UNIVERSITI Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berharap 12 pelajarnya yang baru pulang dari Thailand selepas mengharungi perjalanan dari Chiang Mai selama hampir 43 jam adalah bebas daripada wabak penyakit Koronavirus-2019 (COVID-19), selamat menjalani tempoh kuarantin dan kemudian dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga tersayang. : KitaReporters
Pintu masuk UniSZA Kampus Besut dikawal rapi
Dalam satu entri dalam akaun Facebook @HEPA UNISZA, pihak Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniSZA berkata:
"Alhamdulillah.. 12 orang pelajar FBIM UniSZA yang menjalani latihan industri di Chiang Mai, Thailand selamat sampai ke Malaysia.
"Mereka akan dikuarantin selama 14 hari di Kuala Lumpur sebelum dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.
"Marilah kita berdoa semoga mereka semua bebas dari penyakit dan berjaya mengharungi tempoh kuarantin."
Terdahulu, ekoran kebimbangan berhubung keadaan tidak menentu berikutan penularan wabak COVID-19 yang sedang menyerang negara Gajah Putih, sekumpulan pelajar UniSZA, Kampus Cawangan Besut, Terengganu sanggup mengharungi perjalanan yang meletihkan selama hampir 43 jam, sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada awal pagi Ahad, 5 April 2020. : KitaReporters
Pelajar terbabit sebelum ini sedang mengikuti latihan industri di kilang memproses makanan sekitar Chiang Mai,Thailand, sejak 19 Januari 2020, namun terpaksa menamatkan latihan lebih awal berikutan penularan wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan di negara berkenaan.
Kumpulan 12 pelajar terbabit dikatakan terpaksa menaiki dua van disewa dari Chiang Mai pada 7 pagi (waktu tempatan) Jumaat, 3 April 2020 dan tiba di Bangkok pada 4.30 petang hari yang sama.
Pada mulanya, mereka dijadual menaiki
pesawat khas Malaysia Airlines MH783 dari Bangkok ke KLIA pada Sabtu, 4 April 2020 pukul 5.50
petang (waktu tempatan), namun mengalami kelewatan dan hanya berlepas dari
Lapangan Terbang Suvarnabhumi pada 10.45 malam (waktu tempatan) dan tiba di
tanah air kira-kira 2 pagi (waktu Malaysia) Ahad, 5 April 2020.
“Walaupun perjalanan ini mengambil
masa agak lama, kami semua gembira dan bersyukur kerana dapat pulang ke
pangkuan keluarga masing-masing,” kata pelajar terbabit
Memetik laporan Bernama, Muhammad Izzat Azkwan Samudin, 22, pelajar tahun tiga bersama 11 rakan universitinya berkata sebaik tiba di KLIA, mereka terus dibawa menggunakan bas ke pusat kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia bagi menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Kompleks UniSZA Kampung Cawangan Besut,Terengganu
Kumpulan pelajar itu merupakan antara 114 rakyat Malaysia yang menuntut dan bertugas di Thailand yang menaiki pesawat khas Malaysia Airlines pulang ke tanah air, berikutan kebanyakan syarikat penerbangan membatalkan sementara penerbangan berikutan pandemik COVID-19.
Duta Malaysia ke Thailand, Datuk
Jojie Samuel turut hadir bertemu rakyat Malaysia itu yang bertolak pulang ke
tanah air
Bangunan pentadbiran UniSZA Besut
Ketika ini, kerajaan Thailand mengisytiharkan darurat di seluruh negara dari 26 Mac hingga 30 April 2020, untuk mengekang penularan COVID-19.
Di bawah dekri darurat, semua pusat
beli-belah, pusat hiburan dan venue sukan yang menarik tumpuan ramai diarah
tutup, manakala pasar raya yang menjual makanan dan barang keperluan harian,
farmasi dan kedai serbaneka boleh dibuka.
Semua institusi pendidikan termasuk sekolah tempatan dan antarabangsa, universiti serta pusat tuisyen di Thailand diarahkan tutup.
Restoran dan kafe dibenarkan dibuka dengan hanya menawarkan makanan untuk dibungkus dan perkhidmatan penghantaran sahaja. - KitaReporters