MENERIMA berita kehamilan bagi pasangan yang baru membina mahligai pasti menjadi perkhabaran indah dan tidak sabar menunggu detik kelahiran.
Walaupun belum tahu lagi kandungan si ibu selamat dan anak yang dikandung sihat, semestinya pasangan akan setia bersamanya dan berterusan memberi sokongan terhadap isterinya.
Lagi kisah menarik berkaitan kelahiran anak istimewa
Berbeza pula kisah di Mesir apabila seorang suami yang tidak dapat menerima dikurniakan dengan seorang anak istimewa bertindak menyaman isterinya sendiri.
Semuanya dilakukan kerana teman sebantal itu melahirkan anak perempuan yang mengalami masalah sindrom Down.
Kejadian berlaku pada Februari 2022 lepas dan menjadi tular dalam media sosial di atas sikap tidak perikemanusiaan lelaki berkenaan yang tergamak bertindak sedemikian kepada isterinya.
Memetik laporan middleaestmonitor.com, Ghada Al-Ahsi mengakui dia sangat terkejut dengan tuntutan terhadapnya yang diberikan oleh suaminya sendiri.
Bagaimanapun sebuah mahkamah di Kaherah yang mendengar kes itu memutuskan untuk menolak tuntutan daripada suaminya dan memberikan keadilan kepada wanita berkenaan.
Ghada berkata, suaminya menuntut kewangan dan pembatalan kontrak perkahwinan mereka selepas dia bersalin.
“Semua berlaku selepas saya melahirkan anak perempuan kami, Sidra, yang menghidap sindrom Down dan meninggal dunia tidak lama selepas kelahirannya,” katanya.
Ghada berkata, suaminya mendakwa mengalami ‘penderaan psikologi’ akibat kejadian itu.
Malah, suaminya mendakwa, Ghada telah ‘menipunya’ dan menyembunyikan perkara berkenaan kepadanya dan menganggap wanita cekal itu tahu tentang kesihatan anaknya sebelum melahirkan bayi istimewa berkenaan.
“Suami memberitahu mahkamah bahawa dia ‘didera secara psikologi dan kewangan oleh perkahwinan itu,” kata wanita berkenaan.
Bagaimanapun nasib menyebelahi Ghada apabila mahkamah akhirnya memutuskan memihak kepada Ghada. –KitaReporters