Insan & Komuniti 14 Jan, 2023

Terbaiklah Skuad Unity KRT Seberang Prai Utara! Datang santuni mangsa banjir di Terengganu, Kelantan!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this

Mangsa banjir di Kampung Batu 13, Hulu Besut bergambar kenangan bersama sukarelawan Skuad Unity KRT Seberang Prai Utara


MESKIPUN banjir besar yang melanda Daerah Besut, Terengganu, sudah hampir sebulan berlalu, namun sikap prihatin rakyat Malaysia khususnya Badan Bukan Kerajaan (NGO) terhadap nasib mangsa-mangsa yang  ditimpa musibah tersebut masih terus mendapat perhatian pelbagai pihak. 

Skuad Unity Pejabat Perpaduan Seberang Prai Utara (SPU),  tidak mahu ketinggalan untuk menyantuni mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan apabila memilih untuk turun padang melihat sendiri keadaan sebenar mangsa banjir yang mengalami kepahitan hidup selepas menghadapi bencana pada pertengahan Disember 2022.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan NGO Skuad Unity

Sukarelawan Skuad Unity Seberang Prai Utara ketika singgah di Pusat Rukun Tetangga Bandar Jertih, Terengganu untuk sesi ramah mesra


Rombongan 20 sukarelawan skuad tersebut yang diketuai Pegawai Perpaduan Daerah Seberang Prai Utara, Suzaini Jusoh memilih Daerah Besut, Terengganu dan Pasir Puteh, Kelantan, untuk Program Bantuan Banjir skuad tersebut.

Setiausaha Skuad Unity SPU, Mohd Rashid Ibrahim berkata, menerusi program dua hari tersebut pihaknya berjaya menyantuni mangsa banjir di Hulu Besut dan Pasir Puteh.

Katanya, program tersebut dirancang dalam tempoh dua minggu selepas melihat kejadian banjir besar berlaku di Terengganu terutama di Daerah Besut.


Mohd Rashid Ibrahim


Menurut Mohd Rashid, simpati dengan nasib mangsa terbabit pihaknya mengadakan sesi perjumpaan dengan semua Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Daerah Seberang Prai Utara dan hasilnya sepakat untuk menggerakkan jentera bagi menghantar bantuan kepada mangsa terbabit.

“Selepas merujuk kepada Pegawai Perpaduan Daerah dan Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional (JPNIN), Pulau Pinang, program itu dipersetujui pihak jabatan dan kami meneruskan misi tersebut,” katanya.


Suzaini menyampaikan sumbngan pakaian kepada seorang mangsa banjir di KRT Kampung Batu13,Hulu Besut


Beliau berkata, pihaknya berjaya mengumpul dana sebanyak RM20,000 hasil sumbangan KRT Daerah Seberang Prai Utara, untuk pembelian pelbagai barangan keperluan kepada mangsa banjir.

“Alhamdulillah pimpinan KRT daerah tersebut bersatu hati dan sedia menyumbangkan kewangan untuk membentuk tabung bagi misi bantuan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Suzaini yang mengetuai skuad tersebut bangga kerana KRT menunjukkan contoh baik untuk membantu insan yang memerlukan bantuan ketika ditimba kesusahan dengan berpakat menyumbangkan kewangan dan barangan bagi membantu komuniti tampa mengira batas sempadan. - KitaReporters


Suzaini menyampaikan sumbangan kepada seorang mangsa banjir di Pasir Puteh, Kelantan

22
12
1
10
0
You will be interested