Insan & Komuniti 04 Sep, 2021

Ratu Jerit WCW bunuh diri! Daffney Unger sempat buat IG Live! Kata putus harapan, bersendirian!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

DAFFNEY diapit oleh Crowbar (kiri) dan David Flair, juara beregu dunia WCW. - Kredit foto: F4wonline


PENGGUSTI profesional wanita yang dikenali dengan watak gila dan gemar menjerit sehingga digelar ‘Ratu Jerit Gusti’, Daffney Unger meninggal dunia dipercayai akibat membunuh diri, pada Khamis, 2 September 2021.

Laman sesawang Ten Bell Salute melaporkan, mendiang yang nama sebenarnya, Shannon Spruill menjadi penggusti wanita yang ketiga, bertindak senekad (bunuh diri) itu selepas Hana Kimura dan Ashley Massaro dalam tempoh dua tahun.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan gusti

SEBUAH portal gusti profesional Amerika menyiarkan poster dan berita kematian Shannon. - Kredit foto: Wrestlerdeath.com


Shannon berusia 46 tahun (lahir pada 17 Julai 1975 di Pangkalan Tentera Udara Amerika Syarikat di Wiesbaden, Jerman) ketika tragedi itu. 

Hana dan Ashley masing-masing meninggal dunia ketika berusia 22 dan 39 tahun.

Dia pernah bergusti di gelanggang World Championship Wrestling (WCW) dari 1999 hingga 2001 sebelum pertubuhan itu dijual kepada pesaingnya, World Wrestling Federation/Entertainment (WWF/WWE) selain Total Nonstop Action (TNA).

Daffney pernah bergelar juara cruiserweight (kategori penggusti lelaki berbadan ringan) WCW dan menjadi pengiring juara beregu dunia WCW, David Flair (anak legenda Ric Flair) dan Crowbar.


Kredit foto: Fox News


“Shannon sehari sebelumnya, membuat siaran langsung menerusi laman sosial Instagramnya (IG).

“Dia didapati terlalu putus harapan dan tampak memegang sepucuk pistol sambil merayu, “kalian tahu tak yang saya sendirian? Kalian tahu tak?” dalam siaran langsung IG itu,” lapor Ten Bell Salute.

Shannon juga dikatakan menyebut dan merujuk ‘otaknya’ sudah pergi ke Boston (Universiti Boston, Massachussets, Amerika Syarikat).

Universiti itu ialah pusat penyelidikan Chronic Traumatic Encephalopathy (CTE) - sejenis penyakit otak akibat gegaran yang berterusan dan biasanya kerap menimpa atlet dan askar.


DAFFNEY menukar imej dan watak parodi 'The Governor' ala ahli politik Sarah Palin di TNA. - Kredit foto: f4wonline


Terdahulu, bekas juara World Wrestling Entertainment (WWE), Mick Foley atau nama glamornya, Cactus Jack, Mankind dan Dude Love, menggunakan laman sosial untuk merayu sesiapa yang mengenali dan mengetahui di mana Shannon, menghubungi polis.

“Sedihnya, ketika pihak penguat kuasa undang-undang itu sampai, masanya sudah terlambat. Shannon tinggal di Atlanta, Georgia ketika itu dan baru sahaja berpindah yang menyukarkan alamatnya dikesan,” lapor laman itu.


DAFFNEY (kiri) bertarung dengan Stacy Keibler atau Miss Hancock dalam Bash At The Beach WCW 2000.


Shannon pernah memenangi tuntutan saman terhadap TNA pada 2013 atas kecederaan kepala dan leher yang dialaminya ketika bergusti tiga tahun sebelum itu sehingga pernah terlantar di hospital.

Selepas mendapat penyelesaian sewajarnya daripada TNA, dia berkata, “kini kalian sudah mengiktiraf ketidakadilan yang besar dilakukan terhadap para penggusti profesional.

Kes saya akan membuka mata segelintir mereka yang buta dan mungkin kini, kita para penggusti yang mempertaruhkan badan setiap kali melangkah ke gelanggang, semakin hampir untuk dibekalkan bantuan perubatan dan segala manfaatnya yang biasa diberikan kepada kakitangan sebenar.” - KitaReporters

 DAFFNEY, wanita kedua selepas Madusa bergelar juara cruiserweight WCW yang sebelumnya dikuasai penggusti lelaki. - Kredit foto: WWE

14
17
1
11
0
You will be interested