APAKAH pengakhiran ‘Rumah Kuning’ di Teluk Intan, Perak? Adakah akan terus terbiar
seperti sekarang? Atau adakah akan diperbaiki dan dipulihara sebagai tinggalan
sejarah?
Usia rumah tersebut sudah lebih lapan dekad, dibina sekitar tahun 40-an. Namun ‘Rumah Kuning’ di Jalan Syed Abu Bakar, Teluk Intan itu masih kukuh berdiri. Cuma ia tidak berpenghuni.

Almarhum Sultan Yussuff bersama isteri baginda, Noorizan Mohd Noor yang dikahwini pada 1954.
Rumah kayu bercat kuning yang menyerlahkan keindahan seni bina Melayu itu bukan sekadar rumah biasa. Ia adalah satu anugerah, simbol kasih Sultan Perak, Sultan Yussuff Izzuddin Shah Sultan Abdul Jalil, kepada isterinya, Noorizan Mohd Noor.
Untuk rekod, Teluk Intan (dahulu Teluk Anson) ialah bandar bersemayam Raja Muda Perak. Istana Raja Muda dibina pada 1924.
Raja Muda pertama bersemayam ialah Raja Abdul Aziz Raja Muda Musa, yang kemudian menaiki takhta Perak sebagai Sultan Perak ke-31 pada Dissember 1938.
Raja Muda terakhir bersemayam ialah Raja Ahmad Siffuddin Sultan Iskandar, dari 3 Februari 1984 hingga kemangkatan pada 12 April 1987.
Pada tahun 1988 istana Raja Muda berpindah ke Ipoh. Istana lama di Teluk Intan tinggal terbiar. Kini banyak bahagian istana telah runtuh.

Rumah Kuning di Teluk Intan hadiah Sutan Yussuff kepada isteri baginda, Noorizan.
Sultan Yussuff Izzuddin Shah ialah Sultan of Perak ke-32. Diputerakan pada 15 Januari 1890, baginda dilantik Raja Muda pada 1938. Baginda menaiki takhta Perak pada 1 Mac 1948 berikutan kemangkatan Sultan Abdul Aziz.
Baginda yang memerintah Perak selama 15 tahun mangkat pada 4 Januari 1963 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada usia 72 tahun.
Baginda ialah ayahanda kepada Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah (Sultan ke-34) dan nenda kepada sultan Perak kini, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (sultan ke-35).
Nama Noorizan Mohd. Noor mungkin asing bagi ramai orang. Tetapi ramai mengenali aktres Noorizan. Ia adalah individu yang sama.
Lahir pada 1927, Noorizan yang berasal dari Perak, berkahwin dengan Sultan Yussuff pada 1954 ketika berusia 27 tahun.

Pandangan sisi Rumah Kuning di Teluk Intan, menyerlahkan keindahan seni bina Melayu.
Rumah Kuning di Teluk Intan adalah anugerah daripada sultan kepada isterinya. Namun perkahwinan tersebut hanya bertahan setahun. Baginda dan Noorizan bercerai pada 1955.
Perkahwinan terlerai kerana Noorizan jatuh cinta kepada P. Ramlee, bintang yang sedang mencipta nama di Malay Films Productions (MFP) Singapura.
Ia berlaku ketika P. Ramlee mengadakan persembahan di Perak yang turut dihadiri Sultan Yussuff dan Noorizan pada 1955.
Sultan
Yussuff mendapat tahu hubungan mereka apabila mendapati bil telefon istana
melambung. Baginda memutuskan mencerai Noorizan. Kemudian, P. Ramlee dan Noorizan
berkahwin pada tahun sama (1955). Ketika itu P. Ramlee berusia 26 tahun dan
Noorizan 28 tahun.
Noorizan meninggalkan istana untuk bersama P. Ramlee di Singapura. Rumah Kuning di Teluk Anson juga ditinggalkan. Noorizan tidak pernah menjejak kaki ke rumah tersebut sehingga kematiannya pada Mei 1992.

Detik bahagia P. Ramlee dan Noorizan sebagai suami isteri. Mereka berkahwin pada 1955, bercerai pada 1961.

Seniwati Noorizan meninggalkan istana untuk hidup bersama P. Ramlee.
P. Ramlee dan Noorizan hidup bahagia. Tetapi apabila P. Ramlee makin popular sebagai bintang dan pengarah filem, dia sibuk dengan kariernya. Noorizan merasa diabaikan.
Selepas enam tahun bersama, mereka bercerai pada 1961, tanpa mempunyai anak.
Nama P.
Ramlee terus bersinar sebagai pelakon, pengarah dan penggubah lagu di MFP. Dia
kemudian berkahwin dengan Saloma pada November 1961. Perkahwinan ini kekal
sehingga P. Ramlee meninggal pada Mei 1973.
Selepas
bercerai, Noorizan berhijrah ke Kuala Lumpur. Ditakdirkan P. Ramlee juga
berhijrah ke ibu kota pada 1964, bertugas di Merdeka Studio, Hulu Kelang,
Selangor.
Noorizan berlakon
dalam banyak filem dan drama. Pada 1973, P. Ramlee memilihnya berlakon dalam ‘Laksamana
Do Re Mi’ sebagai permaisuri. Ini berlaku selepas 12 tahun perceraian
mereka, membuktikan hubungan mereka tetap baik.
Filem itu merupakan yang terakhir arahan P. Ramlee. Dia meninggal pada 29 Mei 1973 pada usia 44 tahun.
Noorizan pula meninggal pada 15 Mei 1992 di Hospital Kuala Lumpur pada usia 65 tahun akibat darah tinggi.

Noorizan berlakon sebagai permaisuri dalam filem 'Laksamana Do Re Mi' arahan P. Ramlee yang merupakan filem terakhir arahannya.
Selain Rumah Kuning, Sultan Yussuff juga menghadiahkan sebentuk cincin biru kepada Noorizan. Cincin itu disimpan di Arkib Negara.
Rumah Kuning ialah lambang kasih Sultan Yussuff dan Noorizan. Ia wajar terus dipelihara dan dipertahan. Bangunannya perlu diperelok dan ditambah baik.
Kerajaan Perak dan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) perlu pastikan rumah tersebut tidak diroboh atau dijual.
Antara yang
boleh dilakukan ialah menjadikan Rumah Kuning sebagai muzium. Pamerkan koleksi
barang milik Sultan Yussuff, P. Ramlee dan Noorizan serta catatan sejarah
mereka sebagai legasi untuk generasi masa kini dan akan datang. - KitaReporters