Insan & Komuniti 17 Dec, 2020

Namat sudah tiada! Perginya lagi wira Olimpik Munich 1972!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

SEORANG bek kanan yang hebat. Hanya tendangan dan tandukan deras, mampu menewaskannya,” kata pengurus pasukan kelab gergasi England, Arsenal, (mendiang) Bertram 'Bertie' Mee pada 11 Mei 1975. Kata sanjungan itu diluahkannya dalam sidang akhbar selepas perlawanan persahabatan yang dimenangi Malaysia 2-0 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur dan tersiar pada majalah Dunia Sukan terbitan Kumpulan Utusan. : KitaReporters


NAMAT Abdullah menjulang piala Pestabola Merdeka 1974 dengan Shaharudin (menunduk) sambil dipegang oleh Datuk Soh Chin Aun (belakangnya). 


Lagi kisah-kisah berkaitan Olimpik Munich:

https://kitareporters.com/search?search=olimpik+munich


Sasaran ulasan Mee itu ialah ketua pasukan negara, Allahyarham Datuk Namat Abdullah, bek kanan yang hanya bertaraf amatur tetapi pernah beraksi pada Sukan Olimpik Munich 1972 - penampilan sulung dan bersejarah bersama 18 rakan sepasukan Malaysia dalam temasya terbesar dunia itu.

Menurut Bertie, ciri-ciri fizikal dan permainan bekas Sub Inspektor Jabatan Penjara Malaysia ini juga mirip bintang England, Jackie Charlton terutama apabila menyudahkan sepakan bebas dengan gol jarak jauh.

Namat menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira pukul 5.30 petang hari ini, Khamis 17 Disember 2020 pada usia 74 tahun di kediaman anaknya, Taman Larah Aman, Kamunting, Perak.


NAMAT Abdullah dalam kenangan.


Jenazahnya dilaporkan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Petani pada sebelah pagi sebelum solat Jumaat, 18 Disember 2020. 

Allahyarham meninggalkan seorang balu - Datin Mahani Sulaiman, tujuh anak, 17 cucu dan seorang cicit.

Anak jati Butterworth, Pulau Pinang pada 30 Mac 1946, sebelumnya dilaporkan menghidap barah usus dan angin ahmar malah pernah menjalani pembedahan ostomy bag di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani pada Mac 2020.

Abang kepada penyerang skuad Olimpik 1972, Shaharudin Abdullah ini mengharungi ketiga-tiga perlawanan di Munich dan Ingolstadt, Jerman Barat. Malaysia mengalahkan Amerika Syarikat 3-0, namun gagal melangkah ke pusingan kedua selepas dikalahkan hos 3-0 dan Maghribi 6-0 ketika hanya memerlukan sekurang-kurangnya satu mata lagi.

Namat mengambil alih lilitan kapten Malaysia daripada mendiang Datuk M. Chandran lalu memimpin skuad negara menjuarai Pestabola Merdeka 1974 selepas menewaskan Korea Selatan 1-0 di Stadium Perak, Ipoh selain memenangi Piala Raja Thailand 1972 dengan menjinakkan tuan rumah 1-0 hasil jaringan Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari.

Tahun 1974 juga merakamkan satu lagi detik kemuncak karier bola sepaknya apabila meraih pingat gangsa Sukan Asia Tehran 1974  selepas menumpaskan Korea Utara 2-1 menerusi dua gol rakan senegeri, Allahyarham Isa Bakar Abu Bakar dalam perlawanan penentuan tempat ketiga di Stadium Aryamehr. 


NAMAT (berdiri, kiri) selaku kapten Malaysia yang menewaskan Arsenal 2-0 di Kuala Lumpur dan seri 1-1 di Pulau Pinang pada 1975.


Turut berada dalam kabinet koleksi kejayaannya ialah pingat kejuaraan Piala Malaysia 1974 bersama Pulau Pinang selepas menumpaskan Perak 2-1 dan Piala FAM 1970, 1971 dan 1973 bersama kelab Penjara.

Menyarung jersi negara dari 1968 hingga 1975 manakala Pulau Pinang sejak Piala Burnley 1965 hingga 1976, Namat yang bermula sebagai penyerang Kelab Sukan Marines, Pulau Pinang juga terkenal dengan umpanan tepat ke tengah dan lontaran bola ke dalam sehingga ke kotak penalti.

Pestabola Merdeka 1973 pernah merakamkan jaringan cantiknya menerusi sepakan bebas lebih 30 meter yang memukau penjaga gol Burma malah ribuan penonton untuk membawa Malaysia ke perlawanan akhir, seterusnya muncul juara menewaskan Kuwait 3-1 dengan umpanannya mendorong gol tandukan Mokhtar.

Beliau, Shaharudin dan seorang lagi saudara mereka - bekas pemain Pulau Pinang, Ridzuan malah Idris dan Saad didedahkan dengan bola sepak sejak kanak-kanak lagi oleh bapa mereka, Abdullah Mohamad. 

Anggota lain skuad Olimpik 1972 yang telah meninggal dunia ialah Allahyarham Ali Bakar (2003), mendiang Wong Choon Wah (2014), Allahyarham Othman Abdullah (2015), Allahyarham Wan Zawawi Wan Yusoff (2017).

Lain-lain termasuk Chandran (2019), Allahyarham Salleh Ibrahim (8 Mac 2020), mendiang V. Krishnasamy (2 Ogos 2020) dan Allahyarham Datuk Mohamad Bakar (8 November 2020).

Turut telah pergi selama-lamanya ialah jurulatih pasukan itu, Allahyarham Jalil Che Din (1992), pengurus dan penolong pengurus, Allahyarham Datuk Harun Idris (2003) dan mendiang Datuk P. Peter Velappan (2018).


NAMAT Abdullah sebelum ini hanya mampu berkerusi roda akibat menghidap angin ahmar dan barah usus. - Kredit foto FB FAM.


NAMAT (kiri) ketika perbualan video dalam talian dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin pada 5 November 2020 lalu. - Kredit foto FB FAM. 

0
1
1
0
0
You will be interested