Memang tepat, kebersihan itu sebahagian daripada iman. Berpegang pada itulah akhirnya kategori tandas rumah ibadat terbaik di Pulau Pinang telah dianugerahkan kepada Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas, Seberang Perai Utara sempena Hari Tandas Sedunia yang telah diadakan pada 21 November 2025 di Bukit Mertajam.


Majlis tersebut hanya memberi anugerah bagi tandas terbaik seluruh Pulau Pinang dengan pelbagai kategori termasuklah hotel, sekolah mahupun restoran dan seumpamanya.
Hari Tandas Sedunia yang disambut pada 19 November setiap tahun sejak 2013 bagi memberi kesedaran kepada orang awam tentang kepentingan kebersihan tandas dan pengurusan sistem sanitasi yang mampan.
Bagi kategori pusat beli belah, tandas terbaik adalah Gurney Plaza Mall yang menggondol Johan, manakala bagi kategori restoran pula johan disandang oleh Fu House Sdn Bhd.
Sementara itu, bagi tandas terbaik kategori sekolah rendah ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chin Hwa dan bagi sekolah menengah pula ia berjaya dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Union.
Stesen minyak Petronas Sungai Dua arah selatan pula telah berjaya dinobatkan sebagai johan bagi tandas terbaik kategori stesen minyak.


Exco kerajaan negeri yang menyampaikan anugerah tersebut, Jason H'ng Mooi Lye berkata bahawa pencapaian tandas terbersih dan terbaik ini adalah hasil usaha berterusan pelbagai pihak dalam menjaga kebersihan dan keselesaan tandas awam.
Sebelum ini, Pulau Pinang digelar sebagai 'Darul Sampah' oleh segelintir pihak. Namun kini ia bukan realiti seperti didakwa, sebaliknya bersih dan menawan selari dengan gelarannya 'Pearl of the Orient' (Mutiara Timur).
Secara tidak langsung sambutan Hari Tandas Sedunia memupuk rasa tanggungjawab bersama dalam menjaga kebersihan tandas dan memperkukuh imej Pulau Pinang sebagai negeri bersih, indah dan berdaya huni selaras dengan persiapan menuju Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026. - KitaReporters
