.
Kematian boleh berlaku dalam sebarang waktu dan di mana-mana sahaja. Namun bagi setiap umat Islam yang patuh dengan perintah dan suruhan Allah SWT, kita sentiasa ingin mengakhiri hidup dalam keadaan baik atau apa yang disebutkan sebagai kematian husnul khatimah.
Seorang warga emas berusia 73 tahun di Kabupaten Bantul, Yogyakarta didoakan agar pemergiannya adalah dalam keadaan husnul khatimah.
Seorang jemaah yang bersandar pada dinding tiba-tiba rebah dan dirakam CCTV masjid.
Dia menghembuskan nafas terakhir pada Selasa, 4 Mac 2025 ketika mengikuti kuliah subuh dalam sebuah masjid di Bantul pada bulan Ramadan ini.
Kejadian itu terakam kamera litar tertutup (CCTV) masjid dan tular setelah dimuat ulang oleh Instagram @moodjakarta, Instagram @undercover.id dan beberapa sosial media yang lain.
Dalam rakaman CCTV itu kelihatan para jemaah sedang mengikuti kuliah subuh.
Terlihat seorang lelaki memakai baju koko dan songkok putih bersandar pada dinding masjid. Tidak lama kemudian, lelaki itu tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.
Melihat situasi itu, para jemaah menghampirinya dan cuba memberi bantuan kecemasan. Namun, lelaki itu meninggal dunia ketika hendak dibawa ke hospital.
“Seorang bapak usia 73 tahun di Bantul dipanggil pulang saat mengikuti kajian subuh di masjid. Sebuah kepulangan yang indah. Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Allahummaghfirlahu warhamhu,” tulis akaun Instagram @undercover.id.
Sementara itu, para netizen memberi ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berharap lelaki itu mendapatkan husnul khatimah (kematian yang dicemburui).
Namun tiada keterangan lebih lanjut mengenai diri lelaki warga emas yang meninggal dunia itu atau nama masjid kejadian berlaku. - KitaReporters