KREDIBILITINYA sebagai pelukis karikatur tidak harus diragui. Beliau adalah antara tenaga penting yang menghasilkan karikatur bagi siri animasi TV seperti Anak-Anak Sidek, Keluang Man dan Badang yang kesemuanya merupakan siri TV popular suatu ketika dahulu. - KitaReporters
PENULIS (kiri) bersama pelukis karikatur, Zamri Mohd Yusof di Bukit Bendera, Pulau Pinang.
Ketika itu pejabat beliau di Kuala Lumpur.
Kini Zamri Mohd Yusof, 52, masih aktif dengan kerjayanya sebagai pelukis karikatur.
Kampung halamannya di Pekan, Pahang. Namun kebanyakan harinya dihabiskan di puncak Bukit Bendera, Pulau Pinang.
Di puncak bukit inilah beliau berkarya melukis karikatur para pengunjung serta pelancong yang ingin mengabadikan wajah di atas kertas putih.
Zamri bukan sahaja mampu mencoret karikatur berdasarkan subjek yang ada di hadapannya, tetapi juga dengan bersandarkan gambar yang diberi, termasuk gambar dalam telefon bimbit.
ZAMRI tekun melakar karikatur yang lokasinya di kawasan siar kaki Bukit Bendera, Pulau Pinang.
Ketika penulis bertemu dengan beliau di Bukit Bendera pada Sabtu 18 Julai 2020 lalu, Zamri sedang sibuk melukis karikatur pelanggan yang ramai menunggu giliran.
Penulis sendiri kemudian turut menunggu dalam barisan. Apabila tiba giliran penulis, sambil beliau melukis, penulis mengambil kesempatan berbual.
Zamri memberitahu, beliau memang telah lama melibatkan diri dalam seni lukis karikatur yang sangat diminatinya.
Jika dahulu beliau banyak melibatkan diri dalam lukisan karikatur untuk siri TV, kini lebih banyak tertumpu kepada lukisan karikatur berbentuk still dengan lokasi utama beliau ialah di Bukit Bendera.
Menurutnya, sebelum ini beliau memang pergi ke merata-rata tempat untuk berkarya tetapi kini Bukit Bendera bagai menjadi lokasi tetap.
Beliau menyifatkan sebagai sudah puas pergi merata-rata dan kini lebih selesa bertumpu kepada satu tempat.
Mengenai jauhnya mengembara dari Pekan untuk berkarya di Pulau Pinang, Zamri memberitahu, beliau dan keluarga tidak berhasrat berpindah dari Pekan.
Beliau mempunyai sebuah rumah lain di Pulau Pinang untuk tempat tinggal dan pulang ke Pekan pada masa-masa tertentu.
ZAMRI (kiri) menunjukkan hasil lukisan karikatur di Bukit Bendera.
Mengenai bakat melukis yang dimiliknya, Zamri memberitahu, beliau tidak mendapat pendidikan formal dalam bidang lukisan dari mana-mana kolej atau institusi pengajian tinggi.
“Asas melukis adalah bakat. Jika ada bakat dan rajin memupuk bakat tersebut lama kelamaan kita akan mahir.
“Begitu juga dengan saya. Saya tidak mendapat latihan formal dalam seni lukis. Semua adalah berteraskan bakat sendiri,” kata beliau yang peramah.
Dengan bakat dan kemahiran inilah juga Zamri berupaya menzahirkan karikatur untuk siri TV, sesuatu yang bukan mudah kerana ketika itu masih belum ada teknik 3D seperti sekarang.
Setiap karikatur animasi perlu dilukis secara frame by frame yang memang mencabar.
Kemahiran ini juga membolehkan beliau melukis karikatur untuk pelanggannya di Bukit Bendera dengan kadar segera.
Ini sangat penting kerana sering kali ramai pelanggan menunggu giliran. Kerana itu karikatur perlu segera disiapkan.
ZAMRI menumpukan perhatian kepada lakaran untuk menghasilkan karikatur yang bermutu.
Penulis kagum dengan kemahiran tangannya menari-nari dan melakar karikatur di atas kertas sambil mata memandang kepada subjek, kemudian beralih kepada kertas putih dan begitulah seterusnya sehingga lukisan siap. Lakarannya memang hebat... memang menarik.
Kadar masa menyiapkan lukisan bergantung kepada subjek.
Jika subjek hanya seorang, masa diambil lebih cepat. Jika lebih daripada seorang akan mengambil masa lebih sedikit. Namun biasanya dalam 15 hingga 20 minit lukisan siap.
Harga yang dikenakan bagi setiap lukisan pula sangat munasabah. Untuk seorang, bayarannya hanya RM10 bagi hitam putih. Bagi karikatur berwarna bayarannya RM30.
Tetapi jika lebih daripada seorang untuk dilukis secara bersama, bayaran adalah mengikut jumlah orang yang dilukis.
Misalnya jika dua orang, maka bayarannya ialah RM20 bagi hitam putih.
Jika anda berkunjung ke Bukit Bendera dan ingin wajah diabadikan dalam lukisan karikatur, bolehlah mendapatkan khidmat Zamri.
Lokasi beliau ialah di siar kaki yang menjadi laluan para pengunjung di Bukit Bendera, tidak jauh dari Balai Polis Bukit Bendera.
Jika ada ingin mengabadikan karikatur ahli keluarga atau rakan-rakan tetapi mereka sendiri tidak datang bersama, jangan bimbang. Tunjukkan sahaja gambar mereka dan Zamri akan melakarnya untuk anda.
Anda pasti berpuas hati!! - KitaReporters
LAKARAN menarik hasil gubahan tangan Zamri Mohd Yusof.
ENDS.