LAZIMNYA bagi pasangan baharu akan berbulan madu sebagai momen yang akan dikenang sampai mati. Bercuti bersama mengabadikan kisah cinta bersama selepas sah menjadi ikatan suci!
Namun berbeza dengan pasangan baharu dari Ukraine ini pula yang baru beberapa jam melangsungkan perkahwinan terus menukar uniform dan memegang raifal bagi menyertai misi mempertahan tanah air mereka selepas negaranya diserang oleh Rusia sejak minggu lalu.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan perkahwinan
Bagi Yaryna Arieva dan Sviatoslav Fursin, hal itu akan dikenang sampai bila-bila kerana tidak seperti pasangan baharu yang lain.
Malah bagi Arieva, gadis ayu yang berusia 21 tahun itu dia tidak kisah status yang dipegang itu tidak disambut dengan bulan madu atau percutian indah seperti pasangan lain kerana keutamaannya pada masa ini adalah mahu mempertahankan tanah airnya.
Lebih membanggakan, pasangan baharu itu menganggap penyertaan mereka dalam misi negara sebagai pasukan mempertahankan negara itu sebagai bulan madu kepada mereka, yang semata-mata demi cintakan tanah air sendiri.
Pasangan tersebut mendedahkan mereka sepatutnya berkahwin dalam tempoh tiga bulan lagi iaitu Mei 2022 namun ibu bapa perempuan memberi keizinan untuk mempercepatkan tarikh untuk mengikat kisah cinta tersebut pada minggu lalu memandangkan keadaan negara semakin tidak stabil.
“Kami menghabiskan detik ‘bulan madu’ dengan mengangkat senjata untuk melawan tentera Rusia,” tegas pasangan itu yang turut memakai jaket ‘camouflage’ sambil masing-masing memegang selaras raifal.
Keadaan di Ukraine semakin kritikal selepas ratusan orang awam menjadi mangsa peperangan. Keadaan tersebut mendorong pasangan baharu itu menyahut cabaran dan mempertahankan negaranya.
Menurut Arieva yang berasal dari Kiev, situasi di ibu kota tersebut adalah realiti baharu yang perlu dihadapi rakyat negara itu.
Kongsinya, keadaan tidak lagi seperti tahun-tahun sebelum ini yang disambut penuh meriah dan aman.
Katanya menjadi kebiasaan kepada penduduk di negara akan menyemai bunga matahari yang merupakan bunga kebangsaan Ukraine pada awal musim bunga.
“Tiada sesiapa di sini yang menyatakan kami akan kalah. Kami percaya akan menang dalam perjuangan ini.
"Ramai penduduk tidak gentar untuk berjuang demi mempertahankan tanah air ini, malan bersedia untuk gugur di medan perang,” ujarnya lagi.
Sementara itu, suaminya, Fursin yang berasal di bandar barat Lviv menegaskan rakyat negara itu sentiasa mahukan kebebasan dan akan berjuang untuk mencapai matlamat tersebut.
“Saya akan melakukan apa sahaja untuk melindungi keluarga dan isteri saya,” jelasnya yang menyertai misi tempur sejak beberapa hari lalu.
Malah pasangan baharu itu menyimpan harapan supaya keadaan kembali seperti asal dan dia dapat berhimpun bersama keluarga meraikan perkahwinannya.
“Saya berharap masanya akan tiba apabila kami dapat berkumpul semula bersama rakan dan ahli keluarga. Pada masa itu, kami akan bersorak gembira kerana menang dalam perjuangan tersebut," ujarnya.
Bertabahlah sahabat! Semoga usahamu itu membawa kejayaan!. - KitaReporters