Insan & Komuniti 28 Feb, 2022

Shukor Saleh si Jeneral Padang! Kisah hidupnya dibiografikan! 11 tahun bersama Harimau Malaya!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

SHUKOR Saleh, legenda bola sepak negara pemenang pingat gangsa Sukan Asia Tehran 1974 dan layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980, menayangkan buku kisah hidup dan kariernya di Wisma FAM. - Foto FAM


KISAH hidup dan perjalanan karier legenda bola sepak negara, Datuk Shukor Saleh dibukukan dengan judul 'Datuk Shukor Saleh - Jeneral Padang'.

Majlis pelancaran rasminya dilakukan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor pada 25 Februari 2022. 

Turut hadir ialah Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan biografi

AHMAD Faizal Azumu dan Yusoff Mahadi (dua dan tiga dari kiri) membelek buku 'Datuk Shukor Saleh - Jeneral Padang'. Kiri dan kanan ialah pengarang buku, Zaibidi Sultan dan Shukor Saleh. - Foto FAM


Shukor, 74, atau nama sebenarnya, Abdul Shukor Saleh juga terkenal kerana menganggotai skuad pemenang pingat gangsa Sukan Asia Tehran 1974 dan membantu pasukan negara layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980

Juga tampil memberikan sokongan atas kelahiran buku karangan Zaibidi Sultan yang setebal 190 muka surat dan berharga RM160 ini ialah bekas rakan sepasukan negara, Bakri Ibni, Datuk Abdah Alif, Abd. Rahim Abdullah, Reduan Abdullah dan Datuk N. Thanabalan.  



Buku biografi ini diterbitkan oleh Legasi Legenda Sdn. Bhd. yang menurut Faizal, "relevan dalam memberikan pencerahan kepada atlet-atlet hari ini terhadap pengorbanan yang dilakukan oleh generasi terdahulu. 

"Cabaran seorang pemain muda hari ini tentunya jauh berbeza dengan apa yang dilalui Shukor dan rakan-rakan seangkatannya tiga atau empat dekad lalu, mesti ada elemen teras yang relevan sepanjang zaman seperti disiplin, komitmen, etika kerja dan bakat serta sikap yang betul," katanya dalam siaran media. 



Kata Zaibidi yang juga penerbit Legasi Legenda, "saya mengambil masa hampir empat tahun untuk mengumpul gambar dan menemu bual individu-individu yang relevan dalam hidup Shukor bagi berkongsi kisah-kisah di balik tabir legenda kelahiran Tanjung Bungah, Pulau Pinang ini. 

"Shukor dipilih berpandukan penampilannya bersama pasukan kebangsaan lebih 10 tahun yang bermula dengan Piala Raja Thailand pada 1970 sehingga Kelayakan Piala Dunia 1981. Beliau juga telah dimasyhurkan sebagai Ahli Kelab Seabad Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA)

"Saya melaburkan lebih RM200,000 untuk merealitikan buku ini. Inilah edisi sulung atau sepak mula siri legenda yang diterbitkan kami bagi menyelami dan berkongsi semangat, iltizam, pahit jerih dan pengorbanan seorang insan di sebalik nama besar yang menangkap imaginasi peminat sukan negara," katanya.


AHMAD Faizal Azumu dan Yusoff Mahadi (dua dan tiga dari kiri) menunjukkan isyarat bagus. Shukor Saleh (tiga dari kanan) di samping (dari kiri) Bakri Ibni, Abdah Alif, Reduan Abdullah, Zaibidi Sultan, N. Thanabalan dan Abd. Rahim Abdullah. - Foto FAM


Bukan sekadar bola sepak menurut Zaibidi, terdapat atlet-atlet sukan sepak takraw, olahraga, badminton dan renang negara yang kini meniti mindanya untuk turut dibiografikan.  

Legasi Legenda juga katanya, sedang berusaha keras untuk membina Muzium Sukan Negara dan Muzium Bola Sepak Harimau Malaya sebagai satu legasi buat tatapan para peminat

Legasi kata Zaibidi, turut berharap dapat menjalin kerjasama merealisasikan wawasan itu dengan Kementerian Belia dan Sukan dan FAM. 

Legasi Legenda ditubuhkan pada 2017 yang bermatlamat mengumpul dan memelihara warisan sukan negara menerusi penyimpanan dan pengumpulan arkib dan koleksi bahan terkini para atlet negara. - KitaReporters


SHUKOR (depan, empat dari kiri) anggota skuad negara yang layak ke Sukan Olimpik 1980. 


Biodata Abdul Shukor Saleh:

Tarikh lahir: 4 Disember 1948

Asal: Tanjung Bungah, Pulau Pinang
Isteri: Datin Roziah Arshad
Anak: Mohd. Shiraj, Shafinaz, Mohd. Shahir dan Shafawati

Posisi: Perantara

Pasukan: Pulau Pinang (1965-1984), Malaysia (1970-1981)

Penampilan antarabangsa: 215

Pencapaian: Piala Malaysia 1974, Piala Agha Khan Bangladesh 1974, pingat gangsa Sukan Asia 1974, Pestabola Merdeka 1973, 1974, 1976 dan 1979, Piala Raja Thailand 1978, pingat emas Sukan SEA Jakarta 1979, Olahragawan Kebangsaan 1977, Ahli Kelab Seabad Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 1999, Ahli Kelab Seabad FIFA 2021 


s

11
17
0
13
0
You will be interested