Warga emas merupakan permata yang tidak ternilai kerana mereka sudah melalui pelbagai fasa kehidupan, suka-duka, pengorbanan serta kejayaan, dan tanpa mereka kita tidak akan berada pada kehidupan hari ini.

Saiful Anuar Abdullah Salleh menyampaikan ucapan perasmian Sambutan Hari Warga Emas 2025 LZS di PLA, Ulu Yam, Selangor.
“Maka menghormati, menyanjungi, menghargai mereka bukan sekadar satu adat tetapi suatu amanah dan tanggungjawab moral serta spiritual (kerohanian) yang perlu diberi perhatian khusus termasuk dalam kalangan anak-anak,” kata Ketua Jabatan Pengurusan Institusi, Lembaga Zakat Selangor (LZS), Saiful Anuar Abdullah Salleh.
Menurut
beliau, seperti firman Allah SWT dalam Surah Luqman ayat 14 yang bermaksud,
“Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibu bapamu, hanya kepada-Ku tempat
kamu kembali”.
Jelasnya, ayat itu mengingatkan kita bahawa menghargai orang tua adalah sebahagian daripada tanda syukur kepada Allah SWT, maka hari ini kita zahirkan rasa syukur itu dengan kasih, perhatian dan penghormatan kepada mereka.

Kakitangan LZS dan petugas PLA bersama-sama warga emas melakukan senamrobik sebelum bermula pertandingan beberapa permainan.
Beliau
berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Warga Emas 2025,
Lembaga Zakat Selangor (LZS), di Pusat Latihan Asnaf (PLA), Ulu Yam, Selangor
pada 24 Oktober 2025.
Turut hadir
pada majlis itu, Penolong Pengarah Kanan (Penguatkuasaan) Jabatan Kebajikan
Masyarakat, Fariza Aida Mansor; Ketua Jabatan Pengurusan Pendidikan LZS, Abadi
Mohd Amir; Ketua Bait Al-Mawaddah LZS, Abdul Razak Razali; Ketua Operasi Agihan
LZS Daerah Hulu Selangor, Mohd Akmal Mohd Jais; dan Ketua Cawangan LZS Kuala
Kubu Bharu, Jalaluddin Habib.
Sambutan itu dimeriahkan dengan kehadiran warga emas dari Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Nur Hasanah (PJNH), Pusat Jagaan Al-Fikrah (PJAF) serta Kompleks Warga Emas Bait Al-Mawaddah yang diketuai pengerusi masing-masing iaitu Azman Rasman (PJMM), Mohiadin Bahado (PJNH), Nurul Atikah Mohd Azmi (PJAF), kakitangan LZS serta petugas Bait Al-Mawaddah.

Warga emas dari PJMM, PJNH, PJAF dan Bait Al-Mawaddah berentap dalam permainan karom.
Pada hari
kedua iaitu 24 Oktober 2025, selepas bersarapan dan senamrobik warga emas empat
pusat jagaan terbabit beradu dalam permainan karom, congkak, dam haji diikuti
‘Fun Fair Game’, memancing ikan, sepak bola ke dalam gol, baling gelang dan
pertandingan ‘Master Chef Emas’.
Manakala
pada sebelah malam warga emas diraikan dalam majlis makan malam sebagai tanda
penghargaan serta penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan permainan
yang diadakan itu dan sekali gus memperlihatkan kegembiraan penghuni pusat
jagaan terbabit apabila disantuni dengan penuh kasih sayang.
Pada hari
ketiga iaitu 25 Oktober 2025 dengan kerjasama komuniti kariah Masjid Al-Falah,
Ulu Yam Bharu, Selangor aktiviti sambutan itu diadakan di pekarangan masjid
berkenaan dengan didahulukan solat subuh, kuliah subuh diikuti bersarapan
bersama-sama jemaah, senamrobik serta diteruskan dengan sukaneka membabitkan
permainan baling gelung ke dalam kon, bawa bola menggunakan sudu, isi air dalam
botol dan sebagainya.
Sebelum menikmati jamuan makan tengah hari yang disediakan oleh komuniti masjid secara bergotong-royong, selepas solat zuhur dan berangkat pulang ke PLA, pada pukul 11.00 pagi diadakan pula pemeriksaan kesihatan seperti tekanan darah, gula, BMI serta khidmat nasihat kesihatan diikuti ceramah kesihatan bertajuk ‘Kesedaran Buah Pinggang’ yang disampaikan oleh Dr Hafizah.
Komuniti kariah Masjid Al-Falah, Ulu Yam Bharu bergotong-royong menyediakan makan tengah hari.
Saiful Anuar
berkata, sambutan itu bukan setakat acara tahunan tetapi lebih besar dan
bermakna adalah untuk menghargai, mengenang dan menyantuni insan yang banyak
berjasa dalam membentuk generasi serta masyarakat hari ini iaitu warga emas
yang amat kita kasihi.
Menurut
beliau, kehadiran penghuni dari pusat jagaan terbabit menunjukkan semangat
silaturahim dan kolaboratif kasih antara mereka yang secara tidak langsung
menjadi asas kekuatan dalam kerja kebajikan serta pengurusan warga emas.
Tambahnya,
pelbagai aktiviti yang diadakan itu juga menyuntik keceriaan dan kegembiraan
dalam kalangan warga emas yang mungkin kali pertama berjumpa namun bukan
penghalang untuk aktif serta berdaya menyertai pertandingan diadakan.
Jelasnya, sebagai sebuah institusi yang bertanggungjawab terhadap pengurusan pusat jagaan, LZS sentiasa prihatin serta berusaha mengadakan sambutan itu dan pembabitan warga emas dalam aktiviti diadakan sebagai langkah penting memupuk kesejahteraan dari segi fizikal, sosial, emosi disamping spiritual.

Warga emas wanita mewakili empat pusat jagaan berentap dalam permainan memancing ikan.
Katanya,
program sambutan itu juga antara menjadi platform mengeratkan hubungan
kolaboratif antara pusat jagaan untuk berkongsi di samping bertukar pengalaman
dan menimba inspirasi amalan terbaik supaya dapat mengukuhkan ekosistem
penjagaan warga emas di Selangor dan negara amnya.
Saiful Anuar
berkata, program itu juga diharap dapat menyuburkan rasa kasih dan hormat
kepada warga emas serta menanam kesedaran dalam kalangan masyarakat bahawa
mereka adalah anugerah yang perlu diraikan sebaliknya bukan untuk dihina,
dipinggirkan serta dilupakan.
Beliau turut
menzahirkan ribuan terima kasih kepada semua kakitangan LSZ dan petugas Bait Al-Mawaddah yang bertungkus lumus bagi menjayakan program sambutan berkenaan dalam
usaha menyuntik semangat dan keceriaan warga emas yang sewajarnya disantuni
anak-anak dan waris mereka.
Tambahnya,
LZS turut menyanjung tinggi kerjasama JKM dalam pelbagai usaha untuk membela
nasib warga emas termasuk di pusat jagaan terbabit juga Bait Al-Mawaddah di PLA
yang kini dilengkapi bermacam-macam kemudahan asas bersesuaian bagi penghuni.
“Program ini juga dapat membantu menyebar luaskan maklumat terutama kepada pembayar zakat mengenai peranan dimainkan LSZ dalam menyantuni serta membela nasib mereka yang memerlukan pembelaan supaya dapat meneruskan kelangsungan hidup,” ujarnya. - KitaReporters

Saiful Anuar (lima dari kiri) meraikan kegembiraan bersama-sama warga emas Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia selepas diumumkan juara keseluruhan pada Sambutan Hari Warga Emas 2025 LZS.