Insan & Komuniti 05 Feb, 2023

Innalillahi! 2 guru suami isteri maut kemalangan! Tercampak keluar dari kenderaan! 3 anak tercedera!

@adnan mohamad
Berpengalaman dalam bidang penulisan selama lebih 22 tahun sebagai wartawan bermula di akhbar Berita Harian selama lebih lima tahun kemudian di akhbar Utusan Malaysia serta Kosmo dan lima kali mendapat anugerah kewartawanan peringkat negeri Terengganu. Emel: [email protected]

Share this

TOYATA Estima yang dinaiki kedua-dua mangsa dan tiga anaknya selepas terbabas di Plaza Tol Cheneh, LPT2, Kemaman, Terengganu pada pukul 4 petang 4 Februari 2023. - Kredit foto : Media Sosial


SEPASANG suami isteri, masing-masing merupakan guru, tercampak lima dan 10 meter dari kenderaan apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima yang mereka naiki dipercayai terbabas sebelum berpusing beberapa kali dekat susur keluar Plaza Tol Cheneh, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), Kemaman, Terengganu pada Sabtu, 4 Februari 2023. 


Lagi cerita-cerita tragedi berkaitan kejadian kemalangan

ARBAIN Baharudin dan isterinya, Rosmawati Bakar @ Lalar


Dalam kemalangan yang berlaku pada pukul 4 petang itu, mangsa, Arbain Baharudin, 47, dan isterinya, Rosmawati Bakar @ Lalar, 46, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah pada kepala dan  badan.

Kedua-dua mangsa mengajar di Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang, Selangor  dan mempunyai enam orang anak.

Manakala tiga anak mangsa iaitu Farah Najwa, 20; Fatin Najla, 10; dan Faikal Nabila, 8, mendapat kecederaan pada tangan, kaki dan muka yang kini  dirawat di Hospital Kemaman.

Sebelum kejadian, mangsa bertolak dari Kajang untuk menghantar salah seorang anak lelakinya yang belajar di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas), Kuantan, Pahang.

Selepas menghantar anak lelakinya di Polisas itu, mereka sekeluarga dikatakan bertolak ke Kemaman pula untuk pulang ke kampung Rosmawati  di Kampung Gelugor, Kerteh.

Namun, hasrat keluarga malang itu untuk pulang ke kampung halaman tidak kesampaian apabila mereka terbabit kemalangan di lokasi berkenaan.


KENDERAAN jenis Toyota Estima melanggar besi penghadang dan terbalik di tengah laluan lebuh raya di Plaza Tol Cheneh, LPT2, Kemaman, Terengganu. - Kredit foto : Media Sosial


Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan mangsa dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan kiri lebuh raya itu.

Beliau berkata, berikutan dengan kejadian itu, pasangan suami isteri itu tercampak keluar dari kenderaan mereka sejauh lima meter dan 10 meter.

``Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan selanjutnya.

``Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,’’ katanya.


MAYAT salah seorang dari mangsa yang tercampak keluar dari kenderaan selepas terbabit kemalangan. - Kredit foto : Media Sosial

 

 

7
14
1
10
0
You will be interested