MENGINSAFI derita keperitan yang terpaksa dialami mangsa-mangsa banjir luar biasa di beberapa kawasan negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung baru-baru ini telah mendorong pelbagai pihak termasuk badan-badan NGO mahupun agensi kerajaan serta orang perseorangan berusaha membantu mereka yang terlibat. : KitaReporters
Banner Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor anjuran Jabatan Agama Islam Selangor untuk dana bantuan khas masjid,surau dan mangsa banjir di Pahang. - Kredit foto-foto: FB JAIS.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan banjir:
https://kitareporters.com/search?search=banjir
Melalui inisiatif yang diambil semata-mata bertujuan meringankan beban untuk membolehkan mereka terlibat kembali menjalani kehidupan seperti biasa, sekalipun terpaksa dalam keadaan serba kekurangan.
Menyedari dengan keadaan 'berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul' Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) antara salah sebuah organisasi kerajaan di Selangor turut terpanggil untuk sama-sama menyelami derita kepayahan yang terpaksa dilalui mangsa-mangsa terjejas akibat bencana yang telah berlaku.
Para petugas misi bantuan banjir Jabatan Agama Islam Selangor yang diketuai Hashim Muhamad (dua dari kanan) bersama barangan sumbangan untuk masjid, surau dan penduduk terjejas di sekitar Temerloh, Pahang.
Malahan melalui prinsip ukhuwah dan persaudaraan sesama insan seagama yang mendalam serta kesedaran pihak JAIS telah menggerakkan Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) bagi mengutip dana bantuan pascabanjir supaya sumbangan kepada mereka terjejas akibat fenomena berkenaan dapat diadakan.
Hasilnya TIJARI yang digerakkan selama lima hari antara Jumaat 8 Januari hingga Ahad 11 Januari 2021 bersama Bahagian Masjid Pengurusan, Masjid Kariah dan Surau Negeri Selangor JAIS mendapat sambutan menggalakkan hingga terkumpulnya dana bagi membiayai kos barangan bantuan.
Untuk permulaan, misi sumbangan bantuan pihak JAIS menumpukan Daerah Temerloh yang merupakan antara kawasan terjejas teruk dengan kesan banjir di Pahang.
Melalui dana orang ramai JAIS menumpukan pembelian barangan peralatan kelengkapan untuk aktiviti pembersihan masjid dan surau serta bahan-bahan peralatan asas ibadah yang lain.
Barangan bantuan banjir untuk masjid, surau dan penduduk dalam misi bantuan Jabatan Agama Islam Selangor untuk dihantar ke Masjid Sultan Ahmad Shah, Temerloh, Pahang.
Manakala untuk bantuan kepada penduduk yang disalurkan berbentuk keperluan harian termasuk pakaian kanak-kanak, pakaian dalaman dewasa, peralatan elektrik, kelengkapan keperluan dapur, susu bayi, lampin pakai buang ,pakaian, beg sekolah dan pelbagai.
Sumbangan bantuan berkenaan berlangsung di Masjid Sultan Ahmad Shah, Temerloh dalam suasana ringkas dengan semangat persaudaraan, menurut paparan media sosial JAIS pada Selasa 12 Januari 2021.
Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Masjid JAIS, Hashim Muhamad menyerahkan sumbangan barangan bantuan kepada Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Nizam Abdul Manan pada majlis berkenaan.
Dalam konteks ini pihak JAIS berterima kasih kepada JAIP yang memberikan kerjasama membantu misi penyampaian barangan bantuan terutama dalam mengenal pasti keperluan semasa masyarakat setempat yang terjejas akibat banjir kali ini.
Selain itu termasuk juga mengenal pasti keperluan-keperluan institusi masjid dan surau yang rosak serta musnah perlukan bantuan pemulihan disebabkan oleh banjir.
Malahan menurut Hashim, penghantaran barangan bantuan perlu disegerakan kepada keadaan cuaca yang masih tidak menentu selain kekangan pelaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Pahang, di samping keperluan mendesak mangsa-mangsa banjir ketika ini.
Beliau memberitahu, pihak JAIS melalui TIJARI insya-Allah akan terus menyalurkan bantuan yang termampu berdasarkan dana sumbangan diterima daripada orang ramai.
Pihak JAIS, katanya,mengucapkan terima kasih kepada para penyumbang yang sentiasa prihatin membantu meringankan beban penduduk terlibat terjejas banjir bagi membolehkan mereka memulihkan kembali kehidupan harian.
Menurutnya, semoga prinsip kesatuan dan khairat ummah dalam kalangan masyarakat Islam terutama di Selangor dapat diterjemah melalui misi bantuan kemanusian ini.
"Dengan misi ini Negeri Selangor dan para penyumbang sentiasa dalam keadaan selamat dan diberikan pelindungan dari pelbagai bencana khususnya COVID-19 serta diberkati," ujarnya.
Sebahagian kelengkapan dapur untuk memasak merupakan antara barangan bantuan sumbangan Jabatan Agama islam Selangor kepada penduduk terjejas banjir disekitar Temerloh.
Sementara itu, Pengarah JAIS, Dato' Mohd Shahzihan Ahmad dalam satu kenyataan meminta mana-mana masjid atau surau di Selangor yang ingin mengadakan misi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir perlu terlebih dahulu memohon kebenaran kepada Bahagian Pengurusan Masjid JAIS.
Katanya, langkah itu diambil supaya penyelarasan bantuan dapat dilakukan di samping mengelakkan manipulasi pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.
Beliau berharap semangat misi bantuan yang hendak disalurkan juga perlu diseimbangkan dengan pengawalan pandemik COVID-19 yang membimbangkan ketika gelombang ketiga ini supaya kedua-dua matlamat dijalankan tercapai dengan berkesan.
Sumbangan bantuan pascabanjir yang ingin dibuat oleh pihak pengurusan masjid dan surau di Selangor perlu mendapat kebenaran rasmi Pejabat Agama Islam Daerah masing-masing.
Pihak JAIS menyediakan mekanisme kutipan dana untuk misi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir melalui TIJARI dan sumbangan boleh disalurkan pada nombor akaun Maybank 562106718620. - KitaReporters
Tiga petugas Jabatan Agama Islam Selangor memunggah barangan keperluan asas untuk dihantar ke[ada penduduk yang terjejas akibat banjir di Temerloh, Pahang. Sumbangan barangan berkenaan melalui dana orang ramai yang disalurkan melalui Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor.