Insan & Komuniti 09 Jan, 2026

Bila murid bertemu cikgu! Empat dekad berlalu hubungan mesra Skuad 1/86 Pulapol KL tetap erat!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

MASA banyak mengubah kehidupan manusia. Yang dahulu dekat mungkin kini jauh. Yang dahulu rapat dan diingat tetapi kini mungkin sudah menjauh atau dilupakan. Masing-masing membawa haluan diri dalam melayari bahtera kehidupan.


Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.


Tetapi tidak demikian dengan Skuad 1/86 Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur. Walaupun 40 tahun berlalu, persaudaraan di antara tenaga pengajar atau jurulatih dengan pelatih tetap tidak pudar. 

Hubungan silatulrahim terus segar mekar sekali pun sudah empat dekad ditelan zaman.

Sebagai usaha memastikan hubungan kemesraan ini berterusan, pertemuan semula atau Majlis Reunion Skuad 1/86 diadakan pada 4 Januari 2026 lalu di Pulapol. 

Sambil bertemu, sambil mengimbau kenangan lalu. Lebih 500 orang pesara dan pegawai polis hadir pada majlis tersebut. 

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay hadir selaku tetamu kehormat. Juga hadir Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Skuad (PKS) 1/68, Datuk Seri Halim Ishak; bekas Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Roslan Bek Ahmad dan bekas Pegawai Penjaga Kompeni ‘A’ dan ‘B’, Zaaba Aziz.


Ayob Khan Mydin Pitchay.


Turut hadir ialah barisan jurulatih kawad dan guru undang-undang yang pernah membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada Skuad 1/86 semasa latihan pada 1986.

Di samping itu, majlis reunion tersebut juga sebagai menghargai rakan seperjuangan serta ketabahan ahli keluarga sebagai tunjang kekuatan kejayaan anggota Skuad 1/86. Tidak lupa ia juga untuk mengenang 169 rakan yang telah pergi menyahut seruan Ilahi.  

Majlis reunion meriah tetapi juga mengharukan apabila bekas ’cikgu’ dan ‘murid’ bertemu kembali setelah sekian lama, mengenang kembali kisah ketika mengajar dan belajar di Pulapol. Tambah mengharukan apabila sudah ramai yang tiada bersama. 


Ayob Khan (lima dari kiri) bersama sebahagian Skuad 1/86. Antaranya Roslan Bek (tiga dari kanan) dan Zaaba Aziz (tiga dari kiri) pada Majlis Reunion Skuad 1/86.


Ayob Khan dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada seluruh ahli PKS 1/86 atas dedikasi, integriti serta pengorbanan berterusan menabur khidmat bakti untuk negara.

Beliau menasihati semua warga skuad terus mengekalkan nilai integriti dan menjauhi rasuah. Warga skuad juga perlu mengamalkan gaya hidup sihat dan mengekalkan semangat persaudaraan yang telah terjalin sejak 40 tahun lalu.

Halim Ishak pula berkata, majlis pertemuan semula itu mengembalikan kenangan lama ketika menjalani latihan asas rekrut pada 1986. 

Antaranya yang sentiasa dalam ingatan ialah kawad kaki beramai-ramai, jamuan di dewan makan serta bacaan Yasin dan tahlil.

Justeru majlis tersebut membuktikan semangat dan persaudaraan Skuad 1/86 tetap segar dan kukuh, tidak mudah ditelan masa. Ini sekali gus boleh menjadi tauladan dan inspirasi kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada masa hadapan.


Ayob Khan (empat dari kiri) melancarkan secara rasmi Pertubuhan Kebajikan Skuad (PKS) 1/86 pada majlis reunion skuad 4 Januari lalu.


Bagi Zaaba Aziz, majlis pertemuan semula itu penuh nostalgia kerana mempertemu ahli-ahli dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak ketika menjalani latihan asas kepolisan di Pulapol 40 tahun lalu.

Beliau yang juga pernah menjadi pegawai pendakwa di mahkamah berkata, hampir 20 peratus ahli skuad 1/86 telah meninggal dunia. 

Bagi yang tinggal, dalam lingkungan 80 peratus sudah bersara manakala 20 peratus sedang menanti umur persaraan.

Zaaba  bersyukur kerana selepas empat dekad, bekas pelatih masih ingat dan mengenang jasanya dan jurulatih lain. 

Beliau bangga kerana ramai anak didiknya meniti tangga kejayaan dalam PDRM sehingga memperoleh pangkat tinggi, termasuk Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) di samping menerima pelbagai anugerah kebesaran.


Warga skuad yang hadir pada Majlis Reunion Skuad1/86 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur 4 Januari 2026.


Bersatu teguh bercerai roboh. Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Berat sama dipikul ringan sama dijinjing. 

Atas asas ini, Skuad 1/86 akan terus memupuk persaudaraan dan semangat setiakawaan selagi hayat dikandung badan. - KitaReporters

 

 

 

 

 

 

 

 

10
7
0
16
0
You will be interested