Insan & Komuniti 13 Oct, 2020

Dah mula nak rancak! Taman Negara Kuala Tahan "demam" semula

@haris fadilah ahmad
Pernah bertugas sebagai 'stringer' Utusan Malaysia dan Utusan Melayu (Jawi) mulai 1987 hingga Oktober 2019.

Share this

TAMAN Negara Kuala Tahan, Jerantut merupakan sebuah destinasi pelancongan berasaskan keunikan hutan tropika kembali 'muram' tanpa pengunjung berikutan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung memaklumkan penutupan sementara kesemua kemudahan pelancongan dan pusat penyelidikan haiwan liar di bawah kelolaan dan pentadbiran jabatan itu mulai 6 Oktober 2020 lalu. : KitaReporters

Pemandangan aliran Sungai Tembeling, restoran terapung dan pusat inap (chalet) milik pengusaha tempatan di pintu masuk Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut. - Kredit foto: Penduduk Kuala Tahan


Lagi cerita-cerita berkaitan taman negara:

https://kitareporters.com/search?search=taman+negara


Kenyataan yang dikeluarkan tertera menerusi laman FB Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia menjelaskan penutupan sementara itu sebagai langkah  bagi mencegah penularan gelombang ketiga wabak COVID-19 yang kini sudah ada peningkatan kumulatif penduduk positif sejak awal bulan ini di seluruh negara.

Kredit foto: FB Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia. 


Kenyataan itu juga menyebut penutupan sementara, manakala tarikh pembukaannya semula akan diberitahu kelak membabitkan 11 buah Taman Negara di lima buah negeri di Semenanjung. 

Taman Negara yang terlibat adalah Paya Indah Wetlands (Selangor), Taman Negara Kelantan, Kuala Koh (Kelantan), Taman Negara Pulau Pinang (Pulau Pinang) dan Taman Negara Terengganu di Tanjung Mentong (Kenyir).

Turut terlibat di Pahang, iaitu Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan di Kuala Gandah (Lanchang), Taman Negara Pahang di Sungai Relau, Merapoh (Lipis) Taman Negara Pahang di Kuala Tahan (Jerantut) dan Tapak RAMSAR Tasek Bera (Bera).

"Selain itu, pusat di bawah kelolaan Perhilitan, iaitu semua Pusat Konservasi dan Pusat Menyelamat Hidupan Liar serta Pusat Pendidikan Biodiversiti turut terlibat dalam penutupan sementara," kata kenyataan tersebut.

Gambar fail 2019... Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut sering dikunjungi pengunjung dari seluruh dunia untuk menikmati keindahan flora di hutan tropika yang berusia 130 juta tahun yang juga menjadi habitat pelbagai spesies fauna. - Kredit foto: FB Taman Negara Pahang.


Berikutan arahan tersebut, pengunjung yang tiba untuk beriadah dan berekreasi yang menginap di semua pusat inap (chalet) milik swasta dan pengusaha tempatan sebelum arahan penutupan sementara mula mengosongkan tempat berkenaan mulai 6 Oktober 2020 lalu.

Penutupan sementara kemudahan awam di Taman Negara di bawah kelolaan Perhilitan Semenanjung merupakan kali kedua selepas kali pertama penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020 lalu kemudian dibuka semula untuk pengunjung pada 15 Jun 2020 dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berasaskan norma baharu.

Rata-rata pengusaha chalet tempatan dan penggiat pelancongan di Kuala Tahan mula mengeluh mengenai senario penularan wabak COVID-19 sehingga memberi impak pendapatan harian ditambah lagi penutupan sementara kali kedua semua kemudahan awam yang terletak di kawasan Taman Negara.

Mereka kembali dihimpit kesusahan apabila tidak memperoleh pendapatan menerusi sektor ekopelancongan di situ kerana dalam tempoh penutupan sementara sehingga diberitahu kelak oleh pihak berkuasa menyebabkan pengunjung domestik membatalkan lawatan ke taman itu.

Pengunjung domestik yang bersiar sebelum ini mula 'mengosongkan' Taman Negara pada 6 Oktober 2020 dan menaiki bas persiaran untuk pulang berikutan penutupan sementara kemudahan awan di pusat peranginan tersebut. - Kredit foto: Ahli BGTN, Kuala Tahan


Sampai bila senario muram sektor pelancongan akan kembali pulih sedangkan ancaman pandemik COVID-19 masih belum berpenghujung. Ini bermakna pengusaha hospitaliti dan makanan serta penggiat pelancongan 'bagai jatuh ditimpa tangga' apabila kemudahan awan di semua Taman Negara di Semenanjung ditutup sementara buat kali kedua. 

Laporan harian status CVID-19 di Malaysia pada 11 Oktober 2020 - Kredit foto: Kementerian Kesihatan Malaysia.


Sebuah restoran terapung di Sungai Tembeling menyajikan juadah masakan tempatan kepada pengunjung di Kuala Tahan, Jerantut. - Kredit foto: Penduduk Kuala Tahan


Untuk makluman semua aktiviti berkaitan rekreasi dan riadah, iaitu memancing, mendaki Bukit Teresek, menyusuri Sungai Tahan, Sungai Sat, pengembaraan hutan, jambatan gantung dan melihat flora serta fauna serta melihat burung liar (birding) terletak di kawasan Taman Negara.

Gambar fail 2019... Aktiviti meniti jambatan gantung (canopy walkway) antara lokasi yang menarik pengunjung di Taman Negara Kuala Tahan. - Kredit foto: Taman Negara Kuala Tahan Pahang


Gambar fail 2019... Aktiviti menyusuri Sungai Tahan sambil melihat burung liar (birding) juga menarik pengunjung domestik dan antarabangsa di Taman Negara Kuala Tahan. - Kredit foto: Taman Negara Kuala Tahan 


Paling terkesan, iaitu pengusaha hospitaliti milik penduduk tempatan dan swasta, manakala penggiat dalam sektor ekopelancongan yang cuma memperoleh upah harian (sekiranya ada pengunjung) seperti pemandu alam sekitar (nature guide), pemandu bot penambang dan pengusaha kedai makan.  

NORHASIYATI TAHARIN


Pengusaha Tahan Guesthouse, Norhasiyati Taharin berkata, sejak memulakan perniagaan penginapan hampir 23 tahun lalu, kini dia mengalami pengalaman terburuk dari segi kehilangan nilai jualan bilik berikutan ancaman pandemik COVID-19 disusuli penutupan sementara Taman Negara sejak penguatkusaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Pusat inap, Tahan Guesthouse terletak di pesisir Sungai Tembeling kelihatan sepi berikutan penutupan sementara Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut pada 6 Oktober 2020 lalu. - Kredit foto: Norhasiyati Taharin


"Kali pertama PKP mulai 18 Mac sehinggalah 31 Ogos 2020 lalu, kita berdepan tekanan yang cukup perit dari segi pendapatan akibat ketiadaan pengunjung dan kini hal yang sama berulang setelah Taman Negara ditutup sementara kali kedua kepada pengunjung dan kemungkinan masalah bertimpa kerana musim tengkujuh kian hampir.

"Namun, saya dan rakan pengusaha di sini bersedia menyediakan perkhidmatan untuk pengunjung melawat ke perkampungan Melayu di pesisir Sungai Tembeling antara alternatif untuk memperoleh pendapatan berikutan Taman Negara ditutup buat waktu ini," katanya.

ROSLAN ABU KASSIM


Pengerusi BGTN yang juga pemandu alam sekitar (nature guide), Roslan Abu Kassim berkata, penutupan sementara taman itu diibaratkan 'demam yang baharu kebah, tiba-tiba demam semula' dialami lebih 200 orang penduduk tempatan termasuk Orang Asli yang bergiat di bidang tersebut mengeluh khususnya kehilangan pendapatan sejak 6 Oktober 2020 baru-baru ini.

Gambar fail 2019... Dua orang porter (pembawa barang) Orang Asli etnik Batek (barisan belakang) yang menjadi nadi sektor ekopelancongan Taman Negara turut terkesan pendapatan setelah dua kali penutupan sementara pusat pelancongan hutan tropika tersebut. - Kredit foto: Afzal Abdul Aziz


"Selepas taman ini dibuka semula dengan pematuhan SOP dan norma baharu, kita dapat sikit menarik nafas apabila memperoleh pendapatan hasil kehadiran pengunjung domestik dan bolehlah membayar hutang tertentu dan sebagainya serta menampung keperluan keluarga termasuk pendidikan. Kini, fenomena ini kembali semula dan kita reda dengan ujian Allah.

"Walau bagaimanapun, ujian ini mendidik pengusaha dan penggiat pelancongan di sini beristiqamah dan sama-sama berdoa ancaman andemik COVID-19 segera reda dan pusat pelancongan ini dibuka semula," ujarnya.

Gambar fail 1 Ogos 2020... Roslan Abu Kassim (depan) sedang membawa pengunjung domestik menaiki bot penambang bersiar-siar di Sungai Tembeling, berdekatan Taman Negara Kuala Tahan. - Kredit foto: Ahli BGTN Kuala Tahan

Pengusaha Delimah Guesthouse, Abdul Jalil Abdul Rahman berkata, dia juga 'terkejut' apabila dimaklumkan menerusi media dan laman sosial FB Perhilitan Semenanjung mengenai penutupan sementara kemudahan awam di kawasan Taman Negara.

Sebuah pusat inap Delimah Guesthouse sunyi tanpa pengunjung berikutan penutupan sementara pusat peranginan Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut mulai 6 Oktober 2020.


"Kita akur arahan pihak berkuasa kerana penularan pandemik COVID-19 boleh berisiko jangkitan di lokasi kemudahan awam seperti di pusat pelancongan dan kerajaan sendiri sudah mengambil kira pelbagai sudut walaupun sektor ekopelancongan di sini nampak terjejas," katanya.

Abdul Jalil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran (JKKK) Kuala Tahan mengakui terasa tekanan kesusahan bersama pengusaha lain kerana pusat inap di situ kurang disinggahi pengunjung sejak PKP lalu dan sebagai alternatif dia memperoleh pendapatan dengan melakukan kerja lain di kampung tersebut. 

ADENAN NIPAH


Pengusaha inap desa De Tempan Kampung Pagi, Adenan Nipah berkata, dia juga mula terasa kehilangan pengunjung mulai minggu ini setelah pandemik COVID-19 dilaporkan menular dan ramai penghidap positif sejak awal bulan ini.

"Kebiasaannya pengunjung secara berkeluarga gemar ke sini untuk menginap di atas rakit, memancing dan menjamu juadah masakan tempatan ikan sungai dan tempoyak dan saya memperoleh pendapatan untuk keluarga.

Ikan Lawang yang siap disalai untuk dimasak lemak kuning cili api antara juadah bagi pengunjung yang singgah di pusat inap desa De Tempan milik pengusaha Adenan Nipah di Kampung Pagi, Jerantut. - Kredit foto: Adenan Nipah


"Walaupun lokasi agak jauh dari Kuala Tahan, tetapi kesan penutupan sementara menempias ke kampung ini kerana ada pengunjung yang transit di sana (Kuala Tahan) gemar memancing di tempat saya," ujarnya. - KitaReporters

Taman Negara Kuala Tahan yang masih terpulihara hutan tropika termasuk khazanah flora dan fauna yang menjadi aset pembangunan bidang ekonomi negara dan pendapatan penduduk tempatan berasaskan sektor ekopencongan. - Kredit foto: Penduduk Kuala Tahan.

0
0
1
0
0
You will be interested