Insan & Komuniti 04 Nov, 2022

I Love Rasulullah SAW! Teladani sifat universal, kemanusiaan Baginda! Sebagai role model kehidupan!

@khadijah mohamad nor
Pernah berkhidmat sebagai Wartawan Eksekutif di akhbar Kosmo! selama hampir 14 tahun. Berpengalaman dalam penulisan rencana, sukan, berita dan luar negara. Graduan Universiti Teknologi Mara dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka Tesktil. Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Share this

Kelahiran Rasulullah SAW membawa cahaya petunjuk ke seluruh alam dan memadamkan api kesesatan. - Kredit foto: Facebook JAKIM 

NABI Muhammad SAW merupakan makhluk teragung ciptaan Allah SWT. Kelahiran Baginda bukan sahaja membawa cahaya petunjuk buat manusia, bahkan membawa rahmat buat sekalian alam. Malah, Rasulullah SAW merupakan manusia terunggul dan suri teladan terbaik buat umat sepanjang zaman.

Sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Ahzab, ayat 21 yang bermaksud:"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang berharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan yang banyak mengingati Allah."

Pensyarah Kanan, Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Dr. Nur Najwa Hanani Abd Rahman berkata, sejak Rasulullah SAW masih kecil, Baginda telah menunjukkan sifat yang mulia. Keperibadian yang luhur dan sopan Nabi SAW bukan sahaja ditunjukkan kepada orang Islam, bahkan orang bukan Islam tanpa mengira kedudukan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Rasulullah SAW

Dr. Nur Najwa Hanani berkata, umat Islam perlu meneladani Rasulullah SAW dalam segenap urusan harian.

"Antara sifat wajib bagi Rasulullah SAW adalah siddiq (benar), amanah (jujur), fatonah (bijaksana) dan tabligh (menyampaikan). Asbab sifat kejujuran, Baginda yang dilahirkan pada tarikh 12 Rabiul'awal Tahun Gajah telah mendapat gelaran Al-Amin. Malah, pengutusan Baginda SAW sebagai Nabi dan Rasul ketika berusia 40 tahun membawa misi sebagai pembawa risalah dan rahmat kepada umat manusia dan seluruh alam semesta.

"Firman Allah dalam Surah Al-Anbiya', ayat 107 yang bermaksud: "Dan tiadalah Kami mengutuskan kamu melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam."

"Maka, sebagai orang Islam dan umat akhir zaman, meneladani Rasulullah dalam segenap urusan harian bermula daripada bangun tidur, hingga kepada pengurusan kehidupan siang dan malam menjadi satu kewajipan sekali gus merupakan cara bagi memanifestasikan rasa cinta dan rindu terhadap Nabi SAW," jelas Dr. Nur Najwa Hanani kepada KitaReporters.

Tambah beliau, pengurusan Rasulullah SAW adalah pengurusan yang universal (syamil), baik dari segi waktu mahupun tempat. Malah, ia dapat diterapkan di mana-mana, pada bila-bila masa dan oleh sesiapa sahaja.


Program sambutan Maulidur Rasul yang dianjurkan setiap tahun sepanjang bulan Rabiulawal hakikatnya mampu memupuk kecintaan umat kepada Nabi Muhammad SAW.

"Seseorang guru boleh menjadikan Baginda sebagai contoh dalam mengurus murid-muridnya. Ini kerana pengurusan Rasulullah SAW terbukti menghasilkan para sahabat RA yang luar biasa seperti Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Saidina Umar Al-Khattab, Saidina Uthman ibn Affan dan Saidina Ali ibn Abi Talib.

"Seorang panglima tentera boleh mencontohi Rasulullah SAW dalam melahirkan tentera-tentera yang hebat seperti Khalid ibn Al Walid, Saidina Ali, Saidina Umar dan Usamah. Khalid adalah seorang panglima perang yang tiada tolok bandingannya hingga digelar sebagai Pedang Allah dan beliau dan pasukannya tidak pernah tewas dalam peperangan yang disertai. Manakala Usamah pula adalah panglima perang termuda yang masih berusia belasan tahun.

"Ahli ekonomi atau perniagaan juga boleh mencontohi Nabi SAW dalam melahirkan ahli korporat yang dermawan seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Uthman dan Abdurrahman ibn Auf. Bayangkan betapa kaya dan pemurahnya Abu Bakar sehingga pernah menginfakkan ratusan ekor unta beserta harta yang dibawanya ketika Madinah mengalami kegawatan.

"Dan seorang ilmuwan boleh mencontohi Baginda SAW dalam melahirkan para pemikir ulung seperti Saidina Umar yang terkenal dengan ijtihad-ijtihadnya yang hebat; Abu Hurairah dengan kekuatan hafalannya dalam mengumpulkan hadis; Abdullah ibn Umar, Abdullah ibn Mas'ud, Ibnu Abbas, Saidina Ali dan Saidatina Aisyah RA adalah pakar-pakar hukum hakam yang tersohor," ulas beliau lagi.


Gambar hiasan... Anak-anak perlu dididik sedari kecil agar bersyukur menjadi umat Nabi Muhammad SAW sekali gus menjadikan Baginda contoh ikutan sepanjang zaman. 


Menurut Dr. Nur Najwa Hanani lagi, dalam mendidik manusia yang sederhana, wara' (hati-hati), tawadhu' (rendah hati), ia dapat dilihat pada keperibadian anak didik Rasulullah SAW seperti Abu Dzar Al-Ghifari, Ali Bilal, Abu Hurairah dan Abdullah Ummi Maktum.

"Bayangkan hampir 100 peratus anak-anak didik Rasulullah SAW yang terdiri daripada para sahabat memiliki sifat dan peribadi yang unik serta bersejarah berkat kredibiliti Baginda dalam menguruskan umatnya. Kehebatan pengurusan Rasulullah juga dapat kita saksikan dalam urusan rumah tangga Baginda. Lihatlah bagaimana Baginda mampu menjadikan 11 orang isteri pada tempoh tertentu sebagai keluarga yang sakinah, mawaddah wa rahmah (tenang, kasih sayang dan rahmat) sebagaimana terjemahan ayat 21, Surah Ar-Rum yang bermaksud:

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir."

Di samping itu, tegas beliau, pengurusan Rasulullah SAW adalah bersifat kemanusiaan menjadikan ia sesuai dan selaras dengan kehidupan manusia sehinggakan semua sikap, perilaku dan prestasinya dapat kita contohi. Bezanya, Baginda menerima wahyu dan terlindung daripada dosa dan kesalaham (maksum) sementara kita tidak.


Rasulullah SAW terhindar daripada melakukan dosa kerana hati Baginda telah dicuci menggunakan air zam zam di dalam talam emas.


Firman Allah dalam Surah Al-Kahfi, ayat 110 yang bermaksud: "Katakanlah; Sesungguhnya aku ini manusia biasa seperti kamu yang diwahyukan kepadaku "Bahawa sesungguhnya Tuhan kamu itu adalah Tuhan Yang Esa". Barangsiapa yang mengharap pertemuan dengan Tuhannya, maka hendaklah ia mengerjakan amal soleh dan janganlah ia mempersekutukan dengan seorang pun dalam beribadah kepada Tuhannya."

Dr. Nur Najwa Hanani turut menceritakan bagaimana kisah seorang nenek datang kepada Rasulullah SAW dan memohon agar ia masuk syurga bersama Baginda. Maka Nabi menjawab: "Wahai hamba Allah, sesungguhnya syurga tidak boleh dimasuki oleh orang tua." Kemudian, nenek tersebut terus pergi sambil menangis. Melihat keadaan itu, Nabi SAW memanggilnya dan berkata: "Engkau tidak boleh masuk syurga dalam keadaan tua bangka kerana Allah akan membangkitkan kembali para wanita tua dalam umur yang masih muda."

Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam Surah Al-Waqiah, ayat 35-37 yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami menciptakan mereka (bidadari-bidadari) secara langsung. Dan kami jadikan mereka gadis-gadis perawan. Penuh kasih sayang dan sebaya umurnya."

Akhirnya wanita tu itu tertawa riang mendengar senda gurau Rasulullah SAW tersebut. Menurut satu riwayat, wanita tua itu adalah ibu saudara Nabi yang bernama Safiyyah. Kadangkala, Rasulullah SAW juga bergurau bersama para sahabat hingga Baginda SAW tersenyum menampakkan gigi gerahamnya.


Gambar hiasan... Rasulullah SAW juga sangat memuliakan kaum wanita yang mempunyai martabat tinggi di sisi Islam. 


Saidina Umar ibn Al-Khattab berkata, "Dulu aku melihat Hassan dan Hussin di atas leher Nabi, aku berkata, "Sebaik-baik tunggangan adalah yang kamu tunggangi." Nabi menyahut, "Dan sebaik-baik penunggang adalah kalian berdua."

Selain itu, meskipun dijamin masuk syurga, Rasulullah SAW tetap sibuk beribadah kepada Allah hingga bengkak kedua-dua belah kakinya. Sehinggakan ketika Saidatina Aisyah bertanya, "Bukankah engkau telah dijamin masuk syurga?" Baginda menjawab, "Tidak bolehkah aku menjadi hamba yang bersyukur.

"Allahu Akbar. Peribadi mulia Rasulullah SAW sememangnya tiada tandingan dengan mana-mana manusia lain di muka bumi ini. Justeru, seharusnya Nabi dan Rausl terakhir utusan Allah kepada umat akhir zaman ini dijadikan suri teladan dan tokoh inspirasi umat Islam dalam segenap aspek kehidupan.

"Ingatlah betapa Nabi Muhammad SAW tidak pernah berjumpa dengan kita, tetapi Baginda sering merindui kita walaupun kita banyak melakukan dosa dan melupakan Baginda dalam urusan seharian. Pernahkah kita mengenang pengorbanan Baginda dan para sahabat dalam perjuangankan menegakkan syiar Islam semata-mata agar kita dapat merasai nikmat Islam pada hari ini?


Perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat menegakkan syiar Islam perlu diinsafi oleh umat Islam pada hari ini hingga mendapat nikmat kemanisan iman dan Islam.


"Sangat menyedihkan kerana pada zaman ini, sunnah Nabi SAW semakin pudar dalam diri masyarakat moden yang hanya mengejar kekayaan, kecantikan, fesyen dan kebahagiaan dunia semata-mata. Bahkan terdapat segelintir umat islam yang mengamalkan sunnah Baginda terlihat asing di mata masyarakat dan cenderung menerima kecaman.

"Benarlah sabdaan Baginda: "Agama Islam datang dalam keadaan asing dan akan kembali dalam keadaan asing. Sungguh beruntunglah orang yang asing." (Hadis Riwayat Muslim)

Para pembaca yang dirahmati Allah sekalian, mari kita singkap kehidupan kita pada hari ini, sejauhmanakah kita meneladani sifat Rasul tercinta. Sudahkah kita mengajar anak-anak untuk mengenal Baginda dan menerapkan sifat kemanusiaan Baginda dalam kehidupan mereka? Sebagai ibu bapa dan orang dewasa, kita bertanggungjawab untuk menyemai rasa cinta akan Nabi SAW dalam diri ahli keluarga terutamanya anak-anak yang sedang dalam proses mengenali fitrah dunia.

"Sebagai orang Islam, meneladani sifat universal dan kemanusiaan Rasulullah SAW sangat penting bagi menyelamatkan kita daripada terlibat dalam perlakuan yang melampaui batas dalam Islam. Meneladani sifat Baginda juga menjadi bukti kita cinta kepadanya dan berharap agar dapat dibangkitkan bersama-sama Rasulullah di hari akhirat kelak.

"Hal ini demikian sepertimana sabdaan Baginda SAW: "Kamu akan bersama-sama dengan orang yang kamu cintai." (Hadis Riwayat Muslim).

"Hadis ini menerangkan tentang manusia akan dibangkitkan di hari akhirat kelak bersama-sama dengan orang yang mereka cintai. Oleh itu, tinggikanlah rasa cinta kepada Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang soleh sehingga kelak kita mampu dibangkitkan bersama mereka dan bukan dengan orang-orang kafir yang terpesong daripada akidah yang benar.


Sebagai umat Islam, kita digalakkan memperbanyakkan selawat ke atas Nabi SAW agar beroleh syafaat Baginda di akhirat kelak.


"Kesimpulannya, Nabi Muhammad SAW memiliki sifat-sifat yang indah dalam diri Baginda. Maka, sewajarnya kita belajar untuk mengenali keperibadian Baginda secara lebih mendalam dengan mempelajari sirah agar dapat mencontohi Rasulullah dalam kehidupan seharian sekali gus meningkat rasa cinta kepada Nabi. Selain itu, perbanyakkanlah selawat ke atas Baginda pada setiap hari agar kita beroleh syafaat Rasulullah SAW di hari Kiamat."

Sabda Nabi SAW: "Orang yang paling dekat denganku pada hari kiamat ialah orang yang paling banyak berselawat ke atasku" (Hadis Riwayat Tirmidzi). - KitaReporters


14
8
0
12
0
You will be interested