Insan & Komuniti 14 Jan, 2026

Tolong kami! Bantu cari anak perempuan! Keluarga bimbang Nurathirah Najwa hilang tak dapat dikesan!

@ani bin awang
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Emel: [email protected]

Share this

Sebuah keluarga berada dalam kebimbangan apabila anak perempuan mereka dilaporkan hilang selepas keluar bekerja ke Pulau Pinang pada hari Selasa, 6 Januari 2026.

Nurathirah Najwa Sulaiman,  24, bekerja sebagai penyelia tapak dilaporkan pergi ke Pulau Pinang untuk menjaga sebuah kilang. 


Nurathirah Najwa Sulaiman


Namun begitu dia tidak pulang ke rumah sehingga majikannya telah datang ke rumah keluarga bertanya mengapa Nurathirah tidak datang bekerja di Kampung Benggali, Taiping.

"Saya ada menghubungi anak saya pada pagi Rabu (7 Januari 2026) tetapi perbualan itu singkat, seolah-olah ada sesuatu yang menghalangnya daripada bercakap lama. 

"Selepas itu, telefon bimbitnya tidak lagi aktif dan akaun WhatsApp menunjukkan tiada sebarang aktiviti.

"Saya membuat laporan polis di Balai Polis Changkat Jering pàda malam Khamis kerana risau keselamatannya," kata Sulaiman Mat Isa, ayah Nurathirah Najwa, ketikanya ketika ditemui di Taiping pada 13 Januari 2026.

Sulaiman berkata, lebih meresahkan apabila siasatan awal mendapati wang simpanan beliau berjumlah kira-kira RM80,000 di dalam akaun bank lesap dengan baki hanya sekitar RM8. 

"Saya memeriksa di bank mendapati wang berkenaan dipercayai dikeluarkan melalui transaksi ATM dan pemindahan wang. 

"Ini kerana kad bank serta urusan transaksi bank saya diuruskan oleh anak saya itu," katanya.



Beliau berkata, keluarga menjadi semakin bimbang apabila menerima beberapa panggilan daripada nombor telefon tidak dikenali. 

"Ada pemanggil yang memperkenalkan diri sebagai “Along” mendakwa anak saya mempunyai hutang dan ini mengejutkan keluarga kerana mereka tidak mengetahui sebarang hutang melibatkan anaknya," katanya.

Sehubungan itu, keluarga mengesyaki anaknya  yang hilang mungkin dipaksa atau diperalatkan oleh pihak ketiga untuk melakukan transaksi kewangan atau pinjaman yang tidak diketahui. 

"Saya bimbang dengan keselamatan anak saya berada dalam bahaya.

"Saya berharap polis dapat menjalankan siasatan bagi membolehkan anak saya ditemui sengan selamat," katanya.


Sulaiman Mat Isa dan isteri Zawiyah Abas (tengah)


Nurathirah mempunyai ciri fizikalnya, tinggi sekitar 166 cm, bertubuh kurus dan kulit hitam manis.

Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Kes: SM Hishamuddin Abdullah di

Balai Polis Changkat Jering, Taiping meneruisi Tel: 05-855 3222 atau mana-mana balai polis berhampiran. - KitaReporters

17
6
0
14
0
You will be interested