Insan & Komuniti 06 Nov, 2021

Terbaiklah CRSM Pahang, Marrybrown! Sumbang barangan makanan kepada penghuni rumah kebajikan!

@ainal marhaton abd ghani
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kewartawanan. Seorang penulis bebas dan penulis upahan (Ghostwriter). Bergiat aktif dalam dunia penulisan kreatif sejak 2019 dan menyertai puluhan projek antologi pelbagai genre daripada beberapa rumah penerbitan. emel: [email protected]

Share this


WABAK pandemik COVID-19 belum berakhir dan kesan daripada wabak 'halimunan' itu, ramai rakyat Malaysia terkesan.

Pelbagai pihak mengambil tanggungjawab bersama-sama membantu meringankan beban golongan terkesan tanpa mengira faktor agama, bangsa, kedudukan, pangkat mahu pun darjat. 

Tidak terkecuali Persatuan Bantuan Masyarakat Malaysia (CRSM) Cawangan Pahang dengan kerjasama restoran makanan segera, Marrybrown di Balok, Kuantan yang turun padang hulurkan bantuan makanan kepada dua rumah kebajikan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kebajikan


Ketua Pegawai Operasi Rumah Anak Yatim dan Miskin Permata Camar, Abdul Rahman Abdullah (kiri) menerima barangan makanan disampaikan K. Kharthigeyan.


CRSM Pahang menyerahkan bantuan barang makanan, manakala Marrybrown pula menyediakan set makanan tengah hari membabitkan peruntukan sebanyak RM3,000 kepada dua rumah kebajikan terlibat iaitu Rumah Anak Yatim dan Miskin Permata Camar serta Rumah Kanak-kanak Terencat Akal, Alor Akar, kedua-duanya di Kuantan, Pahang.

Pengerusi CRSM Cawangan Pahang, K Kharthigeyan, berkata sumbangan berkenaan diberikan kepada 50 penghuni di dua rumah kebajikan berkenaan bagi menceriakan mereka serta memastikan golongan berkenaan tidak beranggapan dipinggirkan masyarakat.

"Kuantan adalah daerah pertama dilaksanakan program ini dan selepas ini akan diikuti Jerantut, Temerloh, Bentong, Raub, Lipis dan Bera yang dijangka berakhir sebelum musim banjir.

"Kita harap sumbangan ini dapat disampaikan sepenuhnya kepada rumah kebajikan terpilih sebelum bermulanya musim tengkujuh.

"Kerjasama dengan golongan masyarakat setempat dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam menyalurkan bantuan ini amatlah dialu-alukan," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan mesra dan majlis penyerahan sumbangan di Permata Camar.


K. Kharthigeyan (kiri) menyampaikan bantuan makanan kepada Penyelia Rumah Kanak-kanak Terencat Akal, Alor Akar,  Che Salwah Hassan.


Tambah beliau, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu diadakan sebagai usaha membantu golongan yang memerlukan terutama mereka yang terkesan berikutan pandemik Covid-19.

"Kita memilih beberapa pusat kebajikan yang dikenal pasti memerlukan bantuan menerusi kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Lembaga Kemajuan Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) negeri.

"Untuk tahun depan pula, kita sudah merangka program peringkat komuniti di mana kita akan terus bekerjasama dengan agensi berkenaan dalam mengenal pasti keluarga yang perlukan bantuan sama ada khidmat kaunseling atau barangan keperluan," ujarnya.


Kehadiran maskot menceriakan lagi penghuni rumah kebajikan terlibat


Dalam perkembangan berkaitan, Kharthigeyan memaklumkan program bertemakan 'Keluarga Sihat Masyarakat Harmoni' itu akan diadakan di seluruh negeri bermula awal Januari depan.

"Kita akan memilih seramai 100 keluarga bagi setiap daerah untuk dibantu. Sebelum itu, kita akan mengadakan forum keluarga dan khidmat kaunseling bersama masyarakat dan agensi berkaitan. 

"Hanya keluarga yang benar-benar layak akan disenaraikan sebagai penerima bantuan," katanya. 

Jika anda prihatin dan berkemampuan, apa kata turut serta sebagai sukarelawan  CRSM bagi membantu mereka yang memerlukan bertepatan dengan slogan Komited Kepada Masyarakat! - KitaReporters


 K. Kharthigeyan (tiga dari kiri) bergambar kenangan bersama penghuni Rumah Kanak-kanak Terencat Akal, Alor Akar selepas penyerahan pek makanan dan sumbangan barangan keperluan di rumah kebajikan berkenaan.

13
11
0
13
0
You will be interested