BEBERAPA lagi dari sekarang kita akan menyambut bulan Ramadan dan sudah pasti, bagi umat Islam, kebiasaannya pelbagai persiapan akan dilakukan untuk menyambut bulan Ramadan termasuk ke bazar Ramadan. Tidak kurang juga bagi sesetengah masyarakat yang melakukan persiapan Ramadan termasuk kelengkapan Hari Raya Aidilfitri sekali gus. : KitaReporters
Abang Gee beletiaq mengenai persiapan hari raya. - Kredit: FB Mohd Fauzi Yusoff
Tetapi untuk tahun ini, sudah pasti kemeriahan itu tidak akan terasa seperti tahun-tahun sebelum ini apabila kini sedang berhadapan satu masalah kesihatan COVID-19 yang begitu serius.
Kemungkinan besar juga kita akan menyambut bulan Ramadan dan hari raya secara kecil-kecilan atau hanya sambut di rumah sahaja jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini disambung ke fasa berikutnya.
Video yang dimuat naik oleh Mohd Fauzi Yusoff atau lebih dikenali dengan Abang Gee dalam media sosial miliknya itu memaparkan beliau menjawab soalan yang diaju mengenai persiapan baju hari raya.
Apa yang menarik perhatian serta mencuit hati para penonton adalah cara beliau membalas pertanyaan itu dengan leteran loghat utara.
Dapat disaksikan begitu laju cara Abang Gee bercakap atau orang utara berkata, cara beliau 'beletiaq' (berleter).
Banyak terhibur dan ada yang menyamakan cara beliau beletiaq itu seperti penyanyi rap, kereta api laju atau mesingan.
Bukan itu sahaja, pengikut Abang Gee juga seakan-akan bersimpati pada orang yang bertanya soalan itu dan ternyata menjadi satu kesilapan besar.
Namun begitu, apa yang diperkatakan oleh Abang Gee dalam video yang berdurasi 1 minit 20 saat itu adalah benar.
Katanya, ketika ini kita harus bersabar dan berdoa agar COVID-19 akan hilang dan jangan keluar sesuka hati. Malah, kita juga harus berjimat serta berbelanja untuk perkara yang penting sahaja dan mengenai baju raya pula, kita boleh guna yang sebelum ini.
Tambahnya, jika kita boleh beraya sekali pun, kita tidak boleh berkumpul beramai-ramai kerana ia akan beri bahaya kepada golongan tua terutama mereka yang mempunyai sakit serius seperti kencing manis.
Biarpun leteran Abang Gee itu seperti Usain Bolt berlari ketika memenangi pingat emas 100 meter di Sukan Olimpik dahulu, mereka bersetuju dengan apa yang diperkatakan oleh beliau. - KitaReporters
Kita berdoa agar COVID-19 ini dapat dihapuskan dan pihak kerajaan akan jumpa satu solusi yang terbaik bagi menanggani masalah ini.
Untuk mencapai kejayaan, kita harus bersatu semangat serta jiwa menentang COVID-19 ini. Dan untuk itu, sila duduk di rumah. - KitaReporters