Insan & Komuniti 12 Oct, 2020

Peningkatan COVID-19 di Selangor! Warga luar PKPB terkesan!

@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.

Share this
PERKEMBANGAN mutakhir peningkatan wabak pandemik COVID-19 di Selangor membimbangkan banyak pihak sekalipun hanya sebuah mukim (Mukim Klang) dalam daerah Klang terpaksa dikuatkuasakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi tempoh dua minggu bermula Jumaat 9 Oktober 2020 lalu hingga Jumaat 23 Oktober 2020 dengan melibatkan 36 lokaliti. : KitaReporters


Lagi cerita-cerita berkaitan Selangor:

https://kitareporters.com/search?search=selangor


Malahan berikutan gelombang ketiga wabak berbahaya ini yang semakin dirasakan agak serius beberapa instruman terkesan terpaksa dilalui masyarakat di dalam zon kuning di sekitar daerah Petaling dan Sepang kerana terdapat kes-kes tertentu individu yang didapati positif virus berbahaya ini.

Beginilah keadaan Bandar Diraja Klang Selatan kelihatan lengang berikutan penguatkuasaan PKPB di Mukim Klang. - Kredit foto: Media Selangor.

Sekurang-kurang dua buah masjid, sebuah pusat beli belah dan sebuah kelab golf di daerah Petaling dan Sepang sehingga Ahad 11 Oktober 2020 terpaksa ditutup berikutan adanya individu yang positif virus berkenaan atau mereka yang hadir ke tempat terlibat disahkan positif, selain penutupan surau, masjid, sekolah dan perbagai premis-premis tertentu yang terlibat dalam zon merah dan dikuatkuasakan di bawah PKPB.
Di daerah Petaling, sejumlah 1,310 orang jemaah yang menghadiri solat Jumaat di Masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz (LTSAAS) di Subang, Selangor pada 2 Oktober 2020 lalu telah diarahkan untuk menjalani saringan COVID-19 segera di klinik-klinik kesihatan dan hospital berhampiran berikutan salah seorang jemaah yang hadir dikesan positif virus berkenaan. 

Mohd. Shahizan Ahmad.

Sehubungan itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mengarahkan solat Jumaat dan fardu lima waktu serta aktiviti lain pengimarahan masjid berkenaan dihentikan buat sementara hingga diberitahu kelak.
Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad menurut laporan Bernama dalam satu kenyataannya akan membincangkan perkara berkenaan pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Penilaian dan Pengawasan Prosedur Operasi Standard (SOP) Masjid dan Surau yang dipengerusikan oleh beliau sendiri untuk tindakan lanjut mengenai kedudukan masjid berkenaan dalam masa terdekat.

Masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang, Selangor terpaksa ditutup hingga ke satu masa yang diberitahu berikutan seorang jemaah solat Jumaat pada 2 Oktober 2020 didapati positif virus COVID-19. - Kredit foto: Facebook Masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz.

Berikutan insiden ini, pihak JAIS menyeru semua jemaah yang hadir pada hari dan waktu berkenaan di Masjid LTSAS Subang tampil segera membuat pemeriksaan saringan diklinik kesihatan atau hospital dan sekiranya bergejala perlu melakukan kawalan kendiri dengan kuarantin di rumah masing-masing.
Pihak JAIS buat masa ini hanya membenarkan tiga orang petugas terdiri daripada pegawai atau ahli jawatankuasa masjid tersebut untuk melaungkan azan dan mengerjakan solat fardu lima waktu. Kerja-kerja pembersihan dan sanitasi kuman telah dilaksanakan oleh pihak pentadbiran masjid pada hari berikutnya setelah mengetahui ada antara jemaah yang hadir positif virus tersebut.
Di daerah Sepang pula, Masjid Jamek Sultan Hishamuddin terletak di Bandar Baru Salak Tinggi ditutup sejak Isnin 5 Oktober 2020 lalu selepas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Bahagian Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang hadir menyampaikan kuliah di masjid itu pada Sabtu 3 Oktober 2020 lalu didapati sah positif COVID-19 setelah menjalani saringan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Masjid Jamek Sultan Hishamuddin di Bandar Baru Salak Tinggi, Selangor ditutup sementara berikutan Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang disahkan positif COVID-19 mengadakan kuliahnya di masjid tersebut pada 3 Oktober 2020 lalu. - Kredit Foto: Facebook Masjid Jamek Sultan Hishamuddin.

Pengurusan masjid melalui laman sosial Facebooknya melahirkan dukacita dan meminta para jemaah yang hadir pada kuliah itu segera menjalani  saringan COVID-19 serta mendoakan semua terlibat sembuh daripada virus berkenaan. 

Sebelum ini, Dr Zulkifli telah mengadakan beberapa aktiviti sekitar Selangor selepas beliau pulang dari Sabah antaranya menyampaikan sumbangan kepada wakil mahasiswa di  Universiti Teknologi  Mara (UiTM) Shah Alam dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Program Musaadah, menghadiri majlis Pengijazahan Perubatan dan Pengubatan Darul Syiffa sesi 2020 serta perasmian buku Darul Quran di Kuala Kubu Baru dan menghadiri Majlis Tilawah dan Hafazan Quran Peringkat Kebangsaan di Hotel Geno Shah Alam.

Hari ini Ahad 11 Oktober 2020, pusat beli belah, One Utama di Bandar Utama Damansara dan sebuah kelab golf, Tropicana Golf & Country Resort, Tropicana di Petaling Jaya tutup operasi susulan penularan kes COVID-19 dalam kalangan kakitangan dan pengunjung.

Bandar Diraja Klang sepi daripada kenderaan lalu lalang berikutan penguatkuasaan PKPB di Mukim Klang. - Kredit Foto Majlis Keselamatan Negara, Negeri Selangor (MKNS)


Pengerusi,Jawatankuasa Bencana Daerah Petaling, Johary Anuar dalam satu kenyataan memberitahu, di One Utama, 4 kes positif melibatkan 3 pekerja dan seorang pengunjung, manakala 5 kes di Tropicana Golf Club & Country Resort melibatkan semua kakitangan kelab berkenaan.
Beliau yang juga Pegawai Daerah Petaling dalam konteks ini memohon kerjasama orang ramai yang mengunjungi kedua-dua tempat berkenaan tampil membuat saringan segera. 

Lebih-lebih bagi mereka yang mengunjungi Bahagian Kosmetik dan Wangian di Aras G Parkson Elit di antara 30 September hingga 7 Oktober 2020 dan di Mac City Aras 2 di antara 25 hingga 30 September 2020.

Tujuan penutupan kedua-dua tempat berkenaan untuk saringan semua kontak rapat dan aktiviti nyahkuman (disinfeksi). 

Pejabat Kesihatan Daerah Petaling akan melakukan saringan kesihatan mengenai COVID-19 pada Selasa 14 dan Rabu 15 Oktober 2020 bermula jam 9.00 pagi hingga 2.00 petang di One Utama.

Pusat beli belah One Utama di Bandar Utama, Damansara terpaksa ditutup sementara bagi proses saringan kesihatan dan sanitasi berikutan tiga pekerja dan seorang pengunjung positif virus COVID-19. - Kredit Foto: Facebook Bandar Utama,Damansara.


Sementara itu, berikutan penguatkuasaan PKPB di Mukim Klang yang diisytihar sebagai zon merah, JAIS mengarahkan semua aktiviti solat Jumaat, fardu, kuliah pengajian dan aktiviti lainnya di 48 buah masjid dan 223 buah surau ditangguhkan mulai Jumaat 9 Oktober 2020 lalu sehingga ke satu tarikh yang akan ditentukan kelak.
Bagi Mukim Kapar yang juga terletak dalam daerah Klang dan masih dalam zon kuning sejumlah 23 buah masjid dan 110 buah surau turut diarah menangguhkan kegiatan masing-masing dan hanya dibenarkan meneruskan operasi jika tiada kes baharu dalam tempoh beberapa hari lagi.
Selain masjid, surau dan rumah-rumah ibadat bukan Islam sejumlah 146 buah sekolah rendah, menengah dan kolej kerajaan serta swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diarah tutup untuk tempoh 14 hari pelaksanaan PKPB ini.
Bagi warga di Mukim Klang yang ingin keluar masuk kawasan PKPB perlu mendapat kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan mengisi borang khas, bagaimanapun bagi pekerja yang mempunyai surat pengesahan majikan adalah dikecualikan.

Kelab Golf, Tropicana Golf Club & County Resort, Tropicana, Petaling Jaya ditutup sementara untuk saringan kesihatan dan nyahkuman berikutan lima kakitangannya positif COVID-19. - Kredit Foto: Facebook Tropicana Golf Club & Country Resort.

Aktiviti ekonomi di kawasan terlibat dibenarkan meneruskan operasi masing-masing seperti biasa termasuk kilang-kilang perusahaan, gerai makan, restoran, kedai serbaneka, pusat beli belah dan lain-lainnya bagi menjana ekonomi setempat tetapi perlu mematuhi SOP ketat yang diarahkan.
PDRM mengadakan sekatan jalan raya (SJR) di beberapa tempat yang ditetapkan juga mewujudkan pasukan pemantauan supaya orang ramai mematuhi arahan-arahan dikeluarkan di tempat-tempat tumpuan ramai.
Pada Ahad 11 Oktober 2020, Ketua Polis Selangor, Persuruhjaya Polis Datuk Noor Azam Jamaludin bersama timbalannya Penolong Pesuruhjaya Polis Datuk Arjunaidi Mohamad memantau di beberapa sekatan jalan raya sekitar Mukim Klang antaranya di SRJ Kampung Kuantan, Taman Seri Andalas, Bandar Puteri Perdana dan beberapa lokasi lain.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kandis, Mohd Zawai Ahmad Moghni melalui Pusat Khidmat Masyarakat DUN berkenaan menyediakan barangan keperluan dapur dan bahan-bahan kesihatan untuk kegunaan orang ramai di kawasannya yang memerlukan dan terlibat dengan PKPB dengan menghubungi Ahli Majlis atau ketua-ketua kampung serta tinggalkan pesan melalui laman sosial Facebook N49 DUN Seri Kandis bagi mendapatkan bantuan tersebut. - KitaReporters

Kenyataan media Johary Anuar mengenai penutupan pusat beli belah One Utama dan Kelab Golf, Tropicana Golf Culb & Country Resort, Tropicana, Petaling Jaya, Selangor.

 

 

0
0
1
0
0
You will be interested