Insan & Komuniti 12 Feb, 2021

Cheer To School! Islamic Relief (IRM) bawa keceriaan! Kepada 143 pelajar SRJK (Tamil) Dengkil

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


SERAMAI 143 pelajar India Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Tamil) Dengkil, Selangor daripada keluarga B40, ibu tunggal dan keluarga yang terjejas pandemik Covid-19 telah menerima bantuan buku, pakaian seragam sekolah bagi tahun satu dan dua, pakaian ko-kurikulum bagi pelajar tahun tiga hingga enam, pakaian sukan dan peralatan sekolah yang lain.

Meskipun negara berhadapan dengan penularan Covid-19, Islamic Relief Malaysia (IRM) menerusi projek “Cheer To School” terus proaktif membantu pelajar yang memerlukan bagi meringankan beban golongan rentan dalam menyediakan kelengkapan persekolahan selain menyuntik semangat para pelajar untuk terus menimba ilmu dengan bersungguh-sungguh.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Islamic Relief:

https://kitareporters.com/search?search=islamic+relief



Edaran bantuan yang diagihkan secara berkala ini diserahkan kepada ibu bapa murid setelah proses mengukur saiz pakaian dilaksanakan pada Disember lalu di pasaraya berdekatan.

“Cheer To School adalah medium jaringan kolaborasi yang sangat strategik dalam menggabungkan pelbagai pihak seperti sekolah, penerima manfaat, kakitangan Islamic Relief Malaysia seterusnya para penyumbang yang dermawan. 

"Majoriti para pelajar yang menerima bantuan ini kelihatan sangat teruja sewaktu sesi mengambil ukuran saiz pakaian,” kata Nur Hidayu Marzuki, Penolong Pegawai Bahagian Program, Islamic Relief Malaysia.

Jenis bantuan yang diberikan adalah berbeza mengikut sekolah dengan mengambil kira cadangan daripada para guru memandangkan mereka lebih arif tentang keadaan dan situasi semasa murid-murid.

“Pada waktu semua orang sedang diuji ketika ini, kita sememangnya digalakkan untuk membantu semua orang tanpa mengira agama atau bangsa. Kami sangat terharu dengan inisiatif Islamic relief Malaysia yang sudi datang membantu SJK (Tamil) Dengkil. 

“Bantuan ini dilihat dapat meringankan banyak beban ibu bapa dalam menyediakan keperluan sekolah anak-anak memandangkan lebih 60 peratus daripada mereka mengalami masalah kewangan ekoran pandemik yang melanda,” kata Pushpa a/p D. Raman, Guru Besar SRJK (Tamil) Dengkil.



Antara sekolah-sekolah lain yang turut menerima manfaat dalam program “Cheer To School” tahun ini ialah Sekolah Kebangsaan St. James Rayang, Padawan; Sekolah Kebangsaan Bulan Jeragam, Sebuyau, Sarawak; SK Pulau Timbang, Sandakan, Sabah; Sekolah Kebangsaan Sungai Melut (Asli), Dengkil; dan Sekolah Kebangsaan Kajang, Selangor menjadikan jumlah keseluruhan pelajar yang dibantu seramai 565 orang.

“Biasanya, untuk menjimatkan kos, anak saya akan memakai pakaian abang mereka tetapi kali ini mereka dapat pakaian baru. Mereka sangat gembira. 

Terima kasih para penyumbang yang membantu kami dan terima kasih Islamic Relief Malaysia kerana memberi bantuan secara menyeluruh tanpa mengira bangsa,” kata D Harshinny a/p Vijayan, ibu salah seorang pelajar SJK (Tamil) Dengkil. - KitaReporters


0
0
0
0
0
You will be interested