cerita Sherkawi yang kini bertugas di Bernama News Channel (BNC) dan pernah berguru dengan Allahyarham di Unit Sukan Radio Televisyen Malaysia (RTM).  

ZULKARNAIN Hassan, pengulas legenda dan bekas Ketua Unit Sukan RTM.



Zulkarnain, pengulas sukan legenda era 70-an hingga 80-an, meninggal dunia kira-kira pukul 11.30 pagi ini pada Khamis, 1 Oktober 2020 kerana sakit tua di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur

Allahyarham kembali ke rahmatullah pada usia 82 tahun, kata menantu sulungnya, Yusri Amin. 

Anak jati Johor yang dilahirkan pada 8 Januari 1938 ini turut seangkatan legenda pengulas RTM yang bersuara ‘sedap’ seperti Allahyarham Amran Hamid, Datuk Rahim Razali dan Jamaludin Alias.

Allahyarham Zulkarnain meninggalkan isteri, Sabariah Ibrahim dan sepasang anak serta empat cucu. 

Antara jawatan yang disandangnya di RTM ialah Ketua Unit Sukan

ZULKARNAIN bersama isteri, Sabariah Ibrahim.


Petikan ulasan “Hassan….” itu merujuk momen kejayaan hebat dan bersejarah pasukan bola sepak Malaysia layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 yang disiarkan secara langsung oleh RTM pada 6 April 1980

Ulasan selari Zulkarnain menggambarkan serangan balas kilat oleh Datuk Hassan Sani, sayap kiri kelahiran Labuan, Sabah selepas mendapat hantaran tandukan Khalid Ali lalu melarikan bola ke sebelah kanan kawasan Korea Selatan. 

‘Si Lipas Kudung’ itu kemudian sempat mengelak bentesan dua pemain lawan di padang becak perlawanan akhir Kelayakan Olimpik Kumpulan 2 Asia di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur itu sebelum membuat hantaran lintang kepada Datuk James Wong. 

Penyerang lampai itu yang betul-betul tiba dalam kotak penalti, turut menggelecek pemain Korea Selatan lalu melepaskan rembatan kencang dengan kaki kanan untuk jaringan kemenangan, 2-1 sekali gus mencatat kemaraan kedua Malaysia ke Olimpik selepas 1972. 

SHERKAWI Jirim, bekas pengulas sukan RTM dan TV3 yang kini menyertai BNC.


“Ketika saya mula-mula menyertai Unit Sukan RTM, saya bekerja di bawah Alahyarham. Dengan tunjuk ajarnya, saya mengenali teknik sebenar pengulasan sukan dan istilah-istilah sukan yang digunakan. 

“Kami juga beberapa kali digandingkan sebagai pengulas bersama. Saya anggap Allahyarham antara pengulas yang memiliki suara latar yang terbaik. Ulasannya santai, tidak kelam-kabut. Dialah antara perintis pengulas sukan RTM. Penonton atau pendengar akan selesa dengan gaya ulasannya. 

“Pengetahuannya luas dan tidak pernah berat sebelah umpamanya apabila mengulas perlawanan bola sepak antara pasukan negeri tertentu dalam Piala Malaysia. Dia juga mudah berkongsi ilmu, pendapat dan pengalaman,” kata Sherkawi. 

Jelasnya, “kami pernah bertugas bagi membuat liputan dan ulasan kejohanan atau temasya sukan besar antarabangsa seperti Sukan Islam di Istanbul 80-an, bola sepak Piala Asia di Singapura dan Sukan SEA.” 

Allahyarham menurut Sherkawi yang juga bekas pengulas sukan TV3, “kerap menekankan tonasi suara, beliau akan beritahu bila masanya nada itu perlu tinggi atau biasa. 

“Kalau tentang menegur kerja kita, arwah akan melakukannya dengan cara yang baik dan sopan supaya kita tidak lagi mengulangi kesilapan tersebut.”

ZULKARNAIN dianggap mengutamakan kesempurnaan dalam tugas ulasan sukan radio dan TV RTM. 


Gaya ulasan Zulkarnain dalam perlawanan Kelayakan Olimpik itu turut diadaptasi watak Rahman yang didukung oleh Bront Palarae dalam filem pecah panggung, ‘Ola Bola’ pada 2016 yang juga berinspirasikan kejayaan skuad berkenaan.  

IBRAHIM Abu Bakar (kanan) bersama Zulkarnain di Stadium Shah Alam, Selangor. - Kredit foto Ibrahim.


Seorang lagi protege Zulkarnain, Ibrahim Abu Bakar yang juga bekas pengulas sambilan RTM berkata, “Allahyarham mengutamakan kesempurnaan dan agak garang dalam menjaga kualiti kerja anak-anak buahnya termasuk saya di Unit Sukan. 

“Kali terakhir saya menziarahi Allahyarham yang kurang sihat ketika itu di rumahnya di Kelana Jaya, kira-kira tiga tahun lalu. Di seberang jalan pula rumah seorang lagi pengulas handalan RTM, Jamaludin Alias (juga penyanyi lagu patriotik, ‘Inilah Barisan Kita’). 

“Saya tidak akan lupa satu peristiwa mengendalikan satu program Sukan Olmpik di studio Angkasapuri. Saya tinggal seorang di situ dan perlu ke udara (on air) malah kena menulis skripnya selain menjalankan kuiz interaktif dengan pendengar Radio RTM. 

“Saya menelefon Allahyarham, minta bantuannya datang ke studio. Beliaulah yang menyemak skrip saya itu dan mengemaskinikannya malah mendengar setiap biji butir ulasan saya di situ sehingga habis program radio itu,” kata Ibrahim.

Antara tugasan lumrah yang perlu dijalankan di bawah pengawasan Allahyarham ialah laporan lintas langsung perlawanan bola sepak Piala Malaysia di pelbagai venue di seluruh negara, jelas Ibrahim. - KitaReporters

2
0
0
1
0
You will be interested