Insan & Komuniti 27 Sep, 2024

Karnival Komuniti dan Pesta Air Putrajaya 2024 meriah! Tarik 100k pengunjung! Harap jadi acara ikonik!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

Acara memukul bantal antara pertandingan yang menarik perhatian di Karnival Komuniti dan Pesta Air Putrajaya 2024.


KARNIVAL Komuniti dan Pesta Air Putrajaya 2024 mempunyai serampang dua mata bagi meningkatkan hubungan kekeluargaan dalam kalangan warga pusat pentadbiran negara itu selain menjana ekonomi bagi menambah pendapatan peniaga tempatan sepanjang empat hari acara ikonik itu diadakan di Kompleks Futsal, Presint 18, Putrajaya.

Karnival ini memberi pulangan pendapatan kasar berjumlah RM100,000 kepada peniaga malah manfaat yang bakal dikecapi amat besar impaknya terutama kepada komuniti Putrajaya. 

Faktor ini disumbang daripada 150 penyertaan daripada peniaga membabitkan jualan makanan dan barangan kering selain jualan Rahmah daripada Koperasi Angkasa.   


TPr. Fadlun Mak Ujud


Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr. Fadlun Mak Ujud, berkata sebelum ini acara karnival komuniti dan pesta air diadakan berasingan tapi tahun ini (2024), kedua-dua acara ikonik itu dilaksanakan serentak bagi menarik lebih ramai pengunjung selain menjanjikan pelbagai aktiviti dan pengisian lebih menarik.

"Putrajaya kini menjadi destinasi dan pusat tumpuan utama acara khususnya berskala mega. Pelbagai acara dan aktiviti dirangka sepanjang tahun ini bagi memenuhi kalendar acara Putrajaya termasuk Karnival Komuniti dan Pesta Air Putrajaya. 

"Dengan sasaran 100,000 pengunjung dan pulangan pendapatan kasar kepada peniaga sebanyak RM100,000 daripada pelaburan yang dikeluarkan, ia memberi manfaat besar kepada komuniti Putrajaya," katanya ketika merasmikan Karnival Komuniti dan Pesta Air Putrajaya 2024 di Kompleks Futsal, Presint 18, Putrajaya. 

Turut hadir, Pengarah (Perbandaran & Khidmat Teknikal) Jabatan Wilayah Persekutuan, Wan Ashbi @ W Maheran Leman; Group Chief Business Officer, Bank Islam Malaysia Berhad, Mizan Masram, Naib Presiden (Jabatan Perkhidmatan Bandar), Perbadanan Putrajaya, Nik Shukri Nik Soh; dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP)  Zon Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim.


Dikir Barat Madani Antrabangsa Putrajaya menggabung tiga kumpulan dari Malaysia, Thailand dan Singapura. 


Fadlun berkata, penganjuran Karnival Komuniti dan Pesta Air Putrajaya ini bagi mengukuhkan integrasi sosial dalam kalangan warga Putrajaya.  

Ia juga berperanan mengeratkan hubungan baik antara Perbadanan Putrajaya dengan komuniti setempat yang menjadi model dalam melaksanakan ‘empowerment’ dan ‘engagement’ antara komuniti setempat dan ‘stakeholder’. 

"Komitmen ini sangat penting demi membina dan memupuk “sense of identity” dan “sense of belonging” dalam kalangan komuniti Putrajaya. 

"Usaha ini juga bagi mempromosi Tasik Putrajaya sebagai lokasi penganjuran acara sukan air bertaraf antarabangsa dengan fasiliti terbaik dan sewajarnya diuar-uarkan secara meluas.


Konsert Kerohanian, "Aku dan Dia" membabitkan penggiat seni tempatan, pejar SMK Putrajaya 16 dan artis terkenal seperti Ariswatan dan Zul Handy Black.


"Pelbagai komponen dalam pengisian Karnival Komuniti dan Pesta Air Putrajaya selaras dengan C.H.A.S.E City yang dihasratkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa bagi menggalakkan pembudayaan gaya hidup sihat.

"Program-program kerohanian, kebudayaan, sukan dan keusahawanan bertujuan memupuk kesedaran pentingnya keseimbangan antara pembangunan moden dan kelestarian. 

"Ia juga bagi memperkasakan masyarakat dengan pelbagai pengetahuan dan pengalaman ke arah kesejahteraan fizikal, mental dan sosial," katanya lagi. 


Pertandingan menangkap itik membolehkan peserta membawa pulang haiwan yang mereka tangkap dalam tasik.


Beliau mengakui, kemeriahan acara yang berlangsung selama empat hari menunjukkan sinergi dan kerjasama jitu wujud antara Perbadanan Putrajaya dan rakan-rakan strategik.

"Saya difahamkan ada lebih 60 aktiviti sepanjang karnival ini seperti Forum Perdana Ehwal Islam yang membuka tirai persembahan selain perkhidmatan kaunter dan pameran 40 agensi kerajaan dan swasta, 300 cabutan bertuah dengan hadiah utama Yamaha Y15, pakej percutian dan barangan elektrik.

"Lebih menarik‚ 300 cabutan bertuah dengan hadiah utama sebuah motosikal Yamaha Y15 V2‚ pakej-pakej percutian dan pelbagai barangan elektrik menanti pengunjung.

"Ia diselang-seli dengan pelbagai pengisian lain seperti Konsert Kerohanian, "Aku dan Dia" membabitkan penggiat seni tempatan, pelajar SMK Putrajaya 16 dan artis terkenal seperti Ariswatan dan Zul Handy Black.


Hadiah utama, motosikal Yamaha untuk pemenang cabutan bertuah sempena Karnival Komuniti dan Pesta Air Putrajaya 2024  


"Acara lain yang diadakan ialah 35 pertandingan untuk pelbagai peringkat umur‚ pameran 40 agensi kerajaan dan swasta‚ Jualan Rahmah Madani‚ aktiviti kanak-kanak‚ 120 jualan dari Pasar Saloma‚ jualan usahawan Komuniti Putrajaya‚ OSCC Fun Run 2024‚ Malam Wow Zapin Putrajaya (Battle of Zapin) dan showcase Dikir Madani "Gegar Nusantara" yang menggabung kumpulan dari Malaysia, Singapura dan Thailand.

"Bagi sukan air pula ialah perlumbaan kenu peringkat sekolah dan terbuka, Sukaneka Air antaranya menangkap itik‚ pukul bantal dan meniti basikal. 

"Tarikan utama ialah pertandingan perahu panjang 250 meter bagi kategori Komuniti‚ Sekolah Menengah Putrajaya dan Agensi Jemputan merebut Piala Presiden PPj," katanya.


Acara perahu panjang memang dinanti-nantikan pengunjung untuk melihat siapa yang menjuarai pertandingan itu. 


Fadlun juga berterima kasih atas sokongan pelbagai pihak termasuk sektor kerajaan dan swasta yang membantu menjayakan Karnival Komuniti dan Pesta Air Putrajaya 2024.

"Terima kasih kepada komuniti Putrajaya selain mereka yang sudi menjadi rakan strategik termasuk Bank Islam Malaysia Berhad, Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Putrajaya (MPPWP) dan warga tempatan dan sekitar yang memeriahkan karnival sepanjang empat hari diadakan, insya-Allah tahun depan lebih meriah," katanya lagi. - KitaReporters


Kanak-kanak paling gembira dapat menarik bersama maskot sempena Karnival Komuniti dan Pesta Air Putrajaya 2024.

26
11
0
14
0
You will be interested