Insan & Komuniti 08 Oct, 2025

Aduan Rakyat| Tolong korek! Masalah pasir sungai sebabkan banjir berulang! Perlukan tindakan segera!

@ani bin awang
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Emel: [email protected]

Share this

Masalah banjir yang berlaku di kawasan Kampung Matang Gelugor dalam kawasan Parlimen Bukit Gantang dekat Taiping terus menghantui penduduk apabila berlakunya hujan lebat.


Sampah sarap yang terperangkap di Sungai Jaha boleh menyebabkan aliran air tersekat.

Justeru itu, pihak berkuasa seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu mendalamkan dan membuang pasir di Sungai Jaha bagi terus mengelak berlaku banjir selepas hujan.

Beberapa penduduk yang ditemui meminta JPS supaya membenarkan Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (JPKK) mengeluarkan lesen bagi membolehkan penduduk mengorek pasir sungai tersebut.

Pasir yang mendap dalam sungai dan sampah sarap menjadi punca berlakunya banjir sehingga merosakkan harta benda penduduk di situ.


Dua buah rumah di Matang Gelugor dinaik air pada Jumaat , 3 Oktober 2025.

Seorang peniaga makanan, Rohaya Osman, 60, berkata, banjir yang berlaku pada Jumaat, 3 Oktober 2025 lalu menyebabkan kedainya dinaiki air sedalam tiga kaki.

Beliau berkata, ia berpunca daripada pasir dalam sungai yang tidak disedut keluar lalu menyebabkan sungai menjadi cetek dan air melimpah masuk ke dalam kedainya selepas hujan lebat turun beberapa jam.

“Dulu ada aktiviti korek pasir di Sungai Jaha ini, tetapi ia sudah dihentikan sejak tujuh tahun lalu. Kalau sungai dibersihkan, air cepat surut dan tidaklah berlaku banjir,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kejadian banjir Jumaat lalu.

Kejadian banjir tersebut menyebabkan lebih hampir 600 buah rumah di 10 kampung di kawasan Matang terbabit dengan banjir.

Keadaan itu menyebabkan 170 penduduk terpaksa berpindah di empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS).


Beberapa penduduk sedang membersihkan lumpur yang memasuki kedai selepas dinaiki air banjir.


Bagi Hasbarani Tajul Haris, 52, berkata, banjir kali ini antara yang terburuk kerana air naik mendadak selepas berlakunya hujan lebat sepanjang hari.

“Sejak Sungai Jaha dihentikan aktiviti mengambil pasir menyebabkan berlakunya banjir selepas hujan lebat apabila air melimpah dari sungai ini masuk ke kawasan rumah berdekatan sungai,” katanya.

Beliau berharap tindakan mengorek pasir perlu dilaksanakan supaya sungai tidak cetek dan dapat mengelak harta benda penduduk rosak akibat banjir. - KitaReporters

9
14
0
9
0
You will be interested