Kredit foto: Annice Lyn / MSN
MELIHAT Datuk Mohd Azizulhasni Awang mengalirkan air mata sambil meluahkan perasaan selepas memenangi pingat perak acara keirin Sukan Olimpik 2020, Tokyo, pada Ahad, 8 Ogos, 2021, sudah cukup untuk kita mengerti betapa besarnya pengorbanan yang perlu beliau lakukan demi menghadiahkan sebutir pingat kepada negara.
Sebagaimana diluahkan oleh pelumba
itu, beliau bukan sahaja terpaksa berjauhan dengan isteri, Datin Athiah Ilyana
Abd Samat dan anak-anak, Amna Maryam, 8, dan Amna Khadeeja, 5, yang kini berada
di Melbourne, Australia malah perlu kuatkan semangat selepas menerima berita,
ayahnya, Awang Embong dimasukkan ke hospital kerana serangan strok ringan (mild stroke).
“Hari-hari anak saya call (menelefon), (tanya) bila nak balik. Saya kata sekejap lagi, sekejap lagi. Dah nak habis dah,” katanya sebak.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Azizulhasni Awang
Azizulhasni tidak dapat menahan tangisan selepas memenangi pingat perak Olimpik 2020,
Tokyo.
"Masa saya kayuh tadi saya teringat anak saya di Melbourne, isteri saya, mak saya, ayah saya. Daripada saya umur 15 tahun saya tinggalkan kampung, mak saya tinggal seorang.
“Masa saya terbang ke Tokyo saya
dapat tahu ayah saya masuk hospital diserang mild
stroke. Tapi adik-beradik saya mahu saya fokus Olimpik. Saya tiada
pilihan, saya fikirkan tanggungjawab saya kepada negara.
"Masa saya kayuh saya teringatkan mereka semua, saya harap mereka tak kecewa dengan keputusan ini. Saya sudah buat yang terbaik untuk mereka, untuk rakyat Malaysia dan untuk sukan negara kita," kata Azizulhasni penuh emosi.
Suatu ketika selepas solat berjemaah, Khadeeja menangis-nangis. ‘I don’t want you to fly Abi, I don’t want you to leave us. Please cancel the Olympic.
Sebagai ayah yang penyayang, Azizulhasni tidak menyembunyikan betapa berat hatinya hendak meninggalkan isteri dan anak-anak berbulan-bulan lamanya namun inilah pengorbanan yang perlu beliau lakukan demi negara.
“Trip (perjalanan) kali ini
rasanya lain sangat-sangat dugaannya. Rasa berat untuk tinggalkan anak-anak dan
isteri.
“Dunia dah berbeza sekarang, bukan
macam dulu lagi. Banyak benda luar kawalan kita berlaku sekarang dan
kadang-kadang benda yang tak terfikir dek akal pun kerap juga kita dengari.
“Kalau
ikutkan perasaan, pelbagai persoalan dalam benak fikiran yang samar jawapan
bila nak ambil keputusan untuk terbang.
“Masyghul (sedih, dukacita) betul bila
teringatkan suatu ketika selepas solat berjemaah, si bongsu Khadeeja
menangis-nangis. ‘I don’t want you to fly Abi, I don’t want you to leave us.
Please cancel the Olympic. (Saya tak mahu Abi pergi,
saya tak mahu Abi tinggalkan kami. Tolong batalkan Olimpik).
“Mak oih, terkejut Abinya. Macam Abi dia ni penganjur Sukan Olimpik tuh senang-senang mintak suruh cancel (batal) macam tu je. Dalam sebak tersengih sekejap.
Saat perpisahan sebelum Azizulhasni meninggalkan isteri, Athiah Ilyana serta anak-anak,
Maryam dan Khadeeja untuk ke Olimpik 2020, Tokyo. - Kredit foto: FB Datuk Azizulhasni Awang
“Paling tak tahan bila si sulung Maryam pun menangis juga tak mahu Abi pergi tinggalkan mereka berbulan-bulan. Maryam ni karakter dia lebih kurang saya sikit, agak keras dan kental. Tapi kali ni dia luntur juga.
“Lagilah masyghul hati bila tengok si emaknya pun turut serta berjemaah menangis sakan. Saya memilih untuk tidak patuh kepada emosi,” tulis Azizulhasni dalam hantaran melalui Facebook pada 5 Jun, 2021.
Menyambung hantarannya pada 6 Jun, 2021, Azizulhasni menulis, beliau terpaksa memujuk anak-anaknya dengan berkongsi kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Siti Hajar bersama anak mereka, Nabi Ismail.
Menurutnya pengkongsian itu sedikit sebanyak meredakan kehibaan Maryam dan Khadeeja serta berharap mereka dapat mengubah perspektif dalam melihat situasi yang perlu mereka harungi walaupun jauh di sudut hatinya, ada juga rasa bersalah.
“Ummi dan anak-anak Abi yang dikasihi, ketahuilah pemergian Abi adalah demi tanggungjawab besar kepada negara. Janganlah bersedih tapi mohonlah doa kepada Allah SWT kerana Dialah yang Maha Berkuasa ke atas setiap makhluk ciptaan-Nya,” kata Azizulhasni memujuk anak-anak dan isterinya.
Segala pengorbanan dibayar dengan kejayaan memenangi pingat perak. - Kredit foto: Annice Lyn / MSN
Walaupun jauh, isteri dan anak-anak tetap memberi sokongan.
Pada kebanyakan waktu amat mudah kita tuturkan perkataan pengorbanan, akan tetapi, adakah mudah untuk kita melakukannya?
Sementara itu pada statusnya pada 7 Jun, 2021, Azizulhasni menulis: “Dengan hati yang berat, saya meninggalkan bumi Melbourne. Menuju ke tempat yang mana semuanya bermula. Persiapan terakhir ke kejohanan yang penuh dengan liku-likunya, penuh dengan dugaan dan penuh dengan persoalannya.
“Penampilan ini adalah penampilan yang keempat, akan dipastikan harapan yang diberikan akan dicapai tepat. Misi Olimpik bukan kejar pingat semata-mata, tetapi nak berikan juga inspirasi kepada rakyat jelata.
“Saya harap nukilan ini dapat mengajak anda semua berfikir dan mengenal erti sebuah pengorbanan, yang mana ianya tidak lekang dari kehidupan seharian kita semua.
“Pada kebanyakan waktu amat mudah kita tuturkan perkataan pengorbanan, akan tetapi, adakah mudah untuk kita melakukannya? Yang pasti, saya akan merindui kerenah anak isteri yang kini tiada di sisi,” tulis Azizulhasni.
Azizulhasni membuktikan saiz badan bukan halangan untuk memberi saingan kepada pelumba antarabangsa. -Kredit foto: Annice Lyn / MSN
Mengikuti perjalanan karier pelumba bergelar ‘The Pocket Rocket Man’, ini bukanlah pengorbanan pertama dilakukannya demi mengharumkan nama negara di mata dunia.
Mana mungkin kita dapat lupakan peristiwa bagaimana pelumba itu tertusuk kayu serpihan trek sepanjang 20cm pada betisnya dalam kemalangan yang berlaku pada siri Piala Dunia Klasik di Manchester pada 2011, namun beliau tetap meneruskan perlumbaan untuk memenangi tempat ketiga.
Melalui status Facebooknya juga, Azizulhasni pernah mendedahkan bagaimana beliau berdepan cabaran getir semasa menyertai Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro apabila mendapat berita anaknya dimasukkan ke hospital semasa beliau sedang berjuang untuk memenangi pingat gangsa.
Malah, jika mengikuti perjalanan awal kariernya, Azizulhasni pernah mendedahkan betapa keluarganya tidak begitu gembira apabila beliau memilih untuk menjadi pelumba basikal daripada memenuhi impian mereka yang mahu dia menjadi doktor.
“Pada usia 15 tahun, saya begitu bersemangat mahu meneruskan cita-cita sebagai pelumba basikal dan menyertai Sekolah Sukan Bukit Jalil. Keluarga saya kurang gembira dengan keputusan saya kerana mereka mahu saya menjadi doktor tapi saya kekal dengan impian mahu menjadi juara basikal kebangsaan.
Kredit foto: Annice Lyn / MSN
“Pada hari pertama saya di sekolah sukan itu, saya diberitahu oleh jurulatih ketika itu saya tidak mampu pergi jauh kerana saiz tubuh saya yang kecil berbanding rakan-rakan yang lain.
“Ia membakar semangat saya untuk membuktikan saiz saya bukan penghalang dan saya korbankan masa remaja untuk berlatih dan bekerja keras supaya saya dapat membuktikan mereka salah.
“Dan ia berbayar apabila dunia mula mengenali saya melalui pencapaian di Kejohanan Dunia dan penyertaan pertama saya di Sukan Olimpik 2008 di Beijing, China yang mana saya menjadi pembawa bendera semasa perbarisan acara pembukaan pada usia 20 tahun.
“Walaupun (pada Olimpik itu) saya tidak memenangi pingat, tapi pengalaman yang membuatkan saya bercita-cita untuk menyertai lebih banyak Olimpik dan meletakkan nama Malaysia pada peta dunia,” kata Azizulhasni.
Ternyata apa yang dikongsi oleh Azizulhasni dengan pelajar-pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 2016 itu kini dikotakan olehnya apabila memenangi pingat perak Olimpik 2020 selepas memenangi gangsa pada Olimpik2016.
Tahniah Datuk Azizulhasni Awang! – KitaReporters