Insan & Komuniti 21 Jan, 2026

Kibar Bendera, Satukan Wilayah! 12,500 bendera diedarkan! Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

SUASANA Putrajaya bertambah meriah dengan kibaran bendera Wilayah Persekutuan sempena Majlis Pelancaran Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan Peringkat WP Putrajaya di Tapak Lepak@11, Presint 11, Putrajaya. 


Pasukan Berkuda Perbadanan Putrajaya turut mengambil bahagian membawa bendera Wilayah Persekutuan.


Majlis berkenaan dirasmikan oleh Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir, sekali gus menandakan bermulanya kempen berterusan bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan warga Putrajaya. 

Program anjuran Perbadanan Putrajaya dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Putrajaya (MPPWP) itu bertemakan "Kibar Bendera, Satukan Wilayah" sebagai simbol penyatuan, kebersamaan dan jati diri Wilayah Persekutuan.

"Antara pengisian utama majlis ialah peluncuran rasmi Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan 2026 yang disusuli dengan penyerahan bendera kepada wakil MPPWP sebagai tanda sokongan dan pembabitan aktif komuniti setempat.

"Sebanyak 12,500 bendera Wilayah Persekutuan diserahkan kepada ketua-ketua komuniti selain diedarkan kepada orang ramai sepanjang majlis berlangsung bagi menggalakkan penyertaan menyeluruh masyarakat," katanya.  


Mohd Sakeri Abdul Kadir mengagih-agihkan bendera WP kepada pengunjung pasar Tapak Pasar Minggu @ Lepak 11, Putrajaya.


Mohd Sakeri berkata, kempen itu bukan sekadar simbolik, malah berperanan memupuk rasa bangga serta memperkukuh semangat cintakan Wilayah Persekutuan dalam kalangan penduduk pelbagai lapisan.

"Majlis itu turut diserikan dengan perasmian Kempen Bersih Setiap Tempat atau BEST@WP Putrajaya Tahun 2026, iaitu inisiatif meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kebersihan dan penjagaan alam sekitar.

"Seramai 200 sukarelawan dalam kalangan pelajar sekolah menyertai aktiviti pembersihan secara plogging di kawasan setempat dan pusat komersial berhampiran, manakala 600 peserta turut mengambil bahagian dalam acara Langkah Ceria @ WP Putrajaya," katanya lagi. 


Mohd Sakeri sempat beramah mesra dengan seorang pengunjung cilik Ketika mengagih-agihkan bendera WP.


Selain itu, program berkenaan turut menyaksikan penyerahan sumbangan Tautan Kasih dan Jom Kembali Ke Sekolah kepada 30 penerima terpilih, daripada keseluruhan 100 penerima sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan," katanya.

Sumbangan Tautan Kasih Putrajaya merangkumi bakul makanan bernilai RM150, manakala sumbangan Jom Kembali Ke Sekolah melibatkan baucer Pasar Raya MU bernilai RM100 serta beg sekolah kepada golongan asnaf, B40 dan ibu tunggal.


Mohd Sakeri Abdul Kadir (dua dari kanan) menunjukkan tanda bagus selepas merasmikan Tapak Pasar Minggu @ Lepak 11, Putrajaya.


Dalam perkembangan sama, Tapak Pasar Minggu @ Lepak 11 turut dirasmikan sebagai inisiatif strategik memperkasa ekonomi komuniti setempat, khususnya peniaga kecil dan usahawan tempatan.

"Kemudahan itu disediakan sebagai ruang interaksi sosial yang selesa, kondusif dan inklusif bagi menghidupkan aktiviti komuniti serta mengeratkan hubungan kemasyarakatan dalam kalangan warga Putrajaya. 

"Pelbagai aktiviti sampingan turut dianjurkan sepanjang program berlangsung antaranya kempen kitar semula, kempen bersih meja selepas makan, batik canvas painting, sand art, face painting, jualan pasar minggu, jualan barangan terpakai, jom kitar semula serta saringan kesihatan percuma.

"Secara keseluruhan, penganjuran program itu menerima sambutan amat menggalakkan dan mencerminkan penglibatan aktif masyarakat terhadap inisiatif komuniti anjuran Perbadanan Putrajaya bersama MPPWP," katanya lagi.



Sementara itu, sempena pelancaran kempen berkenaan, Persatuan Penduduk P15-12A turut mengambil inisiatif menganjurkan Program Gotong-Royong Kibar Bendera Wilayah Persekutuan Peringkat P15-12A dengan pembabitan aktif komuniti setempat.

Pengerusinya, Nik Mohd Fitra Wan Jaffar berkata, program itu bukan sahaja menceriakan persekitaran kejiranan, Melah berperanan mengukuhkan hubungan silaturahim, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan, patriotisme dan kebersamaan warga P15-12A.

“Pembabitan warga P15-12A dalam Program Gotong-Royong Kibar Bendera ini mencerminkan semangat perpaduan, patriotisme dan kebersamaan komuniti.

"Usaha kecil di peringkat akar umbi ini diharap dapat menyumbang kepada kemeriahan Sambutan Hari Wilayah Persekutuan serta memupuk rasa bangga sebagai warga Putrajaya," katanya. - KitaReporters


Sebahagian pelajar asnaf yang menerima beg sekolah sempena Pelancaran Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan Peringkat WP Putrajaya di Tapak Lepak@11, Presint 11, Putrajaya.

16
6
0
13
0
You will be interested