Insan & Komuniti 26 Jun, 2025

Terbaik PALAPES Laut UPM! Praktikkan Program Jiwa Murni! Hadir santuni, hiburkan hati warga emas!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Dr. Mohd Hasmadi melihat ahli PALAPES Laut UPM menyantuni warga emas dengan permainan uji minda.


Program Jiwa Murni (PJM) merupakan inisiatif Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berobjektif meningkatkan kerjasama antara ATM dengan masyarakat di samping memperkukuhkan kesedaran serta kepercayaan rakyat.

PJM membabitkan pelbagai aktiviti kebajikan, kesejahteraan serta pendidikan yang secara tidak langsung menjadi wadah untuk ATM berinteraksi lebih dekat dengan masyarakat bagi mewujudkan hubungan erat.

Menyedari banyak manfaat daripada program berkenaan, 133 ahli Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) Universiti Putra Malaysia (UPM) hadir menyantuni warga emas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor.


Ahli PALAPES Laut UPM berganding bahu mengecat pintu pagar utama PJMM.


Komander Prof. Gs. Ts. Dr. Mohd Hasmadi Ismail PSSTLDM, berkata mahasiswa yang terbabit dalam program itu merupakan daripada pasukan PALAPES Laut UPM yang sering terbabit dalam program khidmat masyarakat dan amal kebajikan.

Jelasnya, memang tidak dapat dinafikan PJM itu mendekatkan mahasiswa terbabit dengan komuniti seperti penduduk di satu-satu kawasan, mereka yang menghuni pusat jagaan atau rumah kebajikan termasuk anak yatim, keluarga miskin serta asnaf.

Menurutnya, menerusi PJM ia secara tidak langsung memupuk sifat kepemimpinan dalam kalangan ahli PALAPES Laut UPM di samping menyemai rasa bertanggungjawab serta keprihatinan kepada mereka yang memerlukan pembelaan atau sokongan selepas hilang tempat bergantung. 

“Apabila PJM dianjurkan saya akan memantau perjalanannya manakala aktiviti yang dilaksanakan itu diuruskan jawatankuasa dalam kalangan ahli PSSTLDM untuk memastikan kesesuaiannya selepas mengadakan perbincangan dengan pihak terbabit,” ujarnya ketika hadir melihat PJM yang diadakan di PJMM pada 22 Jun 2025.

Antara aktiviti dilakukan oleh ahli PSSTLDM di pusat jagaan itu termasuklah senamrobik bersama-sama warga emas, gotong-royong membersih persekitaran, bilik penghuni, mengecat pagar pintu utama serta gelanggang badminton di samping permainan menguji minda, sesi beramah mesra dan berkaraoke.


Ahli PALAPES Laut UPM bekerjasama mengecat gelanggang badminton PJMM.


Sementara itu, Pegawai Staf PALAPES Laut UPM, Lt Muda Putri Syahmina Damia PSSTLDM, pula berkata walaupun ahli PALAPES Laut TLDM itu memiliki tahap disiplin yang tinggi khusus mematuhi tugas dipertanggungjawabkan namun sifat toleransi wajar terus dipupuk.

Tambahnya, menjadi kebiasaan gerak kerja dilakukan dalam PJM bermatlamat mendekatkan hubungan ahli PALAPES Laut UPM dengan mereka yang disantuni terutama warga emas tersisih daripada ahli keluarga dan hidup bersendirian di pusat jagaan.

“PJM ini juga memberi peluang ahli PALAPES Laut TLDM mempraktikkan program dianjurkan ATM sekian lama apabila dapat membawa kebahagiaan serta sinar kegembiraan kepada mereka yang disantuni sama ada individu, keluarga atau komuniti satu-satu tempat,” katanya.


Pengerusi PJMM, Azman Rasman dan Dr. Mohd Hasmadi Ismail  (tengah) merakamkan kenangan bersama-sama 133 ahli Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) Universiti Putra Malaysia (UPM).


Timbalan Pengarah PJM berkenaan, Muhammad Irham Mohd Azri, pula berkata program bersama komuniti sebegini turut membantu mereka melegakan rasa tekanan atau stress apabila banyak tertumpu kepada latihan dalam markas.

Jelasnya, program itu amat bermanfaat kepada mereka kerana mampu menyuburkan kerja berpasukan, bekerjasama dalam apa jua keadaan demi mengembirakan pihak terbabit disamping mempraktikkan tugas untuk membantu komuniti.

“Rakan ahli PALAPES Laut TLDM yang terbabit ini memang bersedia setiap masa untuk keluar membantu masyarakat kerana ia turut memberi peluang berkongsi cerita mengenai tugas seorang mahasiswa menimba ilmu serta ahli PSSTLDM,” ujarnya. - KitaReporters


Ahli PALAPES Laut UPM merakam kenangan bersama Ahli Jawatankuasa Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA'24), Zaiton Yaacob yang turut hadir memberikan sokongan kepada mereka.

22
12
0
8
0
You will be interested