Insan & Komuniti 16 Jan, 2021

Terima kasih MyRaudah! 40 berkampung tiga hari di Temerloh! Aktiviti pembersihan pascabanjir!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this

SERAMAI 40 orang sukarelawan MyRaudah yang bepusat di Ibu negara Kuala Lumpur telah berkampung selama tiga hari  di Temerloh, Pahang dengan aktiviti pembersihan pascabanjir. Aktiviti pembersihan melibatkan beberapa buah kediaman, dua buah masjid dan sebuah wakaf di tanah perkuburan. : KitaReporters 



Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Temerloh:

https://kitareporters.com/search?search=temerloh


Sukarelawan MyRaudah bersama penduduk membersihkan sebuah masjid di Taman Sri Semantan dan sebuah wakaf di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja Songsang, selain menyampaikan sumbangan barangan kepada 12 keluarga yang terjejas akibat banjir di Kampung Bukit Tingkat.

Para sukarelawan MyRaudhah turut bergotong royong membersihkan sebuah masjid yang terletak di Kampong Kelola di Mukim Kampung Kelola yang merupakan masjid tertua ditubuhkan di tebing Sungai Pahang

Hadir sama dalam program ini Ahli Parlimen Jerantut, Dato' Ahmad Nazlan Idris serta Dato' Ruhaidini Abd Kadir selaku Pengasas MyRaudhah.



Ahmad Nazlan Idris 


Nazlan menzahirkan penghargaan kepada MyRaudhah di atas inisiatif dan usaha murni pertubuhan ini untuk misi pascabanjir bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir khususnya yang tinggal di kawasan pedalaman. 

"Saya amat berbangga dengan MyRaudhah yang sangat proaktif dengan mewajibkan semua sukarelawan yang terlibat untuk menjalani ujian saringan Covid 19 atau ujian swab sebelum turun padang bagi menyekat penularan wabak ini. 

"Cabaran sebenar bagi mangsa-mangsa banjir adalah aktiviti pascabanjir kerana beban kerja yang banyak dan kehadiran NGO amat dialu-alukan bagi meringankan beban mereka," tegasnya.



Nazlan turut menyarankan agar pihak kerajaan mengiktiraf usaha murni pihak NGO dari Zon merah yang ingin memberi bantuan atau sumbangan dengan memberikan kemudahan ujian saringan Covid-19 (ujian swab) secara percuma kepada mereka dengan menyediakan pusat sehenti di pintu-pintu masuk negeri bagi menyekat penularan wabak ini.

"Ujian saringan Covid-19 wajar diberikan secara percuma memandangkan NGO-NGO ini melakukan aktiviti kemasyarakatan dengan menyumbang tenaga dan wang ringgit tanpa mengharapkan sebarang ganjaran," katanya.

Tambah Nazlan, "inisiatif ini akan menjadi pemangkin kepada lebih ramai NGO untuk turun padang memberi bantuan di kawasan yang ditimpa bencana, sekali gus dapat mendidik semua pihak agar mematuhi SOP dan secara tidak langsung kita dapat bersama melandaikan lekuk Covid-19 di negara kita."



Sementara itu, Ruhaidini menzahirkan kesyukuran diatas pelancaran MyRaudhah yang disifatkan pertubuhan mesra masyarakat dan berharap agar lebih ramai badan-badan korporat dan orang perseorangan tampil memberi sumbangan bagi menjayakan altiviti kemasyarakatan sebegini.

Pada program membersihkan Masjid Kg Kelola, MyRaudhah turut menyampaikan pelbagai sumbangan berupa wang tunai, 5 unit water jet, telekung, sejadah dan beberapa barangan keperluan harian kepada Ahli Parlimen Jerantut.

Terdahulu, MyRaudhah menyambut baik saranan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menggalakkan petugas NGO atau orang perseorangan  membuat saringan COVID-19 atau ujian swab terlebih dahulu sebelum menjalankan program khidmat masyarakat di kawasan bencana bagi mengelakkan penularan wabak berkenaan. - KitaReporters


0
0
0
0
0
You will be interested