Insan & Komuniti 18 May, 2020

Dulu kerja bawa pelancong! PKP: Buat kerja amal di kampung!

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi. email:[email protected]

Share this

ALUMNI Universiti Utara Malaysia (UUM) Muhammad Syukhri Shafee, 29, yang bertugas sebagai pemandu pelancong di Asia Timur sejak 2016, kini terpaksa menumpukan kerja-kerja kemasyarakatan di kampungnya sejak wabak COVID-19 melanda dunia, sekali gus membekukan segala bentuk industri penerbangan dan pelancongan antarabangsa. : KitaReporters

Muhammad Syukhri Shafee (kanan sekali) ditugaskan membawa pelajar sekolah rendah di kawasan Kyoto, Jepun.


Petugas secara solo di negara Asia Timur ini dipertanggungjawabkan untuk membawa pelancong terutama di Jepun dan Korea.

"Dengan berbekalkan ilmu yang saya pelajari mengenai adat resam, budaya, disiplin masyarakat Jepun, maka saya ditugaskan untuk membawa pelancong dari seluruh dunia oleh sebuah syarikat pelancongan di sana," katanya ketika dihubungi.

Sepanjang di perantauan Syukhri terus mempelajari pelbagai bahasa antaranya Inggeris, Jepun, Korea, Jawa, Mandarin dan beberapa bahasa lain.

Pepatah hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri mengerakkannya untuk selalu mempromosikan Malaysia kepada pelancong yang dibawanya.

Bersama rakyat Malaysia di Arashiyama, Kyoto, Jepun


Muhammad Syukhrie (kiri) bersama pelancong dari China.


Bekas pensyarah kolej swasta dan guru sambilan Sekolah Kebangsaan Telok Panglima Garang ini bertuah kerana usahanya memperkenalkan negara kelahirannya mendapat kepercayaan dari syarikat pelancongan tempat bertugasnya itu.

Melalui perkenalan kumpulan yang dibawanya, maka syarikat tempat dia bekerja menawarkan pula pelancongan ke Malaysia seterusnya membolehkan Syukhri terbang ke kampung halamannya di Selangor.

"Saya amat gembira kerana berjaya mempengaruhi pelancong yang bersama saya ketika itu dari Jepun, Korea, China dan negara-negara Arab untuk menyertai pakej ke Selangor terutamanya," sambung beliau lagi.

Beberapa pengisian diatur kepada pelancong dari negara-negara yang dibawanya itu termasuk memperkenalkan tempat menarik dan juga mengatur aktiviti bersama pelajar sekolah di kawasannya.

Membawa pelancong Jepun merentasi Hutan Paya Bakau, Kampung Sijangkang, Selangor.


Membabitkan penyertaan pelancong Jepun di festival Bon Odori di Shah Alam, Selangor.


Namun sejak COVID-19 melanda dan Perintah Kawalan Pengerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (Bersyarat) diumumkan oleh kerajaan, maka tumpuannya beralih ke program kemasyarakatan terutama bagi membantu mereka yang memerlukan sumbangan sepanjang PKPB dan Ramadan ini.

"Sumbangan dari orang ramai memberi semangat kepada kumpulan saya untuk terus bergerak memastikan mereka yang kurang berkemampuan diberi sumbangan, walaupun tidak seberapa tetapi cukup bagi meringankan beban keluarga mereka," sambungnya lagi.

Menyampaikan sumbangan kepada penduduk Sijangkang.


Sehubungan itu, Syukhri berharap COVID-19 ini akan cepat berakhir dan menasihatkan rakan-rakan lain agar mematangkan diri untuk menjadi lebih kuat dan terbuka minda ketika berada dalam zon kurang selesa ini.

"Teruskan usaha untuk meneruskan liku-liku kehidupan ini terutama dalam aktiviti ekonomi, kemasyarakatan, pendidikan dan pembinaan keluarga kerana yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang," tegasnya. - KitaReporters

Bersama penduduk kampung yang menyampaikan sumbangan Ihya Ramadan.

15
4
0
0
0
You will be interested